SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memaklumkan telah menerima 135 aduan berkaitan penipuan kontraktor pembinaan sejak Januari lalu. Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Baskaran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memaklumkan telah menerima 135 aduan berkaitan penipuan kontraktor pembinaan sejak Januari lalu.

Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Baskaran Sithamparam berkata, mudah percaya dan tidak melakukan pemeriksaan sama ada kontraktor berdaftar atau tidak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pem-binaan (CIDB) adalah antara punca ramai pengguna ditipu.

"Mangsa biasanya cenderung menghubungi kontraktor berkenaan setelah diperkenalkan oleh kenalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jelas beliau, ramai kontraktor tidak takut menipu kerana tahu kebanyakan pengguna tidak mampu membayar kos peguam untuk membawa kes mereka ke mahkamah sivil.

Justeru, Fomca menasihatkan pengguna agar membuat laporan polis dan membawa isu itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sekiranya jumlah kerugian tidak melebihi RM50,000 dan kontraktor tersebut hanya membuat kerja-kerja pengubahsuaian.

"Jika penipuan kontraktor melibatkan pembinaan rumah baharu di atas tanah sendiri dan rumah di kawasan perumahan baharu, ia perlu dibawa ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR),” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, jika pengguna mahu membuat pengubahsuaian rumah melibatkan kontraktor, carilah kontraktor berdaftar dengan SSM dan CIDB.

"Cuba dapatkan pendapat pihak yang pernah mendapatkan perkhidmatan daripada kontraktor berkenaan sama ada kerjanya boleh dipercayai atau sebaliknya.

"Pastikan pengguna dapatkan sebut harga daripada beberapa kontraktor yang berdaftar untuk memastikan kos kerja tersebut hampir seragam.

"Perincikan juga segala pengubahsuaian atau pembai-kan yang perlu dibuat serta bahan pembinaan yang akan digunakan untuk pengubahsuaian,” katanya.

Tambah Baskaran, pastikan ia didokumentasikan dan pengguna perlu menyediakan perjanjian pembayaran berperingkat atau mod bayaran mengikut penyiapan kerja.

"Kesemua itu perlu dinyatakan dalam satu perjanjian yang diterima dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

"Ia penting kerana sekiranya salah satu pihak memungkiri janji, perjanjian itu boleh dibawa ke mahkamah sebagai bukti.

"Jangan pilih kontraktor melalui media sosial kerana ramai yang kena scam oleh scammer bertopengkan kontraktor. Cari kontraktor yang mempunyai pejabat berdekatan dengan rumah untuk kita memantau kerja mereka,” ujar beliau.

Mangsa ada hak ambil tindakan undang-undang

Sementara itu, Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, mangsa yang didakwa terlibat dengan penipuan oleh individu mengaku dirinya sebagai kontraktor berhak mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, laporan polis boleh dibuat terhadap pihak yang menipu jika mangsa mahukan prosiding berasaskan jenayah diambil oleh pihak berkuasa.

Muka hadapan Sinar Harian

Menurutnya, mangsa dinasihati mendapatkan temu janji dengan peguam yang ingin dilantik daripada senarai peguam atau firma berdaftar dengan Badan Peguam Malaysia bagi tindakan guaman sivil, yakni untuk tuntutan ingkar kontrak atau ganti rugi.

"Mereka yang mahukan pampasan dalam bentuk ganti rugi wang atau mendapatkan perintah mahkamah bagi satu pelaksanaan spesifik, antara lain untuk menguatkuasakan terma-terma per-janjian yang dimasukkan pihak (kontraktor) bagi menyiapkan projek pembinaan seperti dijanjikan, tindakan undang-undang perlu difailkan untuk mendapatkan remedi tersebut.

"Sewajarnya pihak tertipu ini mendapatkan khidmat peguam untuk meneliti perjanjian yang dimasukkan (jika ada secara bertulis) untuk memastikan terma-terma dalam perjanjian itu dapat dikuatkuasakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sama seperti mana-mana khidmat yang ingin diperoleh, mangsa boleh mendapatkan pandangan awal dan sebut harga daripada peguam ingin dilantik.

"Untuk mendapatkan khidmat guaman, butiran mengenai peguam atau firma guaman boleh diakses menerusi laman web Badan Peguam Malaysia bagi mengelak risiko ditipu pula oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengaku mereka ialah peguam,” katanya.

Tambah beliau, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) Seksyen 25 (1) mewajibkan mana-mana pihak yang ingin menjalankan kerja-kerja pembinaan untuk berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Jelasnya, jika kontraktor tersebut gagal berbuat demikian, Seksyen 29 dalam akta sama memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

"Denda yang dikenakan di bawah akta itu bukanlah satu bentuk pampasan kepada pihak yang mendakwa dirinya tertipu,” ujar Muhammad Akram.

Namun, katanya, jika pihak yang mendakwa ditipu membuat sedikit carian maklumat dan latar belakang individu atau syarikat dilantik untuk melaksanakan pembinaan, situasi tersebut berpotensi dapat dielakkan.

"Pada masa sama, tidak dinafikan ada juga pihak sebenarnya tahu kontraktor yang dilantik itu tidak berlesen tetapi tetap melantiknya semata-mata kerana mahukan kos lebih rendah.

"Isu ini bukan semata-mata melibatkan penggubalan, penguatkuasaan atau pindaan undang-undang pihak berkuasa tetapi ia juga menjurus kepada mentaliti orang ramai sendiri yang sanggup mengambil risiko,” jelas beliau.


KENAL PASTI KONTRAKTOR HARAM

1. Tidak mempunyai Kad Hijau CIDB iaitu akuan sah bagi melayakkan individu yang berdaftar dengan CIDB terlibat dalam industri binaan di Malaysia.

2. Tidak ada kontrak atau perjanjian bertulis antara kontraktor dengan klien.

3. Harga ditawarkan lebih murah berbanding syarikat binaan berdaftar lain.

4. Kontraktor tanpa lesen kebiasaannya dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

5. Kerja pembinaan atau pengubahsuaian dibuat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan CIDB.

6. Nama syarikat tidak tersenarai dalam laman web CIDB.

Sumber: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM)


Klik di sini untuk terus membaca