BEKAS lelaki paling kaya di dunia, Bill Gates yang juga pengasas bersama syarikat Microsoft membeli sejumlah tanah ladang pertanian lebih 100,000 hektar di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Pendedahan itu dilaporkan... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS lelaki paling kaya di dunia, Bill Gates yang juga pengasas bersama syarikat Microsoft membeli sejumlah tanah ladang pertanian lebih 100,000 hektar di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Pendedahan itu dilaporkan oleh stesen penyiaran NBC sekali gus menunjukkan peralihan pelaburan teknologi yang sinonim dengan bilionair tersebut sebelum ini kepada sektor pertanian yang menanam pelbagai jenis sayur-sayuran.

Gates ialah perintis teknologi AS dan pembangun perisian terkenal, dermawan antarabangsa, ahli perniagaan terkenal termasuk pelabur selain pernah menjadi lelaki paling kaya di dunia pada tahun 1995 hingga 2010 dan dari 2013 hingga 2017.

Menurut Forbes baru-baru ini, anggaran nilai kekayaannya ialah AS$105.0 bilion (RM46.79 bilion) sekali gus menduduki tempat kelima manakala tempat keempat yang didudukinya sebelum ini diambil alih oleh bilionair dari India, Gautam Adani dan keluarganya kerana menjalankan perniagaan infranstruktur serta komoditi dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$116.3 bilion (RM518.23 bilion).

Pengasas bersama kenderaan elektrik, Tesla dan pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk masih menjadi lelaki paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$250.7 bilion (RM1.1 trilion) manakala tempat kedua diduduki oleh pelabur dan pengumpul barangan seni dari Perancis, Bernard Arnault dan keluarganya.

Arnault dan keluarganya dianggarkan memiliki anggaran kekayaan sebanyak AS$157.8 bilion (RM703.16) manakala tempat ketiga menjadi pemilik syarikat e-perniagaan multinasional terkenal Amazon iaitu Jeff Bezos dengan anggaran kekayaan bernilai AS$146.8 bilion (RM654.14 bilion).

Pembelian tanah ladang oleh Gates dibuat dengan bantuan firma Cascade Investment yang berpangkalan di Washington dan beberapa syarikat lagi di hampir 20 buah negeri AS yang menanam sayur-sayuran seperti lobak merah, kacang soya dan kentang.

Lelaki kelima terkaya di dunia itu memiliki tanah ladang pertanian di Arizona, Arkansas, California, Colorado, Florida, Idaho, Illinois, Indiana, Iowa, Louisiana, Michigan, Mississippi, Nebraska, New Mexico, North Carolina, Ohio, Washington, Wisconsin dan Wyoming.

Bill Gates - Foto AFP

BELI TANAH LADANG 800 HEKTAR

Pada akhir Jun lalu, Peguam Negara Dakota Utara meluluskan pembelian tanah ladang berjumlah lebih 800 hektar oleh sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Gates iaitu Red River Trust yang membelinya daripada penanam kentang, Campbell Farms dengan harga kira-kira AS$13.5 juta (RM60.16 juta).

Berita pembelian tanah ladang pertanian tersebut menjadi tajuk-tajuk akhbar kerana ramai orang menganggap ia adalah mengejutkan jika pengasas bersama Microsoft itu sanggup membelanjakan begitu banyak wang untuk tujuan pertanian.

Sebelum ini para pengguna laman rangkaian komuniti sosial di AS, Reddit diberikan peluang untuk bertanya kepada bekas lelaki paling kaya di dunia itu mengenai sebab kenapakah di sebalik pelaburannya yang begitu besar, mengapakah beliau membeli begitu banyak tanah pertanian.

Bagaimanapun, Gates memberikan jawapan bahawa kumpulan pelaburannya yang membuat keputusan bagi membeli tanah-tanah ladang pertanian dan ia tidak mempunyai kaitan dengan isu iklim sebaliknya sekator tersebut penting kerana dengan benih tanaman yang lebih produktif, masalah penebangan hutan dapat dielakkan.

Namun, pelaburan pengasas bersama Microsoft itu bertindak membeli tanah-tanah ladang pertanian di AS selama bertahun-tahun menimbulkan persoalan daripada para penganalisis sama ada ia merupakan aset yang menarik.

PULANGAN KUKUH, ASSET STABIL

Tanah ladang pertanian sebenarnya menawarkan pulangan kukuh, aset stabil dan mempunyai risiko yang rendah data pada tahun 2021 menunjukkan purata nilai hartanah ladang AS ialah AS$3,380 (RM15,061) untuk setiap 0.40 hektar iaitu meningkat sebanyak 7 peratus berbanding tahun 2020.

Carl Zulauf iaitu seorang Profesor Emeritus di Jabatan Ekonomi Pertanian, Alam Sekitar dan Pembangunan di The Ohio State University menjelaskan kepada portal berita RT bahawa harga tanah-tanah ladang AS telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh pulangan yang tinggi dan kadar faedah yang rendah.

Dari segi teknikal, Gates menduduki tempat ke-49 dalam senarai individu, keluarga dan syarikat yang memiliki tanah ladang terbanyak di AS.

Bagaimanapun, tindakan Gates melabur dalam sektor perladangan pertanian mungkin menggalakkan orang lain untuk mula melihat tanah ladang sebagai peluang pelaburan yang bijak.

Namun, terdapat kritikan bahawa pelaburan Gates itu boleh menjejaskan sektor pertanian kerana ia akan menyebabkan lebih ramai orang melihat tanah ladang sebagai satu bentuk pelaburan pada masa depan.

Setakat ini, Gates hanya menyatakan bahawa pembelian tanah-tanah pertanian itu adalah disebabkan oleh keputusan yang dibuat boleh kumpulan pelaburannya dan tidak ada sesiapa pun yang mengetahui kenapakah beliau aktif melabur dalam bidang tanah pertanian. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca