PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Parlimen dijangka akan mendapat sokongan kukuh daripada ahli Parlimen di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Parlimen dijangka akan mendapat sokongan kukuh daripada ahli Parlimen di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pembangkang khususnya Pakatan Harapan sememangnya memberi sokongan penuh terhadap pembentangan RUU Anti Lompat Parti tersebut sejak mula.

"RUU ini adalah antara satu daripada 18 yang dijanjikan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH). Maka secara asasnya memang PH menyokong penuh dari awal,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 14 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kabinet meluluskan draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau berkata, pembentangan dan perbahasan RUU itu akan diteruskan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mengikut garis masa seperti dirancang iaitu 27 dan 28 Julai ini.

Fahmi berkata, beliau secara peribadi berpuas hati dengan draf RUU tersebut setelah menerima dan meneliti dokumen berkenaan yang akan dibentang dan dibahaskan bermula hari ini.

"Ini adalah komitmen yang boleh kita anggap sekiranya berjaya kita luluskan, ia mengelak daripada berulangnya Langkah Sheraton.

"Kita tidak boleh nafikan Langkah Sheraton itu telah memporak-perandakan persada politik tanah air, merosakkan demokrasi dan meranapkan harapan rakyat.

"Jadi dengan meluluskan pindaan Perlembagaan ini ia bukan setakat mewujudkan satu RUU, tapi sesuatu yang akan termaktub dalam Perlembagaan bermaksud lebih sukar untuk ditukar pada masa depan,” ujarnya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap akta tersebut.

"Kami mahu memastikan ia dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas menyokong penuh pembentangan RUU itu namun pada masa sama akan meneliti serta memperhalusi sebarang isu berbangkit berkenaan RUU tersebut semasa perbahasan bagi memastikan ia dapat memberi keadilan kepada semua pihak.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith menjelaskan, partinya setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah terhadap pembentangan akta tersebut.

"Kita tunggu benda itu dibahaskan dulu, ada beberapa perkara yang mungkin perlu penambahbaikan. Tunggu pembentangan dulu (sokongan terhadap RUU tersebut),” ujarnya.

Wan Junaidi pada Isnin berkata, kesemua ahli Parlimen kerajaan menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang bakal dibentangkan dan dibahaskan itu.

Menurut beliau, persetujuan itu dicapai sebaik selesai sesi libat urus bersama kumpulan berkenaan di Parlimen pada Isnin.

Klik di sini untuk terus membaca