SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mendesak kerajaan mempercepat usaha membentang Akta Pembiayaan Dana Politik bagi dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mendesak kerajaan mempercepat usaha membentang Akta Pembiayaan Dana Politik bagi dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya sangat berharap kerajaan dapat memberi garis panduan secara hitam putih supaya pendanaan politik tidak lagi menjadi isu pada masa hadapan.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara itu sangat penting bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada pemberian dana kepada parti politik.

"Kita mahu kerajaan meletakkan satu garis hitam putih berhubung isu pendanaan politik ini supaya ia tidak diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk menabur rasuah serta menerima rasuah.

"Dalam masa yang sama, kita juga sepatutnya mencontohi negara-negara lain dalam memperkenalkan pemberian dana khas daripada kerajaan kepada parti-parti yang ingin bertanding pada pilihan raya bagi tujuan urus tadbir mereka,” katanya dalam satu video yang berlatarbelakangkan bangunan Parlimen, baru-baru ini.

KRPPM adalah gabungan ahli-ahli Parlimen yang terdiri daripada pelbagai parti.

Terdahulu pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan mengadakan satu sidang media berhubung Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada Rabu.

Gesaan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik merupakan sebahagian daripada enam tuntutan yang diperjuangkan oleh pasukan Rasuah Busters bagi memastikan negara bebas daripada isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ahmad Fadhli yang merupakan Yang Dipertua Ketua Pemuda Pas Malaysia berkata, Akta Pembiayaan Dana Politik berupaya mengekang parti-parti yang bertanding pada PRU15 nanti memohon dana daripada pihak luar.

Menurutnya, penerimaan dana daripada pihak luar dilihat bertujuan memastikan sesebuah parti dapat diuruskan dengan baik menjelang pilihan raya dan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu memutuskan untuk meletakkan berapa jumlah maksimum sumbangan dana politik yang boleh disumbangkan oleh mana-mana pihak atau individu kepada parti-parti politik yang bertanding.

Apa yang penting tambahnya, isu berhubung pendanaan politik perlu diberikan penjelasan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa penjelasan.

Ini kerana ujarnya, pada akhirnya parti yang berkuasa untuk memberi projek dan sebagainya akan mendapat dana yang begitu tinggi berbanding parti-parti lain.

"Parti yang mendapat kelebihan tersebut akan meninggalkan parti-parti yang tidak mempunyai kuasa untuk menaburkan projek dan mendapat keuntungan besar.

"Harap isu pendanaan politik ini dapat diselesaikan secara jelas hitam putihnya sebelum PRU15. Ia adalah harapan kita kepada kerajaan Malaysia pada hari ini,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca