SUHU panas lebih 40 darjah Celsius melanda beberapa tempat di Eropah baru-baru ini dan ia diburukkan lagi dengan kejadian pembakaran hutan di Britain menyebabkan sejumlah penduduk terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat. Cuaca panas... Klik di sini untuk terus membaca

SUHU panas lebih 40 darjah Celsius melanda beberapa tempat di Eropah baru-baru ini dan ia diburukkan lagi dengan kejadian pembakaran hutan di Britain menyebabkan sejumlah penduduk terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat.

Cuaca panas turut dirasakan di Sepanyol, Itali dan negara-negara lain di benua tersebut dan dalam bulan ini Poland serta bahagian lain di Eropah Timur turut menerima kesan akibat gelombang haba yang melampau itu.

Hampir 2,000 anggota bomba memadamkan dua kebakaran di kawasan hutan lebih 19,000 hektar berhampiran Dune du Pilat, di Perancis iaitu beting pasir terbesar di Eropah manakala sebahagian Jerman turut tidak terkecuali daripada merasai gelombang panas.

Kebakaran hutan di Greece termasuk di Pulau Lesbos menyebabkan anggota-anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sehingga menyebabkan sejumlah pelancong bertindak menyelamatkan diri ke tempat lebih selamat.

Gelombang panas itu juga menyebabkan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez baru-baru ini berkata, lebih 500 orang maut dalam tempoh 10 hari gelombang panas melanda negara berkenaan manakala lebih 1,000 terbunuh di Portugal berikutan masalah cuaca tersebut.

Pada tahun 2003, gelombang paling panas berlaku di Eropah sejak tahun 1540 sehingga menyebabkan lebih daripada 70,000 orang terbunuh dengan angka kematian tertinggi dicatatkan di Perancis yang mana dianggarkan jumlah kematian mencecah kira-kira 14,000 orang.

Apakah yang menyebabkan Eropah yang pada kebiasaannya beriklim sejuk tetapi di sesetengah tempat mengalami suhu melebihi 40 darjah Celsius?

Sesetengah bahagian Eropah dilanda musim panas melampau tahun ini. - Foto AFP

SUHU LUAR BIASA

Suhu luar biasa tinggi di Eropah pada tahun ini adalah disebabkan oleh sistem tekanan tinggi yang dikenali sebagai Azores High yang pada kebiasaannya terletak di luar pantai Sepanyol dan ia juga merupakan penyumbang kepada cuaca panas semasa di Britain.

Ia telah membawa suhu terik ke United Kingdom (UK), Perancis dan Semenanjung Iberia.

Dr Mark McCarthy iaitu Ketua Pusat Maklumat Iklim Kebangsaan Pejabat Meteorologi United Kingdom (UK) berkata, baru-baru ini bahawa suhu tertinggi yang dialami di UK cenderung berlaku apabila cuacanya dipengaruhi oleh jisim udara dari benua Eropah atau Afrika Utara.

Menggunakan simulasi model iklim sejak 1,200 tahun yang lalu, pakar-pakar dari Institusi Oseanografi Woods Hole mendapati bahawa Azores High mula berkembang untuk meliputi kawasan yang lebih luas sekitar 200 tahun yang lalu, apabila pencemaran gas rumah hijau manusia mula meningkat.

Ia berkembang dengan lebih mendadak pada abad ke-20 seiring dengan pemanasan global.

Kini sistem tekanan tinggi yang pada kebiasaannya berada di rantau atas Atlantik dan kira-kira 1,609 kilometer dari tanah besar Portugal itu telah berkembang lebih besar serta menolak lebih jauh ke utara sekali gus membawa suhu tinggi ke UK.

Pemanasan global juga memainkan peranan seperti yang berlaku dalam gelombang haba di seluruh dunia kerana suhu secara puratanya adalah kira-kira 1.1 darjah Celsius lebih tinggi jika dibandingkan pada akhir abad ke-19.

PEREDARAN ATMOSFERA, LAUTAN

Bagaimanapun, terdapat faktor lain iaitu yang melibatkan peredaran atmosfera dan lautan serta memungkinkan Eropah sebagai titik panas gelombang haba dan kenaikan suhu akibat pemanasan global merupakan suatau perkara yang membimbangkan.

Ini adalah kerana suhu yang lebih tinggi direkodkan pada setiap tahun dan tiada kelegaan segera dapat dilihat.

Setiausaha Agung Meteorologi Dunia (WMO), Petteri Jaalas pernah memberi amaran baru-baru ini menerusi satu kenyataan bahawa gelombang panas yang dilihat di Eropah sekarang akan menjadi sesuatu yang normal tidak lama lagi.

Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan bahawa begitu banyak karbon dioksida telah dilepaskan ke atmosfera sehingga trend negatif akan berterusan selama beberapa dekad akan datang dan gelombang haba akan berlaku lebih kerap disebabkan perubahan iklim.

Seorang penyelidik di Balai Cerap Bumi Lamont-Doherty, Kai Kornhuber dilaporkan berkata kepada New York Times mendapati bahawa gelombang haba di Eropah telah meningkat sejak empat dekad yang lalu dan mengaitkan sebahagiannya kepada perubahan dalam arus udara jet.

Para penyelidik mendapati bahawa banyak gelombang haba Eropah berlaku apabila aliran arus udara jet telah terbelah buat sementara waktu sekali gus meninggalkan kawasan angin lemah dan udara tekanan tinggi di antara kedua-dua cawangan yang kondusif untuk pembentukan haba melampau.

Sehubungan itu, faktor-faktor tersebut menyumbang kepada peningkatan suhu sehingga lebih 40 darjah Celsisus di sejumlah kawasan di Eropah yang pada kebaisaannya turut mengalami cuaca sejuk, musim gugur dan nyaman. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca