SEJAK akhir tahun 1800-an, min suhu dunia telah meningkat sebanyak kira-kira 0.3˚C hingga 0.6˚C. Terkini, purata suhu global dijangka meningkat sekurang-kurangnya 2°C pada tahun 2100.
Ternyata perubahan iklim sedang berlaku dan memburukkan lagi keadaan kesihatan global dengan meningkatkan penyebaran penyakit, menyumbang kepada penyakit berkaitan haba, dan memendekkan bekalan makanan global.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim menjejaskan banyak faktor yang mempengaruhi kesihatan, termasuk udara dan air bersih, makanan dan perlindungan.
Dianggarkan antara tahun 2030 dan 2050, perubahan iklim mungkin mencetuskan tambahan 250,000 kematian setahun berikutan kekurangan nutrisi, cirit-birit, malaria dan tekanan haba.
Diramalkan juga, kenaikan suhu akan mengakibatkan puluhan juta manusia terdedah kepada penyakit serta kemarau menjelang 2050.
Hakikatnya, perubahan iklim menjadikan lebih ramai penduduk dunia terdedah kepada haba secara berterusan dari segi kejadiannya, tempoh masa, dan magnitudnya yang mana pada tahun 2017 sahaja, seramai 157 juta orang terdedah kepada gelombang haba.
Ini sekali gus meletakkan mereka berisiko lebih besar mendapat penyakit jantung dan buah pinggang, tekanan haba dan pembunuh berkaitan haba lain.
Perubahan iklim akan terus memberi kesan kepada gelombang haba, musim kering dan musim hujan.
Peningkatan suhu, curahan hujan dan kelembapan disebabkan oleh perubahan iklim berpotensi mempercepatkan proses pembiakan, kematangan serta meluaskan tempat pembiakan nyamuk.
Menurut Lancet Countdown yang menjalankan kajian tahunan terbesar bagi mengkaji impak perubahan iklim terhadap kesihatan manusia, perubahan iklim mewujudkan keadaan yang sesuai untuk penyakit berjangkit seperti demam denggi, virus Zika, taun dan malaria merebak di serata dunia termasuk Eropah.
Selanjutnya, Susan Clayton iaitu pensyarah psikologi daripada Kolej Wooster, Amerika Syarikat menyatakan masalah kemurungan, trauma, kegelisahan akan meningkat akibat perubahan iklim menunjukkan terdapat perkaitan antara kesihatan mental akibat perubahan iklim.
Situasi berlakunya ‘loss and damage’ atau kehilangan dan kerosakan akibat perubahan iklim juga antara faktor yang menyebabkan gangguan kepada kesihatan mental.
Penemuan ini turut disokong oleh European Academies' Science Advisory Council (EASAC) yang menyatakan bahawa masalah kesihatan mental seperti gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), kegelisahan, penyalahgunaan bahan seperti dadah dan kemurungan, boleh terjadi dalam jangka panjang akibat cuaca yang melampau seperti gelombang panas, banjir dan kemarau.
Ancaman lain perubahan iklim adalah terhadap sekuriti makanan yang sememangnya diakui antara faktor menyumbang kepada pengurangan penghasilan dan pengeluaran hasil pertanian, sedangkan menjelang 2050 seramai 9.8 bilion penduduk dunia memerlukan pertambahan bekalan makanan sebanyak 70 peratus lebih tinggi.
Justeru, Laporan Lancet Countdown telah menandakan 'kod merah' untuk masa depan dunia dengan memberi amaran bahawa perubahan iklim semakin teruk dan kesan yang lebih buruk akan dirasai jika semua pihak gagal mengurangkan separuh pelepasan gas rumah hijau pada dekad ini serta segera meningkatkan adaptasi.
Maka, untuk mendepani kesan perubahan iklim, masyarakat harus dilengkapi dengan kesedaran dan pengetahuan semasa yang mencukupi agar lebih bersedia berhadapan dengan impak fenomena ini selain pada kadar segera mengubah cara hidup ke arah yang lebih lestari.
Tindakan lain adalah memastikan pendanaan yang mencukupi, pemindahan teknologi, komitmen politik dan kerjasama antarabangsa yang telus yang boleh membawa kepada adaptasi perubahan iklim dan pengurangan pelepasan karbon yang lebih berkesan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca