SHAH ALAM - Status dan kedudukan Bendahari Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Paul Yong Choo Kiong di dalam parti itu bakal ditentukan oleh Jawatankuasa Biro Politik parti berkenaan dalam masa terdekat. Hal ini susulan Paul Yong yang juga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Status dan kedudukan Bendahari Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Paul Yong Choo Kiong di dalam parti itu bakal ditentukan oleh Jawatankuasa Biro Politik parti berkenaan dalam masa terdekat.

Hal ini susulan Paul Yong yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu susulan didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada tahun 2019.

Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, satu mesyuarat Biro Politik parti akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkembangan terkini keputusan mahkamah yang disabitkan ke atas Paul Yong.

"Biro Politik (PBM) akan berbincang tentang perkembangan terkini berkaitan keputusan kes YB Tronoh (Paul Yong Choo Kiong).

"(Mesyuarat Biro Politik akan diadakan) dalam masa terdekat," ujar Haniza secara ringkas menerusi mesej kiriman aplikasi WhatsApp kepada Sinar Premium.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong yang ketika itu adalah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Perak, didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, Paul Yong pada 7 Disember tahun lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadaruddin.

Hakim Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan Paul Yong bersalah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan melalui saksi-saksi dikemukakan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh, Rajpal Singh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pada 9 Januari lalu, Paul Yong bersama dua lagi ADUN Perak iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam; ADUN Tronoh dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng membuat keputusan menyertai PBM setelah meninggalkan DAP sebelum itu.

Paul Yong kemudiannya dilantik sebagai Bendahari Agung PBM bersama-sama jawatankuasa tertinggi parti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Haniza yang juga ADUN Lembah Jaya, Selangor menafikan desas-desus terdapat beberapa ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas bakal menyertai parti itu pada bulan ini.

Jelas beliau, sehingga kini parti masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana ahli Parlimen.

Terdahulu, nama Timbalan Menteri Pelancongan, Dr Edmund Santhara Kumar daripada Bersatu dan bekas Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas) disebut-sebut bakal menyertai PBM dalam masa terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca