MASIH ingat lagu ‘Kisah Seorang Biduan’ nyanyian Allahyarham Datuk Dahlan Zainuddin? Ketika lagu itu menjadi fenomena saya masih budak-budak, tetapi waktu itulah saya mula mengesan bakat saya dalam bidang nyanyian.
Sebabnya, setiap kali saya nyanyikan lagu itu kawan rakan dan sepupu-sepapat mesti suruh saya diam. Mereka cemburu...
Lagu itu memberi gambaran jelas tentang bagaimana susah payah seorang anak seni untuk mencipta nama. Datangnya dari desa untuk mencuba nasib di kota raya. Pelbagai liku perlu dilalui sebelum mencapai apa yang dicipta.
Kisah ‘biduan’ itu hanyalah secebis daripada realiti kehidupan. Terlalu banyak kisah-kisah lain seumpamanya.
Ramai sahabat saya dari kalangan pengarah, pelakon, penyair, penulis, pelukis, jurugambar, kartunis, menceritakan bagaimana sukarnya untuk membina tapak dalam industri yang mereka libati.
Sebahagiannya berjaya selepas melalui beberapa fasa ujian kesengsaraan, tetapi tidak sedikit yang patah hati dan hilang semangat.
Begitulah sukarnya untuk menjadi terkenal pada masa dahulu.
Sekarang tidak lagi begitu. Dunia baharu yang kita sedang lalui menyediakan seribu satu jalan pintas untuk menjadikan anda terkenal. Hanya dengan memaki-hamun dan mencarut misalnya, anda boleh menjadi popular. Silap-silap diangkat sebagai ikon. Diusung diarak ke mana pergi.
Dahulu kalau hendak jadi penyanyi suara mesti sedap, atau sekurang-kurangnya jenis suara yang boleh diasah supaya menjadi sedap. Sekarang ini kalau suara macam tepung bungkus kena pijak sekalipun peluang anda untuk terkenal tetap ada. Akan ada orang yang bersedia menjadi ‘pengikut’ anda.
Semua itu ada hasilnya. Ada pendapatan yang boleh dijana daripada jumlah tontonan, iklan dan sebagainya. Itu belum lagi dicampur dengan peluang membuat duit sebagai pempengaruh.
Peluang yang luas terbuka dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja itu mendorong kepada terjadinya perlumbaan sengit untuk memuat naik content (kandungan) yang boleh mencuri perhatian khalayak secara pantas.
Suatu ketika dahulu – malah sekarang ini pun – berselfie di lokasi dan sudut-sudut berbahaya menjadi kegilaan. Lagi berbahaya tempat selfie itu dirakam, akan terasa lagi hebat. Kembanglah urat kepala bila mendapat tanda suka dan mengumpul jumlah pengikut.
Tidak sedikit yang menjadi korban kerja bodoh itu. Satu kajian menunjukkan dari 2011 hingga 2017 sebanyak 259 kematian akibat selfie direkodkan di seluruh dunia.
Ada yang mati kerana terjatuh bangunan, dilanggar kereta api, digilis lori dan sebagainya.
Disebabkan itu muncullah istilah killfie, merujuk pada aktiviti selfie yang boleh membawa maut.
Bukan tidak ada kandungan yang baik-baik. Banyak. Di Youtube misalnya, daripada lebih 800 juta video yang telah dimuat naik setakat ini, sebahagian besarnya adalah bahan yang boleh membantu memandaikan kita sama ada secara langsung atau pun tidak.
Di TikTok pun begitu. Banyak kandungannya yang bersifat ‘budiman’, yakni yang baik-baik.
Kandungan seperti itu memang tidak ada masalah. Yang kita khuatirkan adalah kandungan-kandungan yang berpotensi menyesatkan Keluarga Malaysia dalam dunia baharu yang kian berselirat ini.
Terlalu banyak kandungan yang sudah tidak mempedulikan nilai moral, apatah lagi soal dosa dan pahala. Tidak cukup dengan keceluparan mulut, ditayang pula sosok badan yang bukan setakat macam nangka di dalam sarung, tetapi macam nangka tidak bersarung. Kalau nangka muda mungkin boleh dibawa berunding, ini nangka layu yang gagak pun malas hendak patuk.
Ada ibu bapa menyuruh anak-anak bergaduh untuk dijadikan kandungan. Ada suami isteri berkongsi benda-benda dalam kelambu secara terperinci dengan audiens.
Ada emak tanpa segan silu menyusukan anak di depan kamera. Itu belum lagi termasuk bab mengajuk orang, mempersendakan agama, memperlekehkan bangsa, semuanya ada.
Mereka ini secara umumnya akan menjustifikasikan tindakan dengan berkata, semua itu hanyalah ‘lakonan’ untuk content. Diri mereka yang sebenar bukan begitu. Mereka baik, suci murni.
Justifikasi sedemikian banyak bahayanya. Ia akan menyebabkan si pelaku langsung tidak berasa bersalah. Dengan perkataan lain, matlamatnya menghalalkan cara yang dia gunakan.
Tidak mudah untuk kita bendung penyakit sosial yang sedang teruk menular ini. Tetapi percayalah, jalannya tetap ada. Dan antara jalan terbaik ialah ‘jadilah budiman macam saya’. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca