SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengakui masih keliru dengan definisi sebenar istilah lompat parti yang cuba diketengahkan kerajaan menerusi cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu yang berstatus Bebas turut menyuarakan kebimbangan penggubalan RUU berkenaan, sekiranya diluluskan Parlimen dan Dewan Negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bakal ‘mengikat’ kehendak wakil rakyat Bebas untuk memilih wadah politik terbaik demi masa hadapan rakyat.
Dengan beliau dijangka mempertahankan kerusi DUN disandang atas tiket Bebas pada PRU15, Hasnul Zulkarnain berharap keputusan RUU Anti Lompat Parti itu nanti tidak memburukkan keadaan buat dirinya untuk pertimbangan politik terbaik kelak.
"Sehingga kini, saya masih kurang jelas sama ada pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti yang dijangka diselaraskan dengan enakmen negeri, bakal ‘mengikat’ wakil rakyat tidak berparti, sekali pun jika mereka menang atas tiket Bebas selepas PRU15.
"Perlu diingat, pengundi pilih calon Bebas atas faktor personaliti dan senario itu juga menggambarkan kepercayaan mereka terhadap sebarang langkah politik susulan bakal diambil calon berkenaan,” ujar bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu kepada Sinar Premium pada Isnin lalu.
Berikutan itu, Hasnul Zulkarnain mencadangkan agar kerajaan membenarkan mana-mana calon tidak berparti yang menang atas tiket Bebas, untuk memilih sama ada menyertai parti kerajaan, menyokong parti pembangkang atau kekal sebagai wakil rakyat Bebas.
Sementara itu, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar sewaktu dihubungi menegaskan, beliau akan menunggu sehingga pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti direalisasikan sebelum membuat keputusan ‘penting’ mengenai masa depan politiknya.
Menegaskan beliau menyokong kesemua agenda transformasi dibawa kerajaan sedia ada termasuk penggubalan RUU Anti Lompat Parti, Ahli Parlimen Kuala Langat itu mengakui tumpuan utama politik beliau masih terarah kepada usaha membantu rakyat mendepani krisis kenaikan harga barang, isu sekuriti makanan dan masalah pengangguran luar biasa.
"Setakat ini, saya kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan amat bersetuju dengan inisiatif penggubalan RUU Anti Lompat Parti diusahakan kerajaan ketika ini.
"Memandangkan pelaksanaan RUU berkenaan bakal memberi implikasi kepada wakil rakyat Bebas seperti saya kelak, saya menyedari satu keputusan mengenai masa depan politik perlu dibuat segera,” kata Xavier lagi.
Klik di sini untuk terus membaca