SHAH ALAM - Seorang pemilik rumah kecewa kerana impiannya mahu menduduki kediaman baharu selepas bersara tidak kesampaian setelah menjadi mangsa penipuan kontraktor tidak berlesen. Kakitangan awam yang hanya ingin dikenali sebagai Salima,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemilik rumah kecewa kerana impiannya mahu menduduki kediaman baharu selepas bersara tidak kesampaian setelah menjadi mangsa penipuan kontraktor tidak berlesen.

Kakitangan awam yang hanya ingin dikenali sebagai Salima, 54, terpaksa menjual sebuah rumah miliknya bagi menampung keperluan membina rumah baharu dengan harga keseluruhan RM245,000 di tanah lot yang dibelinya di Kajang, Selangor.

Diperkenalkan melalui kenalannya, Salima berkata, kontraktor tersebut pada awalnya menjalankan kerja-kerja pembinaan bermula 25 November tahun lalu dengan sangat baik.

"Untuk permulaan, saya kena masukkan RM100,000. Mula-mula semuanya elok bermula daripada tolak tanah sehinggalah naikkan dinding.

"Hinggalah Februari lalu, dia minta saya masukkan lagi RM30,000 sebab nak naik bumbung dan proses pendawaian.

"Tetapi selepas itu bumbung masih belum siap juga dengan alasan harga besi mahal. Sampai sekarang rumah saya siap tiang dan dinding sahaja sedangkan ikut perjanjian, 1 Mac lalu sudah siap sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Salima, bermula Mei lalu hingga kini, kontraktor berkenaan mula tidak mengendahkan panggilan telefon dan mesej.

Beliau kemudiannya menyiasat latar belakang kontraktor berkenaan dan ternyata sudah ramai terkena dengan kontraktor ‘bermulut manis’ itu.

"Kontraktor itu sebenarnya sedang menyiapkan dua projek rumah baharu di sekitar kawasan sama, hanya selang beberapa lot dari tanah saya.

"Dia juga buat banyak rumah di kawasan lain pada waktu sama iaitu tiga rumah di Hulu Langat, Sungai Buah, Bangi, Selangor (satu) dan Kuala Kangsar, Perak (dua).

"Rupanya ramai terkena. Kebanyakan rumah yang dibuat memang tidak ada bumbung.

"Saya desak supaya pulangkan duit jika dia tidak dapat teruskan buat rumah tapi sampai sekarang tiada,” jelasnya.

Justeru, Salima membuat laporan polis di Balai Polis Kajang pada 13 Jun lalu.

"Namun, ia dikategorikan sebagai kes sivil, jadi saya perlu lantik peguam yang pastinya perlukan duit banyak,” ujarnya.

Kenal kontraktor di Facebook

Sementara itu, gara-gara nak jimat kos, ramai terpedaya dengan janji manis kontraktor pembinaan yang tidak memiliki lesen berdaftar sah.

Perkara itu diakui oleh seorang pemandu lori yang ingin dikenali sebagai Gunalan, 41.

Katanya, kontraktor dikenalinya di Facebook dua tahun lalu menawarkan sebut harga murah berbanding yang lain.

Tangkap layar perbualan Gunalan dan kontraktor tersebut.

"Dia kata harga murah sebab promosi, jadi saya dan jiran mengambil keputusan mengupahnya untuk mengubah suai tangga dan sengkuap (awning) dengan bayaran RM7,000 setiap rumah.

"Namun, selepas bayar, dia hanya datang buat awning di balkoni, itu pun dalam sebut harga sebenarnya tulis untuk awning salutan serbuk tetapi dia hanya cat biasa sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Gunalan kemudian meminta kontraktor tersebut membuat semula awning salutan serbuk mengikut perjanjian tetapi tidak diendahkan.

"Saya minta dia pulangkan baki wang kira-kira RM4,824 untuk kerja-kerja belum selesai tapi sampai sekarang belum bayar balik. Telefon dan mesej pun tidak dibalas.

"Kami tahu harga barang binaan naik. Kami dah maklumkan jika mereka tak boleh buat, kami beri dua pilihan sama ada tambah duit atau pulangkan duit.

"Kami beri tempoh hingga Ogos ini sebab dia janji nak bayar tetapi jika masih tertangguh, kami memang tidak teragak-agak untuk buat laporan polis,” ujarnya.

Tiga minggu kerja belum siap, pegawai eksekutif pemasaran rugi RM20,000

Sementara itu, seorang pegawai eksekutif pemasaran syarikat swasta di ibu kota dipercayai diperdaya oleh kontraktor yang berjanji mengubah suai pintu, pagar dan sengkuap (awning) rumah baharunya dalam masa tiga minggu.

Johan Sabri, 39 berkata, namun selepas lima bulan, projek masih belum siap sepenuhnya meskipun telah membayar lebih RM20,000 kepada kontraktor berkenaan, yang juga jirannya.

"Sepatutnya siap tiga minggu sahaja. Saya tidak puas hati sebab projek langsung tidak bergerak bermula Mac hingga kini. Apa yang dijanjikan tidak dipenuhi.

"Saya bayar RM16,000 mengikut perkembangan hasil kerja. Minggu pertama Mac, perkembangan makin perlahan.

"Saya minta pagar jenis automatik dengan sebut harga RM4,500. Bila dah bayar, dia hanya buat pagar biasa, tidak berkualiti dan bukan automatik seperti diminta,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Johan, kontraktor berkenaan memberi pelbagai alasan, antaranya tiada pekerja dan ia berlanjutan hingga kini.

"Kami belum buat laporan polis kerana masih mempunyai budi bicara disebabkan kontraktor berkenaan adalah jiran kami,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca