SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tawaran UMNO untuk menstabilkan keadaan politik negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat tidak logik kerana parti itu adalah pemerintah dalam kerajaan pada hari ini. Ketua Penerangan Parti Ikatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Tawaran UMNO untuk menstabilkan keadaan politik negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat tidak logik kerana parti itu adalah pemerintah dalam kerajaan pada hari ini.

Ketua Penerangan Parti Ikatan Demoratik Malaysia (Muda), Luqman Long berkata, blok pembangkang juga telah menandatangani memorandum persefahaam (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan bagi memastikan kedua-dua perkara itu sentiasa terjamin.

"Saya harus ingatkan bahawa kerajaan pada hari ini adalah UMNO. Jadi, kalau nak cerita tentang kestabilan politik yang ditawarkan oleh UMNO bukan (baru) bermula sekarang, waktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, mereka asyik zikir dan ratib boleh tawarkan kestabilan politik.

"Tetapi dalam masa nak tawarkan kestabilan politik, tiba-tiba (UMNO) kata perlu buat PRU15. Jadi, ini yang saya hairan kenapa nak kestabilan politik sedangkan sekarang anda (UMNO) kerajaan pemerintah,” katanya dalam program Berani Bersemuka bertajuk 'PRU15: 2022 atau 2023?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Selasa.

Program tersebut turut menampilkan Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan Abd Shani selaku pendebat manakala Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.

Dalam pada itu Luqman berkata, parti Muda mengakui kerajaan yang memerintah pada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang bermasalah dan tidak mempedulikan nasib rakyat yang kian terkesan akibat kos sara hidup meningkat di samping hal lain yang berkaitan.

"Sebab itu Muda menegaskan, tuntutan rakyat pada hari ini bukan berkisar tentang siapa dan bila nak pilih kerajaan baharu tetapi bantu, dengar suara mereka, bawa kepada kehidupan yang lebih baik.

"Persoalan paling besar yang ditanyakan oleh rakyat adalah di manakah UMNO ketika lebih 600,000 isi rumah M40 jatuh ke B40, ketika pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 hasil daripada inisiatif kerajaan membenarkan pengeluaran, (apabila) lebih 30 pimpinan orang muda, mahasiswa dan NGO dipanggil pihak berkuasa kerana bersuara untuk rakyat agar kerajaan turunkan harga barang dan gaji menteri.

"Sebab itu saya sebut pembangkang hari ini tidak mahu sebut tentang pilihan raya sewaktu rakyat susah, menderita dan bagi Muda, saya jamin kalau PRU15 dibuat pada minggu depan sekalipun, kita bersedia untuk hantar calon dan wakilnya, tetapi perbincangan bila pilihan raya itu perlu dibuat selepas kita selamatkan rakyat yang susah, lapar dan sakit,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca