BENARLAH bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Droupadi Murmu melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama berasal daripada suku minoriti Santhal dilantik sebagai Presiden ke-15 India pada Khamis lalu.... Klik di sini untuk terus membaca

BENARLAH bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Droupadi Murmu melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama berasal daripada suku minoriti Santhal dilantik sebagai Presiden ke-15 India pada Khamis lalu.

Pencalonannya yang mendapat sokongan besar parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menguasai politik di peringkat persekutuan dan negeri dilihat sebagai simbol harapan kepada seluruh penduduk terutamanya golongan miskin di negara tersebut.

Bekas Gabenor Jharkhand berusia 64 tahun itu menewaskan pesaing utamanya daripada parti pembangkang, Yashwant Sinha dengan meraih 64.03 peratus undi untuk mengambil alih tampuk pemerintahan daripada pendahulunya, Ram Nath Kovind bermula Isnin.

"Seorang wanita yang berasal daripada komuniti puak dan dilahirkan di bahagian terpencil di timur India kini dilantik sebagai Presiden!” ujar Perdana Menteri, Narendra Modi ketika menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya.

Pemilihannya dikatakan sebagai sebahagian usaha BJP untuk mendekati komuniti puak yang mewakili lebih lapan peratus daripada 1.4 bilion penduduk di India menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Murmu dikatakan sentiasa memberi inspirasi kepada komunitinya dan golongan wanita secara amnya.

Beliau juga sering memperkatakan tentang pelbagai isu yang dihadapi suku Adivasi selain menggesa terjemahan kesusasteraan tentang bahasa dan budaya penduduk asli India tersebut.

Siapa sangka kerja keras beliau dalam bidang politik selama ini akhirnya meletakkan wanita tersebut sebagai pemimpin tertinggi negara dan Ketua Angkatan Tentera India.

Sekumpulan pelajar seni di Mumbai melukis potret Murmu yang dilantik sebagai simbol penghormatan kepadanya.

BERMULA SEBAGAI PENDIDIK

Murmu dilahirkan pada 20 Jun 1958 di perkampungan Uparbeda di daerah Mayurbhanj, Odisha.

Bapa serta datuknya merupakan pemimpin di perkampungan tersebut di bawah Sistem Panchayati Raj.

Beliau menjadi pelajar pertama di kampungnya yang melanjutkan pengajian ke kolej iaitu Ramadevi Women’s College yang kini dikenali sebagai Ramadevi Women’s University di Bhubaneswar.

Sebelum terjun ke bidang politik, Murmu merupakan seorang guru di Sri Aurobindo Integral Education Centre di Rairangpur di Mayurbhanj dan kemudiannya berkhidmat di Jabatan Pengairan dan Kuasa di bawah kerajaan negeri Odisha.

Pada 1997, Murmu menyertai BJP dan dilantik sebagai ahli majlis Rairangpur Nagar Panchayat selepas menang dalam pilihan raya.

Beliau kemudiannya berkhidmat selama dua penggal dalam Dewan Undangan Odisha pada tahun 2000 dan 2004.

Murmu juga pernah menjadi menteri pada tahun 2000 hingga 2004 di bawah kerajaan gabungan BJP dan Parti Biju Janata Dal (BJD) pimpinan Ketua Menteri, Naveen Patnaik.

Beliau memegang portfolio Perdagangan dan Pengangkutan serta Perikanan dan Penternakan di kerajaan negeri.

Ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan di Odisha, wanita tersebut pernah menerima pujian kerana menubuhkan pejabat pengangkutan di kesemua 58 subbahagian negeri.

Murmu menjadi Presiden wanita kedua di India selepas Pratibha Patil.

TERIMA PUJIAN

Pada 2015, Murmu mengangkat sumpah sebagai Gabenor wanita pertama di Jharkhand.

Perjuangannya terhadap komuniti Adivasi bermula apabila kerajaan negeri dipimpin Ketua Menteri, Raghubar Das di bawah BJP meluluskan pindaan terhadap undang-undang tanah berusia dua abad bertujuan untuk memastikan pemindahan hak tanah secara mudah bagi kegunaan perindustrian.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan protes dalam kalangan penduduk asli tersebut yang percaya ia akan mengehadkan hak mereka terhadap pemilikan tanah hingga menyebabkan Murmu mengembalikan semula rang undang-undang tersebut kepada kerajaan negeri pada Jun 2017.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan bagaimana pindaan itu dapat memberi manfaat kepada komuniti suku tersebut.

Tindakan beliau menjadi buah mulut komuniti berkenaan yang memberi penghormatan atas ketegasan wanita berkenaan.

Pada Jun 2022, Murmu dicalonkan oleh Perikatan Demokratik Kebangsaan BJP sebagai calon Presiden India yang menyaksikan beliau turun padang ke beberapa negeri ketika berkempen untuk meraih sokongan anggota parti dan pihak pembangkang.

Walaupun mencatatkan kejayaan demi kejayaan dalam bidang politik, Murmu juga tidak terlepas berdepan detik yang menguji kehidupan peribadinya apabila beliau pernah kehilangan dua anak pada 2009 dan 2013 serta disusuli pemergian suaminya, Shyam Charan Murmu pada 2014. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca