BANYAK perkembangan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) empat tahun lalu telah membawa impak negatif dalam kalangan rakyat terutama pengundi yang mengambil bahagian dalam proses memilih kerajaan.
Satu proses yang amat berharga dalam sistem demokratik.
Malah, kejadian-kejadian seperti tidak menghargai mandat yang diberikan dan keluar parti serta perubahan kerajaan berulang kali telah meninggalkan kesan negatif dalam pengundi baharu terutama pengundi berusia 18 tahun ke atas dan mereka yang secara automatik dimasukkan ke dalam daftar pemilih.
Apabila pemilih merasakan mandat atau undi mereka sudah tidak lagi dihargai dan dihormati, apa gunanya mengundi dalam pilihan raya.
Malah mereka bertanya, apakah jaminan senario yang sama tidak akan berulang selepas PRU15.
Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengelak rakyat ‘memboikot’ atau tidak mahu keluar mengundi. Jangan sampai peratusan keluar mengundi menurun dengan mendadak.
Semua pihak perlu melakukan sesuatu untuk memastikan sikap jemu, jelik dan kecewa untuk menyertai pilihan raya atau politik menjadi satu kekangan besar dalam jangka panjang.
Oleh itu, tanggal 28 Julai ini (Khamis), sekiranya tidak ada sebarang ‘angin melintang’, Parlimen sekali lagi bakal merakamkan satu lipatan sejarah.
Dewan Rakyat akan membahaskan rang undang-undang melarang antilompat parti.
Berdasarkan laporan Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan rang undang-undang (RUU) antilompat parti akan dibentang pada 27 Julai dan digulung keesokan hari.
Jelas Junaidi: "Jadi saya nak jelaskan di situ, prosedur RUU itu sendiri, semua ahli Parlimen sudah tahu. Insya-ALLAH, pada 27 hari bulan, ia akan dibahas dan pada 28 hari bulan petang, jam 2.30, insya-ALLAH saya akan menggulungnya.
Kalau tiada halangan dan ahli Parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan soal lompat parti ini sebelum jam 5.30 petang."
Bagi tujuan itu, libat urus bersama anggota Dewan Rakyat kerajaan diadakan pada 25 Julai manakala libat urus bersama barisan pembangkang pada 26 Julai sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk perbahasan.
Difahamkan, kandungan rang undang-undang itu sudah berada di atas meja anggota Dewan Rakyat sejak minggu lalu untuk penelitian mereka.
Berdasarkan paparan di laman web Parlimen, RUU itu bertujuan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan dimasukkan Subfasal 2(a) bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 10.
Subfasal 2(b) bertujuan untuk memasukkan Fasal baharu (3a) ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan.
Polemik mengenai perbuatan lompat parti dan keperluan untuk menghalang perkara tersebut bukan satu perkara baharu. Ia sudah berlarutan sejak lebih empat dekad lalu.
Ada wakil rakyat yang keluar parti dan bertanding semula untuk menguji populariti mereka. Ada yang keluar parti dan menyertai parti lain.
Ada yang bertanding sebagai calon Bebas, kemudian menyokong kerajaan atau menyertai kerajaan yang dibentuk. Ada juga wakil rakyat yang dikeluarkan oleh parti masing-masing atas masalah disiplin atau dipecat.
Sejak empat dekad lalu, pandangan agar diadakan peruntukan antilompat parti telah diketepikan banyak kali. Alasannya, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Agak sukar untuk menerima justifikasi sedemikian. Kini, semuanya berubah 360 darjah. Ia menjadi kenyataan kerana iltizam politik ekoran desakan demi desakan daripada rakyat dan para pengundi.
Isunya bukan hak membentuk persatuan tetapi kita perlu menjaga hak dan kepentingan pengundi. Jangan hanya menjaga kepentingan wakil rakyat yang tidak berintegriti.
Jangan sampai pengundi terus kecewa dengan tindak-tanduk wakil rakyat - wakil yang dipilih oleh rakyat mengabaikan mandat yang diberikan.
Dewan perundangan negeri juga mempunyai tanggungjawab bagi memastikan undi yang diberikan kekal bernilai selagi mandat semasa tidak dibubarkan atau terbubar.
Kini, Parlimen bakal mencipta satu lagi sejarah demi memperkasakan demokrasi dan hak pengundi.
