SHAH ALAM - Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai mekanisme sangat penting dalam mengukuhkan lagi amalan demokrasi di negara ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai mekanisme sangat penting dalam mengukuhkan lagi amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati Nordin berkata, nilai undi daripada setiap rakyat pada pilihan raya adalah amat berharga terutama bagi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan masyarakat dapat dikekalkan.

Tegasnya, pembelotan daripada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih secara sah oleh rakyat semasa pilihan raya adalah satu perbuatan tidak boleh dimaafkan.

Katanya, melalui undi rakyat, perbuatan biadab tersebut merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada golongan pemimpin serta parti.

"Perkara seumpama ini (lompat parti) tidak boleh dibiarkan terus berlangsung di dalam negara ini kerana banyak kesan daripada perbuatan pengkhianatan tersebut.

"Manfaat yang diberikan kepada kumpulan pemimpin tersebut masih dilihat sebagai perbuatan berat sebelah kerana keuntungan yang dicapai adalah bagi pihak parti politik tetapi bukan kepada rakyat apabila kepercayaan mereka dikhianati dan menjuruskan orang ramai berada dalam keadaan kecelaruan,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

RUU Anti Lompat Parti akan dibentang di Parlimen hari ini dan jika tiada sebarang halangan, ia akan digulung pada Khamis.

RUU berhubung peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti berkenaan telah menjalani banyak sesi libat urus sejak Januari lepas.

Corak bagi RUU itu juga dilihat berlainan jika dibandingkan dengan undang-undang sedia ada, berikutan ia dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen serta bukannya dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.

Nurhayati berkata, menjadi satu keutamaan penggubalan undang-undang berhubung isu lompat parti kerana ia merupakan inti kekuatan sesebuah negara demokrasi.

Ujarnya, senario politik negara perlu distabilkan kerana perlakuan ahli politik yang mudah melompat parti amat bercanggah dengan moral seharusnya diamalkan setiap barisan kepimpinan negara.

"Amalan lompat parti dilihat memperdagangkan nilai integriti, amanah dan akauntabiliti wakil-wakil rakyat yang telah dipilih secara sah.

"Tanggungjawab dan moral politik di negara ini sewajarnya diperteguhkan melalui sebuah bentuk reformasi legislatif demi mengelakkan runtuhnya kesucian demokrasi,” tegasnya.

Tambah beliau, perbuatan lompat parti mampu mencetuskan krisis dan menggoncang kestabilan politik sekali gus menyebabkan negara boleh berhadapan situasi getir.

"Kita sebagai rakyat sangat berharap perkara seumpama ini dapat ditangani dengan penuh strategik dan berkesan supaya negara tercinta terus kekal aman dan ekonomi berada dalam keadaan stabil.

"Sebenarnya kita tidak ada masa lagi untuk membiarkan titik-titik lemah dalam politik merosakkan keharmonian dan mengganggu fokus pembangunan negara.

"Rakyat memerlukan sebuah barisan kepimpinan yang benar-benar telus dan serius untuk mengembalikan maruah negara di mata dunia, bukannya terpaksa mengambil risiko untuk melihat golongan tersebut menerajui kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca