SHAH ALAM - Sindiket dadah terancang Asia Tenggara yang berpusat di kawasan segi tiga emas menggunakan pelbagai kaedah bagi melahirkan lebih ramai pengedar dalam kalangan penduduk tempatan. Kawasan segi tiga emas berkenaan melibatkan tiga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sindiket dadah terancang Asia Tenggara yang berpusat di kawasan segi tiga emas menggunakan pelbagai kaedah bagi melahirkan lebih ramai pengedar dalam kalangan penduduk tempatan.

Kawasan segi tiga emas berkenaan melibatkan tiga negara iaitu Laos, Burma dan Thailand.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sindiket sentiasa bergerak dengan cara mencari rakyat tempatan di mana-mana negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia yang boleh dijadikan pengedar menerusi tawaran habuan lumayan.

"Kebanyakan yang menjadi pengedar terdiri daripada penagih tegar dan mempunyai rekod pernah ditangkap polis. Selain itu, mereka turut menyasarkan mana-mana orang tempatan yang berani mengambil risiko untuk mendapatkan keuntungan tinggi.

"Setiap sindiket antarabangsa akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan kegiatan pengedaran dadah di negara berkaitan seperti Malaysia tidak terputus,” katanya.

Beliau berkata, walaupun beberapa sindiket dadah di negara ini sudah dikenal pasti dan telah ditumpaskan pihak berkuasa, tetapi kesan jangka pendek kegiatan tersebut menyebabkan berlaku peningkatan bilangan penagih dadah baharu.

"Penagih ini yang akan terus meningkatkan permintaan dadah di negara ini, secara tidak langsung pasaran untuk dadah akan terus wujud,” katanya ketika temu bual eksklusif dengan Sinar Harian baru-baru ini.

Surina (tiga dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas JSJN Perlis dengan kerjasasama JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang pada 16 Julai lalu.

Surina berkata, di Perlis yang bersempadan dengan Thailand, sindiket menyeludup dadah sentiasa bergerak di lokasi yang berubah-ubah setiap masa.

Menurutnya, antara laluan darat yang dikenal pasti menjadi pilihan penyeludup ialah di Wang Kelian, Chuping, Kampung Melayu dan Kampung Kolam.

"Di Perlis, tiada sindiket yang kebal atau mempunyai ‘orang dalam’ melindungi semua kegiatan jenayah mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, taktik menggunakan lori sayur antara kaedah digunakan sindiket penyeludupan ganja di sempadan Malaysia-Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, mereka juga menggunakan lori yang sudah diubah suai.

"Mereka akan menggunakan lori barang asas seperti lori sayur, lori ikan dan barang keperluan yang sentiasa bergerak secara harian tanpa disedari pihak penguat kuasa di sempadan,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) berkawal di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan.

Menurutnya, orang tengah yang menjadi ‘keldai dadah’ bertindak sebagai transporter iaitu pemandu dengan membawa bahan terlarang tersebut ke lokasi rahsia dengan menyembunyikannya di dalam kenderaan diubah suai seperti ruang khas (special compartment) di bumbung van atau tempat penyimpanan tayar ganti.

"Penyeludup dan pengedar dadah hanya menggunakan orang tengah dalam urusan pengangkutan. Ketua sindiket tidak akan bertindak sendiri untuk mengangkut dan membawa dadah dari satu tempat ke satu tempat lain,” jelas beliau.

Tambahnya, polis akan mengumpul maklumat, bantuan sumber dan siasatan taktikal untuk melumpuhkan sindiket yang bergerak secara rahsia itu.

Kes meningkat

Surina berkata, berdasarkan statistik kes rampasan ganja di Perlis pada tahun ini bermula Januari hingga Jun, ganja seberat 364.3 kilogram (kg) bernilai RM910,500 dirampas.

Katanya, ia melibatkan 16 kes dengan 17 tangkapan terdiri daripada transporter atau orang tengah.

Bagi tempoh Julai sahaja, katanya, ganja seberat 300kg dengan nilai RM750,000 telah dirampas membabitkan dua tangkapan disyaki pengedar.

"Polis mengesan terdapat peningkatan penyeludupan ganja. Contoh jelas ialah rampasan ganja berjumlah 300kg pada 16 Julai lalu.

"Risikan awal mendapati ganja ini diseludup masuk melalui negara jiran untuk pasaran tempatan. Ini adalah kesan jangka pendek memandangkan harga ganja di pasaran gelap Malaysia masih lagi mahal berbanding di Thailand.

"Harga di Thailand sekitar RM400 hingga RM500 sekilogram. Ia dijangka terus menurun disebabkan lebihan bekalan, manakala harga di Malaysia masih lagi tinggi sekitar RM2,200 hingga RM2,500 sekilogram,” ujarnya.

Sebagai langkah bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah termasuk ganja, Surina menjelaskan, selain kerjasama dan perkongsian maklumat antarabangsa antara negeri-negeri sempadan serta Bukit Aman, JSJN Perlis turut melaksanakan Op Tapis Khas bagi mengesan dan menghapuskan tempat penagihan dadah.

Klik di sini untuk terus membaca