KRONOLOGI ISU ANTILOMPAT PARTI 2018-2022
2018
9 Mei: Buat julung kali dalam sejarah begitu ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen lompat parti selepas PRU14 sekali gus mencetuskan keperluan mengadakan undang-undang khusus melarang tindakan keluar parti.
2020
16 Julai: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan usul mendesak kerajaan Persekutuan menggubal rang undang-undang antilompat parti.
10 Ogos: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin) berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang harus melucutkan empat ADUN mengikut undang-undang antilompat parti negeri itu jika pembangkang benar-benar mahukan undang-undang berkenaan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.
27 Ogos: Salah satu syor laporan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya yang diserahkan kepada Perdana Menteri termasuklah pembentukan kerajaan yang stabil berdasarkan kerusi majoriti dan pengenalan kepada Pilihan Raya Pecat.
2021
5 Mac: Wanita MCA menggesa kerajaan menggubal segera undang-undang antilompat parti sebelum PRU15 bagi menghentikan budaya ‘katak politik’.
7 Mac: Takiyuddin berkata, penggubalan akta antilompat parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
2 September: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar satu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
10 September: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh perkara dalam Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan. Salah satunya adalah undang-undang antilompat parti akan dibentangkan di Parlimen.
11 September: Kempen Rasuah Busters mengemukakan enam tuntutan reformasi institusi termasuk mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Antilompat Parti.
20 November: Barisan Nasional (BN) memberi komitmen akan memperkenalkan enakmen antilompat parti serta meminda peruntukan undang-undang berkaitannya untuk menangani isu lompat parti susulan kejayaan membentuk kerajaan Melaka dengan memenangi 21 kerusi DUN.
23 September: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Peguam Negara telah diminta untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti.
2022
20 Januari: Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, antaranya membincangkan mengenai RUU Antilompat Parti; mahu ia dibentang dalam sesi Parlimen akan datang.
17 Februari: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mencadangkan empat perkara asas perlu dipertimbangkan dalam undang-undang berkaitan dengan antilompat parti.
1 Mac: Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pihaknya akan memastikan enakmen antilompat parti perkara pertama dilaksanakan sekiranya menerima mandat rakyat pada PRN Johor pada 12 Mac.
24 Mac: RUU Antilompat Parti pertama kali dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama penggal keempat Parlimen ke-14 tetapi tidak menjadi kenyataan.
24 Mac: Wan Junaidi memaklumkan bahawa pembentangan RUU Antilompat Parti akan diadakan semasa sidang khas Parlimen pada 11 April.
30 Mac: Wan Junaidi menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti dalam draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti.
6 April: Wan Junaidi memaklumkan pembentangan RUU Antilompat Parti ditangguhkan lagi. Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan kandungan RUU yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April.
7 April: Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mencapai kata sepakat untuk menyokong satu pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal rang undang-undang melarang lompat parti.
7 April: Pihak kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik bersetuju untuk mengadakan satu lagi sidang khas Parlimen.
8 April: Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata tidak akan berkompromi dengan penangguhan pembentangan RUU Antilompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada 11 April dan mendesak Perdana Menteri memberi jaminan ia akan dibentangkan dalam masa terdekat.
10 April: Kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti dan menggubal undang-undang antilompat parti; menurut Perdana Menteri, ia bakal melibatkan wakil daripada kerajaan dan pembangkang.
11 April: Sidang khas Parlimen diteruskan seperti yang dirancang tetapi tidak membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) No.3) 2022. Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk memanggil satu lagi sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir Mei.
11 April: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah dibentuk dengan keanggotaan 11 ahli Parlimen dwipartisan bagi meneliti dan memuktamadkan undang-undang berkaitan.
12 April: Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kelantan negeri Kelantan pernah meluluskan enakmen antilompat parti di negeri itu tetapi ia terbatal kerana bertentangan dengan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.
13 April: DUN Pulau Pinang dan Speakernya dibenarkan merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang antilompat parti negeri itu. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan rujukan yang dikemukakan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
8 Jun: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menimbang RUU melarang ahli Dewan Rakyat daripada menukar parti telah menyelesaikan tugasnya. Menurut Wan Junaidi, semua lima persoalan dasar yang dibangkitkan oleh Jemaah Menteri pada 1 Jun lalu telah diulas dan dijawab.
14 Julai: Kabinet telah meluluskan draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.
27 Julai: RUU dijadual dibahaskan hari ini dan pengundian akan diadakan esok.
* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir
Klik di sini untuk terus membaca