SHAH ALAM - Calon Perdana Menteri dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Calon Perdana Menteri dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, sebaliknya calon yang telah ditetapkan parti itu menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu adalah Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya sebagai orang UMNO perlu hormati keputusan tertinggi dalam parti yang telah meletakkan dan menetapkan sekiranya parti masuk pilihan raya dan menang, Datuk Seri Ismail Sabri dicalonkan sebagai Perdana Menteri baharu.

"Itu ketetapan yang telah dibuat UMNO dan dipersetujui semua akar umbi ketika PAU berlangsung," katanya pada Program Berani Semuka bertajuk 'PRU15: 2022 atau 2023?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Selasa.

Program tersebut turut menampilkan Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Luqman Long selaku pendebat manakala Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai moderator.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wakil Muda, Mutalib Uthman mengenai calon Perdana Menteri pilihannya sekiranya UMNO menang PRU15 sama ada Najib, Ahmad Zahid atau bosnya sendiri, Asyraf Wajdi bagi memberi laluan kepada orang muda.

Dalam pada itu, Faridzul Azlan memberitahu, tempoh untuk mengadakan PRU15 tidak perlu sehingga mencapai waktu maksimum lima tahun.

Kata Faridzul Azlan, ia kerana dalam sejarah pilihan raya umum sendiri, sebanyak enam kali pilihan raya diadakan dalam tempoh hanya empat tahun dan tidak sehingga habis penggal.

Menurutnya, kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak pada tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"UMNO sentiasa menjunjung kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda dalam perkara ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca