SHAH ALAM - Malaysia akan kehilangan kawasan berpotensi menjadi tarikan utama pelancong jika status rizab biosfera Tasik Chini daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ditarik balik.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia akan kehilangan kawasan berpotensi menjadi tarikan utama pelancong jika status rizab biosfera Tasik Chini daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ditarik balik.

Pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, ia juga secara tidak langsung akan menyekat peluang eko pelancongan di kawasan tersebut yang terkenal dengan kepelbagaian biologi unik.

"Penarikan taraf rizab biosfera bermakna Tasik Chini akan hilang pengiktirafan bertaraf dunia. Ini merupakan suatu kerugian besar buat negeri Pahang secara khususnya dan Malaysia secara amnya.

"Potensi Tasik Chini sebagai lokasi pemeliharaan dan pemuliharaan biologi juga akan terjejas.

"Gangguan ke atas keseimbangan alam sekitar akan memberi kesan kepada kelestarian kawasan sekali gus merendahkan tahap sosio ekonomi penduduk sekitar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan status rizab biosfera Tasik Chini daripada UNESCO kini dalam penelitian.

Menurut tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Mengulas perkara itu lagi, Nor Shahidah berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan rakyat sendiri sudah melihat apa yang berlaku di Tasik Chini ketika ini.

Menurutnya, kemerosotan ekosistem di kawasan tersebut amat jelas sama ada daripada pandangan mata kasar mahupun imej satelit.

"Sebagai kawasan yang telah diwarta sebagai rizab biosfera UNESCO juga, terdapat beberapa pelanggaran jelas ke atas kriteria utama digariskan terutama di zon teras yang merupakan kawasan zon perlindungan ketat.

"Apa yang pasti, kesan langsung daripada tangan-tangan tidak bertanggungjawab menjadi punca utama kepada permasalahan ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca