RAKYAT meletak harapan yang tinggi apabila kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup pada 29 Jun lalu.
Antara usaha terkini, Pengerusi pasukan khas iaitu Tan Sri Annuar Musa meminta pihak industri termasuk pengilang bekerjasama untuk menurunkan harga minyak masak dalam tempoh dua minggu bermula 18 Julai lalu.
Pasukan khas itu ingin melihat harga minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah daripada harga ia dijual.
Ketika ini harga minyak masak sebotol 5kg secara purata dijual sekitar harga RM40 hingga RM50, maka sasaran penurunan 10 peratus adalah sekitar RM4 hingga RM5. Ia adalah satu angka penjimatan yang besar bagi golongan B40.
Jika langkah pengurangan harga ini berjaya dan harga patut yang munasabah dicapai oleh pembeli, penjual dan pembekal, maka ia adalah satu permulaan persefahaman yang baik untuk semua pihak bagi pasaran terbuka.
Banyak pihak mengakui penurunan harga yang disyorkan oleh pasukan ini adalah satu langkah yang mencabar, begitu juga saranan menurunkan harga barangan lain.
Bagi pengusaha kantin dan penyedia makanan, penjimatan daripada penurunan harga dapat mengurangkan kos bahan mentah dan ini sekali gus mengurangkan harga makanan terutama di kantin sekolah, kedai makan di kilang, gerai-gerai tepi jalan yang banyak dikunjungi golongan B40.
Apa pun, matlamat penjimatan daripada penurunan harga 10 peratus memerlukan kejujuran di pihak pengeluar, pembungkus dan pembekal.
Ini kerana penjimatan tidak akan dirasai jika masih ada ketirisan dan permainan harga atau manipulasi harga oleh pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan cepat dan berlipat ganda.
Ketika ini, subsidi minyak masak peket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.
Kerajaan memperuntukkan jumlah subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.
Masyarakat pengguna meletak harapan tinggi kepada pasukan khas ini.
Ini kerana kita sering mendengar "setiap harga barang yang naik tidak akan turun dengan cepat sepertimana cepatnya kenaikan harga pada peringkat awal.”
Apa pun kita berharap penurunan harga minyak masak ini berjaya, sekali gus menjadi laluan penurunan harga barangan yang lain.
* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca