SHAH ALAM - Meskipun kekal bergelar wakil rakyat, Bendahari Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Paul Yong Choo Kiong bakal berdepan nasib yang sama seperti dialami bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan disabitkan bersalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Meskipun kekal bergelar wakil rakyat, Bendahari Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Paul Yong Choo Kiong bakal berdepan nasib yang sama seperti dialami bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan disabitkan bersalah atas pertuduhan kes mahkamah dihadapi mereka ketika ini.

Berdasarkan pandangan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, beliau percaya Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dan Najib sudah dianggap tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal ini berdasarkan pengalaman Wan Ahmad menguruskan SPR sebelum ini apabila sabitan hukuman penjara melebihi setahun dan denda lebih RM1,000 dihadapi Paul Yong dan Najib sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh dan Kuala Lumpur, sudah menyebabkan status kelayakan mereka untuk bertanding pilihan raya dipersoal dan dianggap ada kecacatan.

Lebih-lebih lagi sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, Wan Ahmad berpandangan SPR kebiasaannya sudah mengambil kira keputusan hukuman bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadap mana-mana wakil rakyat, sebagai syarat mencukupi untuk melucutkan kelayakan tertuduh daripada menjadi calon pilihan raya.

"Berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, status Paul Yong dan Najib sebagai wakil rakyat masih terjamin sehinggalah mereka mengemukakan rayuan keputusan bersalah di peringkat mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.

"Bagaimanapun, pandangan peribadi saya adalah keputusan bersalah oleh Mahkamah Tinggi yang dijatuhkan terhadap seseorang wakil rakyat, sudah mencukupi untuk diambil kira SPR bagi menilai status kelayakan individu berkenaan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Jika mengambil kira kes mahkamah dihadapi Tian Chua selaku Ahli Parlimen Batu sebelum PRU14, apabila beliau dijatuhkan hukuman bersalah di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan, status kelayakan beliau dianggap SPR sebagai bercanggah dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Atas sebab itu, Tian Chua tidak boleh bertanding pada PRU14 dan tidak hadir menyerahkan kertas penamaan calon pada hari penamaan pilihan raya," ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Rabu.

WAN AHMAD

Beliau berkata demikian bagi mengulas status kedudukan Paul Yong dan Najib sebagai wakil rakyat dan kelayakan mereka untuk bertanding pada PRU15 kelak.

Hal ini susulan kedua-dua pemimpin politik berkenaan sudah dijatuhkan hukuman bersalah di peringkat Mahkamah Tinggi atas kes pertuduhan dihadapi mereka.

Bagi Paul Yong yang sebelum ini menganggotai DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu susulan didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada tahun 2019.

Merujuk kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 8 Disember 2021 sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd selepas menolak rayuan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.

PENJARA 12 TAHUN, DENDA RM210 JUTA

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad turut bersetuju dengan pandangan senario sabitan kes mahkamah dihadapi Paul Yong adalah sama dengan kes Najib, meskipun status kelayakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Tubuh kerajaan negeri berkenaan.

"Dari sudut perundangan, Paul Yong dan Najib mempunyai hak mengemukakan rayuan kes mahkamah masing-masing ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh 14 hari, tetapi SPR kebiasaannya sudah melihat keputusan Mahkamah Tinggi sebagai justifikasi bagi mengenal pasti kelayakan calon pilihan raya.

"Bagaimanapun, saya masih berpandangan SPR boleh menggunakan budi bicara untuk memutuskan kelayakan seseorang calon untuk bertanding pada hari penamaan calon.

"Mungkin sekiranya keputusan di peringkat mahkamah lebih tinggi seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memihak kepada calon sebelum hari penamaan calon, maka SPR boleh mempertimbangkan semula kelayakan calon berkenaan," tegas Wan Ahmad lagi.

NAJIB

Pandangan Wan Ahmad turut dipersetujui pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang berpandangan Paul Yong dan Najib sudah boleh dianggap tidak layak bertanding pada PRU15.

Jelas beliau, hal ini kerana kedua-dua pemimpin itu sudah melakukan kesalahan di bawah bawah Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Fasal 5 perkara yang sama.

"Kalau ikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang wakil rakyat yang dituduh dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah, individu itu masih lagi layak memegang jawatan ADUN atau Ahli Parlimen sehinggalah selesai proses rayuan ke peringkat mahkamah tertinggi.

"Cuma status perjawatan wakil rakyat tertuduh akan terlucut serta-merta apabila Parlimen atau DUN negeri diwakili, terbubar.

"Sama ada dua pemimpin berkenaan boleh bertanding semula pada PRU15, terdapat pandangan paling popular mengatakan bahawa mereka sudah tidak layak bertanding.

"Perkara itu dapat dijelaskan menerusi Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Fasal 5, apabila status kelayakan wakil rakyat berkenaan untuk bertanding pilihan raya harus mula berkuat kuasa apabila habis tempoh 14 hari daripada tarikh rayuan atau prosiding rayuan di mahkamah lebih tinggi dibereskan mahkamah berkenaan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca