SAYA sedang melangkah pulang dari farmasi bila terdengar suara jeritan seorang kanak-kanak. Lantas saya menoleh dan terpandang dia sedang berlari kerana dikejar seekor anjing. Saya sempat memintas dan berdiri di antara kanak-kanak dan anjing itu.
Saya menyuruh kanak-kanak itu berhenti berlari, bergerak secara berundur tetapi jangan bertentang mata dengan anjing itu. Binatang tidak suka bertentang mata kerana itu bahasa untuk ajak bergaduh. Saya menyuruh kanak-kanak itu buat-buat tak nampak akan anjing itu tetapi sentiasa awas.
Saya pula berdiri tegak sambil menjeling pada anjing itu. Memang saya tidak berasa takut kerana anjing itu menyalak sambil mengibas-ngibas ekornya. Itu bahasa anjing mengajak kita main kejar-kejar. Bila saya berdiri begitu, anjing itu berhenti menyalak dan berhenti mengejar.
‘Go!’ Perintah saya dengan suara tegas. Agaknya kerana mula faham yang saya tidak mahu bermain, anjing itu tertunduk-tunduk berlalu. Saya terus menemani kanak-kanak itu pulang sambil memberinya tips apa yang hendak dilakukan bila dikejar anjing.
Mujur, saya pernah terbaca panduan apa yang hendak dilakukan bila dikejar anjing di Google. Jika tiada ilmu itu, saya akan gunakan ilmu yang saya belajar dari kawan-kawan sekampung dahulu. Bila nampak anjing, capai batu dan baling! Kalau anjing tidak mengganggu pun pura-pura capai batu di tanah, pura-pura baling dan anjing akan lari. Ha-ha...nakalnya!
Bila memikirkan insiden berdepan dengan anjing itu, saya tersedar yang kita ini suka mengaplikasikan hukum Newton yang ketiga! Hukum ketiga itu menyatakan bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.
Dalam bahasa yang mudah, apabila kita menerima sesuatu tindakan, kita akan memberi reaksi tindak balas yang serupa.
Kata orang, air dilawan dengan air, api dilawan dengan api. Kita ini manusia yang ada ego. Kita akan melawan untuk menunjukkan yang kita juga punyai daya. Kalau kita berdiam, itu menggambarkan kita lemah atau penakut.
Anjing yang mengejar itu berhenti bila kita tidak lari atau mendepani untuk menentangnya. Sebaliknya bila kita buat-buat tidak tahu, anjing itu berlalu pergi.
Pendek kata, kita tidak mengikut rentak yang diingini oleh anjing itu. Bila kita tidak menuruti kehendak anjing itu, pertembungan tidak terjadi. Pertembungan akan mengakibatkan kesan yang buruk dan panjang.
Dalam pelbagai situasi, kita suka memberi reaksi yang bersetentang dengan apa yang kita terima. Apabila pemandu di belakang membunyikan hon kerana kita lambat membelok, kita sempat menunjuk isyarat lucah kepadanya sebagai reaksi melawan.
Apabila mendapat sebuah komen dari orang yang tidak dikenali yang memperlekeh kita di media sosial, kita menyindirnya kembali dengan panjang lebar.
Seharusnya kita kenalah buat pertimbangan dahulu untuk apa kita perlu memberi reaksi yang serupa. Dalam pelbagai situasi, kita memberi reaksi kepada orang yang kita tidak kenal pun.
Pemandu yang membunyikan hon, netizen yang memperlekeh kita, malah anjing yang mengejar itu besar kemungkinannya tidak akan kita temui lagi.
Memang tidak berbaloi apabila kita boleh bersengketa dengan orang yang kita tidak kenali semata-mata kerana kita tidak setuju dengan tindakannya.
Banyak pergaduhan yang melibatkan pengguna jalan raya tidak sepatutnya berpanjangan hingga menjadi kes mahkamah semata-mata bila kedua-dua pihak memberi reaksi.
Padahal, dengan mendiamkan diri dan tidak memberi reaksi, pergeseran akan dapat dielakkan dan masing-masing akan melupakannya dalam masa sehari.
Dalam hidup ini, kita perlu menjadi proaktif, sebagai pencetus sesuatu; bukannya yang reaktif iaitu yang memberi reaksi apabila sesuatu yang terjadi.
Ini adalah kerana, orang yang memberi reaksi itu sebenarnya berjiwa pengikut kerana bertindak hanya apabila dirangsang dari luar.
Tidak memberi reaksi itu juga adalah tindakan proaktif kerana kita mengajak pihak yang satu lagi mengalih bentuk tindakan walaupun dengan cara mendiamkan diri. Dia ikut rentak kita, bukannya kita ikut gendang dia.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca