SHAH ALAM - Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semakin panas apabila saksi UKSB mendedahkan nama beberapa lagi pemimpin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semakin panas apabila saksi UKSB mendedahkan nama beberapa lagi pemimpin terkemuka dipercayai menerima dana daripada syarikat itu.

Terbaru Mahkamah Tinggi pada Isnin, diberitahu UKSB menyerahkan sumbangan dana politik RM2.6 juta kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, memberitahu mahkamah, pihaknya memberi dana RM1.3 juta kepada Dr Mahathir menerusi dua transaksi pada Ogos dan September 2018, untuk kegunaan parti berkenaan.

Jelasnya, Dr Mahathir menerima sumbangan menerusi anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar dengan kod nama 'Kedahan' digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB.

Saksi itu turut mengesahkan Tan Sri Chan Kong Choy serta Tan Sri Ong Ka Chuan masing-masing menerima sumbangan dana politik RM7.85 juta dan RM922,820 daripada UKSB.

Kod nama Kong Choy yang juga bekas Menteri Pengangkutan dan bekas Timbalan Presiden MCA serta Ka Chuan yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II serta bekas Setiausaha Agung MCA masing-masing 'Prof' serta 'OKC' dalam buku lejar syarikat.

Selain itu, Siong Sun turut mendedahkan pada mahkamah, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan kod nama ‘S Pat’ menerima sejumlah RM1.162 juta, seperti yang dinyatakan dalam lejar.

Sebelum ini, Siong Sun ketika pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa pada 16 Jun 2022 lalu memberitahu kod nama 'Monster' dalam buku lejar UKSB, merujuk Ahmad Zahid.

Siong Sun berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga dirujuk dengan kod nama 'Z', 'ZH', 'YB', 'MON' dan 'Young Boy' dalam lejar itu.

Kod rahsia itu hanya diketahui beliau, bagi memastikan identiti Ahmad Zahid tidak bocor jika buku lejar berkenaan dilihat individu lain.

Ahmad Zahid, 69, yang berdepan pertuduhan berkenaan untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak UKSB sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Dalam pada itu, Siong Sun pada Jun lalu turut membuatkan ramai ahli politik Malaysia tidak senang duduk apabila mendedahkan lebih banyak nama dalam buku lejar UKSB.

Pemimpin politik ini dikatakan menerima dana antara 2014 dan 2018 berdasarkan fail lembaran hamparan di komputer riba saksi.

Siong Sun sepanjang prosedur itu turut menyebut beberapa nama lain antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Siong Sun memberitahu mahkamah, Muhyiddin yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.

Siong Sun berkata, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi itu berkata, kod nama 'TSM' dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala 'Team Pagoh' adalah nama projek.

Tidak ketinggalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; bekas Menteri Luar; Datuk Seri Anifah Aman turut dinamakan saksi UKSB.

Bagaimanpun beberapa pemimpin yang disebut saksi UKSB ini telah tampil membuat penafian di luar mahkamah bahawa mereka telah menerima wang daripada UKSB.

Dengan beberapa siri pendedahan saksi ke-17 itu di mahkamah, kini rakyat Malaysia ternanti-nanti, nama siapakah lagi yang ada dalam buku lejar kontroversi UKSB dan akan disebut di mahkamah.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memandang ringan pendedahan saksi UKSB apabila akan memanggil semua individu disenaraikan dalam buku lejar UKSB, yang menjadi bahan bukti kepada perbicaraan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SPRM akan menjalankan siasatan terhadap semua individu dalam buku lejar itu untuk menentukan sama ada wang diterima berunsur rasuah atau sebaliknya.

INFO:

Nama-nama yang didakwa menerima sumbangan dana politik dari UKSB

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - RM1.3 juta

2. Datuk Seri Hishammuddin Hussein - tidak dinyatakan

3. Khairy Jamaluddin - tidak dinyatakan

4. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican - tidak dinyatakan

5. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - tidak dinyatakan

6. Datuk Seri Anifah Aman - tidak dinyatakan

7. Tan Sri Chan Kong Choy - RM7.85 juta

8. Tan Sri Ong Ka Chuan - RM922,820

9. Shahril Sufian Hamdan - RM1.162 juta

10. Tun Dr Mahathir Mohamad melalui anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar - RM2.6 juta

Klik di sini untuk terus membaca