BAGI negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, pilihan raya adalah suatu perkara yang wajib berlaku mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Parlimen Malaysia akan tamat tempoh lima tahun dan kita akan menghadapi Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, pilihan raya adalah suatu perkara yang wajib berlaku mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Parlimen Malaysia akan tamat tempoh lima tahun dan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selewat-lewatnya pada bulan Ogos 2023 bagi memilih ahli Dewan Rakyat, dan juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat.

Pilihan Raya Umum (PRU) adalah kemuncak kepada persaingan di antara parti-parti politik untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi di kawasan masing-masing. Malaysia telah melalui 14 PRU yang telah membentuk kerajaan yang stabil. Namun sejauh manakah pemahaman pengundi Malaysia dengan perkara berkaitan pilihan raya?

Pilihan raya adalah suatu proses pemilihan wakil kepada rakyat di dalam proses pembikinan undang-undang di Parlimen dan juga di DUN (Legislatif). Sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen yang terpilih akan dilantik untuk menjadi ahli kabinet dalam kerajaan yang dibentuk oleh parti yang mendapat majoriti di dalam Parlimen.

Kerajaan yang terdiri daripada kabinet dan perkhidmatan awam membentuk badan Eksekutif yang bertanggungjawab untuk melaksanakan polisi dan undang-undang setelah diluluskan di Parlimen.

Berdasarkan kepada tanggungjawab utama yang diletakkan di atas bahu ahli Parlimen, adalah jelas bahawa pengundi mempunyai tugas yang amat besar untuk memastikan mereka membuat pilihan yang tepat bagi menjamin wakil yang dipilih adalah terdiri daripada orang yang berkompetensi, berpengetahuan dan berintegriti tinggi untuk menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Walaupun pilihan raya di negara ini dianggap bebas, adil dan telus, namun pendedahan rakyat kepada sistem dan undang-undang pilihan raya hanya berada di tahap minimum yang menyebabkan isu-isu berkaitan pilihan raya seolah-olah berada di dalam kawalan ahli politik dan badan pengurusan pilihan raya.

Penglibatan rakyat hanyalah untuk memilih calon yang ditawarkan oleh parti politik pada hari pilihan raya. Pengundi tidak mempunyai ruang untuk mengetengahkan calon mereka sendiri, melainkan calon bebas.

Sistem pilihan raya di Malaysia yang dikenali sebagai First-Past-the-Post juga tidak membenarkan pengundi membuat pilihan secara alternatif sebagaimana sistem Alternative Vote yang diamalkan di Australia.

Walaupun calon bertanding di atas kapasiti peribadi, pemilihan mereka sebagai calon melalui proses mengikut parti masing-masing. Ini jelas menunjukkan bahawa pemilihan ahli politik untuk menjadi calon adalah bergantung kepada parti politik melebihi daripada pengundi yang memilih mereka. Pengundi juga tidak mempunyai ruang untuk ‘menghukum’ wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas mereka melainkan dengan tidak memilih wakil rakyat tersebut di dalam pilihan raya yang akan datang.

Janji manifesto

Telah menjadi lumrah di dalam kempen pilihan raya, di mana parti politik dan calon yang bertanding akan ‘menjual’ manifesto ataupun janji-janji politik yang akan dilaksanakan sekiranya calon tersebut dipilih dan parti tertentu menjadi kerajaan.

Kerapkali janji-janji tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya. Apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat apabila perkara ini berlaku? Di dalam sistem sedia ada, tiada apa yang boleh dilakukan oleh rakyat.

Tindak-tanduk ahli dan parti politik semenjak akhir-akhir ini menimbulkan tanda tanya, sama ada wakil rakyat memperjuangkan kesejahteraan rakyat di Parlimen dan DUN atau hanya mempertahankan kepentingan politik mereka? Lebih mengecewakan apabila berlaku perubahan di dalam gabungan parti memerintah atau kegiatan melompat parti sehingga tumbangnya kerajaan yang dibentuk hasil daripada keputusan pilihan raya.

Pembentukan kerajaan baharu dilakukan hanya dalam kalangan pemimpin parti politik dan ahli Parlimen dan disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang penglibatan rakyat. Walaupun peruntukan undang-undang dipatuhi, namun ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab moral terhadap rakyat untuk memastikan aspirasi pengundi di dalam pembentukan kerajaan dipenuhi.

Antara perkara utama di dalam pendidikan pengundi adalah setiap ahli Parlimen dan DUN adalah bertugas untuk rakyat dan kuasa mereka tertakluk kepada apa yang telah dipersetujui oleh rakyat.

Malangnya dalam budaya politik di negara ini, rakyat dididik untuk bergantung sepenuhnya kepada budi bicara wakil rakyat dan menganggap wakil rakyat adalah penyelesai kepada segala masalah.

Wakil rakyat mengambil peranan ini dengan hati terbuka kerana selagi rakyat bergantung kepada mereka, selagi itulah pengaruh dan kedudukan politik mereka terjamin. Wakil rakyat sepatutnya memastikan polisi dan peraturan kerajaan yang teratur bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Menjadi jaguh untuk menyelesaikan masalah rakyat secara individual sebenarnya menyebabkan kebergantungan rakyat kepada ahli politik lebih tinggi dan beban yang lebih besar kepada wakil rakyat.

Malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-65 tidak lama lagi. Sejauh manakah rakyat Malaysia dididik untuk memahami perkara-perkara berkaitan pilihan raya dan demokrasi yang sebenarnya?

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang (ERC) yang ditubuhkan oleh kerajaan telah menyarankan agar pendidikan pengundi dijadikan teras utama di dalam reformasi pilihan raya agar pengundi di Malaysia menjadi pengundi yang berpengetahuan.

Pengundi harus diberikan ilmu untuk menilai calon dan parti politik yang menawarkan diri untuk dipilih. Pengundi yang berpengetahuan dan terdidik akan memilih calon yang berwibawa dan kompeten untuk menjalankan tugas sebagai pembuat undang-undang dan dasar kerajaaan.

Tugas dan tanggungjawab untuk mendidik pengundi tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan. Badan-badan sivil dan bukan kerajaan boleh memainkan peranan bagi membuka mata dan hati pengundi. Badan-badan korporat juga boleh menjadikan program pendidikan pengundi sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial organisasi mereka.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (Penyelidik Centre for Electoral Education and Democracy).

Klik di sini untuk terus membaca