SHAH ALAM - Penganjur Himpunan #Turun, Gabungan Gerakan Mahasiswa akan terus bersuara sekiranya protes yang dibuat pada himpunan itu tidak mendapat respons kerajaan. Wakil Gabungan Gerakan Mahasiswa, Zaim Mustaqim Marzuki berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganjur Himpunan #Turun, Gabungan Gerakan Mahasiswa akan terus bersuara sekiranya protes yang dibuat pada himpunan itu tidak mendapat respons kerajaan.

Wakil Gabungan Gerakan Mahasiswa, Zaim Mustaqim Marzuki berkata, bagaimanapun mereka mungkin akan bersuara menerusi cara berbeza dan tidak lagi menganjurkan protes secara terbuka sebegitu.

"Buat masa sekarang kami tengok sejauh mana kesan daripada protes tersebut dan macam mana tindakan atau respons daripada kerajaan.

"Semasa berucap dalam himpunan itu semalam (Sabtu), ada rakan-rakan saya menyebut bahawa kami akan terus mendesak kerajaan sehingga lima tuntutan yang telah dikemukakan dipenuhi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Himpunan #Turun yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Sabtu tetap berlangsung meskipun sehari sebelum itu pihak polis melarang perhimpunan itu dijalankan.

Sinar Harian pada Sabtu turut melaporkan pegawai dan anggota polis terpaksa membuat halangan di hadapan pusat beli-belah berkenaan bagi menyekat kemaraan peserta himpunan berarak menuju Dataran Merdeka.

Zaim Mustaqim menambah, selaku penganjur mereka tidak merasakan bahawa suara tersekat walaupun selepas himpunan itu mereka dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan.

ZAIM MUSTAQIM

"Kami tidak rasa ini menjadi sebab untuk berhenti daripada terus bersuara tentang isu-isu nasional yang memberi kesan kepada keseluruhan rakyat, jadi kami akan teruskan.

"Kami mungkin adakan perbincangan secara terus dengan pihak kerajaan bergantung kepada apa respons yang diterima,” ujarnya.

Menurutnya, lima tuntutan yang dibuat adalah desakan agar potong gaji menteri, kekalkan subsidi, beri bantuan bermaruah, kawal harga barang dan menyelesaikan masalah jaminan makanan.

Lima tuntutan itu dibuat sebelum ini dalam satu sidang media di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ketika itu sudah disuarakan hasrat untuk mengadakan himpunan sekiranya tuntutan tidak diambil tindakan.

Zaim Mustaqim yang juga Exco Komunikasi Kesatuan Pelajar UIAM memaklumkan, selepas itu mereka turut mengadakan Speakers Corner di Pasar Seni sebagai gesaan berterusan kepada kerajaan sebelum menghantar satu memorandum kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

"Kemudian kami buat himpunan sebagai tanda protes untuk tunjukkan bahawa kami bukan cakap saja tapi serius desak kerajaan tunaikan tuntutan yang dibuat.

"Salah satu desakan iaitu potong gaji menteri sangat penting untuk segera dibuat dalam keadaan ekonomi sekarang terutama bila kami dengar kerajaan Sabah luluskan usul menaikkan gaji Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

"Oleh itu kami nak semua rakyat Malaysia juga bersuara sebab isu-isu nasional yang dibangkitkan kesannya bukan kepada mahasiswa sahaja tapi rakyat lebih-lebih lagi bantuan yang diberi ketika ini sekadar bersifat one-off,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca