SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap kukuh terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dibayangi krisis ahli keluar parti. Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap kukuh terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dibayangi krisis ahli keluar parti.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tindakan ahli yang melompat parti itu tidak memberikan kesan kepada parti, selain menyifatkan mereka tidak memahami asas perjuangan dan pengorbanan Bersatu.

Malah, beliau berkata, Bersatu tidak terkesan kehilangan ahli yang melompat parti kerana agenda peribadi dan menyifatkan mempunyai ramai lagi individu yang lebih layak untuk membantu rakyat.

"Pengorbanan adalah salah satu asas perjuangan parti ini. Parti Bersatu ini parti kecil dan ditubuhkan pada 2016 dan usianya baru beberapa tahun. Kita ditakdirkan menang pilihan raya jatuhkan BN pada ketika itu.

"Jadi, banyak perkara yang kita perlu muhasabah diri untuk pertahankan kemenangan parti pada PRU15 nanti. Kalau nak kata Bersatu sedang bermasalah (kerana ada ahli lompat parti), tidak tepat. Kecuali ketua bahagian atau satu bahagian masuk parti lain. Itu boleh kita katakan parti itu bermasalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas daripada Bersatu, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

CHE ZAKARIA

Beliau mendakwa tidak dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya terus kekal bersama Bersatu, sebaliknya Amanah mampu membantunya mencapai matlamat berkenaan.

Beliau juga berkata, dua lagi bekas ADUN daripada Bersatu dijangka mengikut jejak langkahnya dalam waktu terdekat ini.

Mengulas mengenai tindakan Che Zakaria itu, Razali menegaskan bekas ADUN Permas itu sebenarnya tidak terpilih menjadi calon dalam PRU15 nanti menyebabkan bertindak keluar parti.

Beliau turut menafikan terdapat dua lagi ADUN yang akan meninggalkan Bersatu dalam masa terdekat.

"Sebab itu, saya kata bahawa asas perjuangan adalah pengorbanan, tetapi dia (Che Zakaria) apabila tidak terpilih, terus mengamuk dan mengambil keputusan untuk keluar parti.

"Ia seperti ada kepentingan peribadi. Tidak bolehlah macam itu.

"Saya minta dia bersabar, tetapi dia tak nak bersabar. Jika dia tidak terpilih di DUN Johor, mungkin di Parlimen boleh bertanding lagi.

"Tetapi, janganlah ikut kepala sendiri, bercanggah dengan bahagian, bercanggah dengan negeri dan kemudian cakap nak bertanding pilihan raya,” kata Razali lagi.

Klik di sini untuk terus membaca