SHAH ALAM - Di saat Akta Anti Lompat Parti dijangka dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada 27 Julai ini dan mungkin digubal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), timbul tanda tanya sama ada pelaksanaannya bakal memberi kesan terhadap... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di saat Akta Anti Lompat Parti dijangka dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada 27 Julai ini dan mungkin digubal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), timbul tanda tanya sama ada pelaksanaannya bakal memberi kesan terhadap sekurang-kurangnya 40 ahli Parlimen yang melompat parti.

Tidak ketinggalan, bagaimana pula dengan nasib empat ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berstatus Bebas ketika ini.

Hal ini susulan kesemua wakil rakyat berstatus Bebas itu bertindak keluar daripada parti masing-masing selepas PRU14, susulan tercetusnya peristiwa pertukaran kerajaan di peringkat Pusat dan negeri.

Antara empat ahli Parlimen masih berstatus Bebas ketika ini ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat@ Jugah Anak Muyang dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar (bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat); Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat (dahulu ahli Parti Sarawak Bersatu) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (dahulu pemimpin Pas).

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Sinar Premium mengenal pasti ADUN Titi Serong daripada Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim kini berstatus Bebas, meskipun pernah bertindak keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu peristiwa kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak pada Disember 2020.

TIGA PERBUATAN DIRUJUK LOMPAT

Bagi merungkai inti pati Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung definisi anti lompat parti sebagaimana dirangka melalui draf cadangannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan kerajaan masih mengekalkan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti.

Pertama, beliau menjelaskan ahli Parlimen itu dikira melompat parti apabila individu itu memenangi pilihan raya, kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, Wan Junaidi turut menerangkan seseorang ahli Parlimen yang menang kerusi Parlimen, tetapi dipecat parti, turut dianggap sebagai melompat parti.

Bahkan parti yang memecat ahli Parlimen berkenaan bakal berhadapan risiko kehilangan kerusi dengan pilihan raya perlu diadakan semula.

Ketiga, apabila seseorang itu (ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahliannya dalam parti masih kekal dan tidak dikatakan melompat parti.

Wan Junaidi

IBARAT PUTIH SUCI

Bagaimanapun, Wan Junaidi turut menegaskan RUU yang bakal dibentangkan itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar atau berlaku penggabungan antara parti dengan parti lain, dengan sendirinya ahli Parlimen parti berkenaan tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

Mengulas mengenai nasib wakil rakyat termasuk berstatus bebas, Wan Junaidi menjelaskan, penggubalan RUU berkenaan, sekiranya diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong kelak, tidak akan memberi kesan kepada kedudukan mereka ketika ini.

Jelas beliau, hal ini kerana objektif penggubalan sesuatu undang-undang tidak boleh memberi kesan terhadap perkara atau perbuatan lampau wakil rakyat, sebaliknya perlu memfokuskan implikasi pada masa hadapan semata-mata.

Penjelasan sama turut terpakai terhadap baki 36 ahli Parlimen yang pernah terlibat dengan aktiviti melompat parti bagi menyertai parti lain selepas PRU14.

"Sekiranya RUU berkenaan berjaya digubal, status ahli-ahli Parlimen Bebas serta mereka yang melompat parti boleh diibaratkan sebagai ‘putih suci’ dengan tidak terbeban dengan kesan perbuatan keluar parti sebelum ini.

"Perlu diingat, penggubalan sesuatu undang-undang tidak boleh memberi kesan ke belakang, sebaliknya hanya terpakai terhadap kesan pada masa hadapan sahaja.

"Bagaimanapun, setelah RUU Anti Lompat Parti digubal, mereka tidak boleh bertindak ‘melompat parti’ dengan menyertai mana-mana parti lain lagi. Ini kerana perbuatan itu akan memenuhi salah satu istilah lompat parti sebagaimana dikemukakan dalam draf cadangan RUU,” ujarnya.

TU DR MAHATHIR

IMPLIKASI NEGATIF

Pandangan Wan Junaidi itu turut dipersetujui pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau mengakui bimbang sekiranaya ada implikasi negatif ke atas ahli politik berdasarkan perbuatan silam wakil rakyat yang melompat.

Bagaimanapun, beliau melihat keperluan kerajaan mengkaji semula hak kebebasan ahli Parlimen yang menang pilihan raya atas tiket Bebas untuk menentukan hala tuju politik mereka tanpa terbelenggu dengan RUU Anti Lompat Parti.

MUHAMMAD FATHI

"Sepatutnya Akta Anti Lompat Parti tidak menjejaskan kebebasan mana-mana wakil rakyat yang menang atas tiket Bebas pada sesebuah PRU, untuk memilih wadah politik mereka sama ada menyertai parti pembangkang atau kerajaan selepas itu.

"Sekiranya alasan penggubalan RUU berkenaan mengikat wakil rakyat bebas disebabkan sokongan pengundi terhadap mereka atas faktor personaliti, pemimpin berkenaan juga tidak wajar dihukum sekiranya mereka berkeinginan untuk menyertai parti lain.

"Bagi saya, yang menang atas tiket Bebas, mereka sewajarnya tidak tertakluk atas sekatan tidak dibenarkan menyertai parti politik lain. Ini kerana istilah lompat parti tidak relevan dikaitkan dengan mereka,” jelasnya.

Senarai ahli Parlimen keluar/DIPECAT parti

1. Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai)

2. Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang)

3. Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah)

4. Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli)

5. Datuk Rozman Isli (Labuan)

6. Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut)

7. Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor)

8. Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)

9. Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing)

10. Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam)

11. Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu)

12. Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort)

13. Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran)

14. Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat)

15. Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran)

16. Yamani Hafez Musa (Sipitang)

17. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak)

18. Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang)

19. Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota)

20. Baru Bian (Selangau)

21. Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak)

22. Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal)

23. Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat)

24. Datuk Seri Dr R Santhara Kumar (Segamat)

25. Ali Biju (Seratok)

26. Willie Mongin (Puncak Borneo)

27. Jonathan Yasin (Ranau)

28. Datuk Masir Kujat (Sri Aman)

29. Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi)

30. Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun)

31. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar)

32. Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)

33. Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu)

34. Datuk Seri Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading)

35. Tambat @ Jugah Muyang (Lubok Antu)

36. Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis)

37. Larry Sng (Julau)

38. Steven Choong (Tebrau)

39. Datuk Seri Xavier Jayakumar (Kuala Langat)

40. Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu)

Klik di sini untuk terus membaca