NEGARA kini sedang berdepan fenomena global iaitu peningkatan kos hidup susulan kenaikan barang keperluan dan juga bahan api utama dunia seperti minyak mentah dan arang batu.
Ini sekali gus menyebabkan berlaku kenaikan kadar inflasi di merata dunia.
Bagi mengimbangi tekanan peningkatan harga tersebut, Malaysia telah mengambil langkah memberi subsidi yang besar.
Anggaran subsidi yang dibelanjakan oleh pihak kerajaan ialah mencecah RM80 bilion pada tahun ini.
Pemberian subsidi ini tidak dapat dielakkan bagi mengawal nilai inflasi. Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) menjangka inflasi boleh mencecah kepada paras 11.4 peratus sekiranya subsidi tidak disalurkan. Pada masa ini, kadar inflasi berada pada kadar 2.2-2.5 peratus.
Bagaimanapun, dalam situasi yang lain, peruntukan yang besar dalam subsidi pastinya memberi kesan kepada aspek pembangunan negara.
Ini kerana sumber kewangan kerajaan yang sepatutnya boleh disalurkan kepada projek pembangunan terpaksa digunakan untuk subsidi.
Dalam konteks ekonomi makro, isu subsidi berterusan tidak akan mampu memulihkan sepenuhnya isu kenaikan harga barangan keperluan dan kenaikan ini akan sentiasa berterusan.
Oleh itu, fokus kerajaan adalah kepada kaedah mengawal dan menjadikan kos pengeluaran dan pembuatan menjadi murah.
Pembangunan yang dilaksanakan kelak sebenarnya turut akan membantu membuka ruang pekerjaan kepada rakyat.
Laporan menunjukkan lebih 40,000 kontraktor kecil terpaksa gulung tikar disebabkan tiada projek pembinaan atau projek dihentikan sementara.
Tidak hanya kontraktor, sektor-sektor rantaian berkaitan projek pembangunan seperti firma-firma terpaksa mengecilkan saiz operasi disebabkan kekurangan projek dan sudah pasti berlaku pemberhentian pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran.
Projek pembangunan ini sebenarnya mewujudkan peluang pekerjaan yang baik selain dapat meningkatkan kuasa beli rakyat.
Pembangunan ini perlu juga menjurus kepada pembangunan yang mampu meningkatkan bekalan domestik sekali gus mengelak daripada kebergantungan negara kepada sumber luar.
Kekurangan bekalan tempatan dan kebergantungan kepada sumber import menyebabkan kita tidak mampu mengawal harga makanan.
Justeru, langkah besar yang kerajaan perlu ambil kini adalah dengan menyusun bagaimana subsidi boleh terus sampai kepada golongan sasar.
Ketika ini, terdapat tiga segmen utama keperluan harian yang mendapat subsidi besar oleh kerajaan iaitu sektor tenaga, bahan bakar dan makanan.
Penyusunan dan proses rasionalisasi subsidi ini boleh dianggap sebahagian daripada projek pembangunan.Bagi subsidi petrol, pemberian subsidi secara pukal ketika ini sudah tidak lagi relevan.
Kerajaan terpaksa menanggung jumlah yang besar iaitu mencecah RM2.5 bilion sebulan. Isunya adalah disebabkan oleh penyalahgunaan di peringkat akhir penggunaan yang menyebabkan kerajaan rugi besar.
Tentulah lebih baik kerajaan menarik sedikit peruntukan subsidi dan menyalurkan kepada usaha pembangunan sistem yang membolehkan golongan yang layak sahaja menerimanya.
Selain itu, subsidi dalam sektor tenaga juga perlu dirombak semula. Realitinya, isu pengeluar tenaga bebas (IPP) merupakan satu beban yang menjadikan tarif tenaga menjadi lebih tinggi.
Ini kerana penjanaan tenaga IPP iaitu menggunakan arang batu yang 100 peratus perlu diimport yang pasti menjadi tekanan kepada harga tenaga.
Justeru, kebergantungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penjana tenaga bebas ini perlu dikurangkan dan perlu fokus kepada penghasilan tenaga sepenuhnya daripada sumber sedia dengan pengoptimuman tenaga hidro dan peralihan kepada tenaga yang boleh diperbaharui harus diutamakan.
Fenomena global masa kini pula menyebabkan peningkatan kos sumber makanan asas dan memaksa kerajaan menyalurkan subsidi dalam sektor ini.
Namun, sama juga dengan kaedah subsidi petrol yang dilakukan secara pukal dan tidak bersasar yang membolehkan golongan T20 turut menikmati harga yang sama dengan B40 dan M40.
Oleh itu, kerajaan dicadangkan untuk memperkenalkan mekanisme supaya hanya golongan B40 dan M40 memperoleh harga yang disubsidi oleh kerajaan.
Selain itu, langkah untuk mewujudkan kemandirian sumber mentah makanan perlu dijadikan agenda utama.
Ini mengelakkan kebergantungan kepada bahan import dari luar negara yang menyebabkan peningkatan kos.
Kesimpulannya, pemberian subsidi ini tidak salah, tetapi mestilah menyasarkan kepada golongan yang layak.
Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan langkah penyaluran subsidi yang dinamik dan sistematik.
Sesungguhnya falsafah adil itu adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, bukannya secara sama rata.
* Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur (FSPU) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Klik di sini untuk terus membaca