BAGAIMANA potongan gaji sebanyak RM10,000 daripada setiap 36 menteri, yakni penjimatan RM360,000 jumlahnya, boleh menurunkan inflasi? Mana negara sudah berjaya.
Ini adalah persoalan yang diajukan Tan Sri Annuar Musa, pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Untuk menjawab soalan ini, kita boleh merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Adern pada 15 April 2020 di kemuncak kesulitan ekonomi akibat lockdown pandemik Covid-19.
Pengumuman ringkas beliau selama satu minit 23 saat boleh didengar di laman YouTube dan saya syorkannya untuk semua pemimpin politik Malaysia.
"Hari ini, saya mengesahkan bahawa saya sendiri, para menteri dan ketua-ketua eksekutif perkhidmatan awam akan mengambil potongan gaji sebanyak 20 peratus untuk enam bulan yang akan datang, kerana kita mengambil maklum rakyat New Zealand yang bergantung kepada subsidi gaji, menerima potongan gaji dan hilang pekerjaan kerana pandemik Covid-19.
"Kami amat merasai pergelutan hidup yang dihadapi ramai rakyat New Zealand, dan juga mereka yang saya bertugas bersama dalam kerja harian. Sungguhpun langkah ini tidak akan mengubah kedudukan fiskal kerajaan secara keseluruhannya, ini pasal kepimpinan.
"Saya menyanjungi rakan-rakan sekerja saya di dalam eksekutif dan juga dalam perkhidmatan awam atas keputusan kita buat hari ini. Kalau ada satu titik masa untuk menutup jurang antara kelompok-kelompok di New Zealand dalam kedudukan yang berlainan, inilah masanya.
"Sudah tentunya, ramai di sektor awam adalah petugas barisan hadapan penting seperti jururawat, polis, profesional perubatan, kami tidak cadangkan potongan gaji.
Sebaliknya, saya bertanggungjawab atas cabang eksekutif, saya sendiri dan para menteri. Di sinilah kita boleh ambil tindakan, dan ini sebabnya kami mengambil tindakan.”
Ya, potongan gaji menteri bukan pasal impak kewangan, tetapi pasal kepimpinan, pasal empati dan solidariti pemimpin bersama rakyat yang sengsara, pasal pengurangan jurang.
Bila kita berpuasa, makanan yang kita jimatkan tidak semestinya cukup untuk menyaji semua orang miskin. Apa yang penting ialah kita rasa dan mengingati kelaparan orang miskin dan menjadi bersyukur kepada apa yang kita ada.
Dalam ungkapan Melayu yang mudah, rakyat ingin melihat pemimpin yang sanggup ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dengan rakyat.
Inflasi bermaksud daya beli dan upah benar kita merosot. Samalah kesannya dengan potongan gaji semasa lockdown.
Jadi, kalau menteri di New Zealand boleh faham empati dan solidariti serta potong gaji sendiri tanpa desakan, susah sangat untuk menteri-menteri kita?
Yang tidak dapat rasa kesengsaraan akar umbi bukan saja menteri, tetapi juga pegawai tinggi dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Bulan lepas, FGV yang 79.95 peratus dimiliki Felda mengumumkan kenaikan (bersih) fi pengerusinya sebanyak RM140,000 setahun. Ini mungkin impak fiskalnya kerana kepimpinan melalui teladan yang negatif.
Penolakan potongan gaji menteri mengingatkan kita kepada gejala dua darjat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Elit politik suka melanggar SOP pandemik dan kemudian harap dilepaskan oleh polis atau Ketua Peguam Negara.
Mungkin elit kita percaya kepada dunia dua darjat, satu untuk golongan kayangan, satu untuk orang kebanyakan, dan tiada empati dan solidariti antara mereka.
Padah kepada elit politik sebegini jika dan bila rakyat menjawab keangkuhan mereka dengan undi.
*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca