BARU-BARU ini, saya pulang ke kampung dan seperti biasa saya akan melawat gerai-gerai makanan kegemaran untuk menikmati juadah yang jarang-jarang boleh didapati di Kuala Lumpur.
Tahap kesedapan menyebabkan ramai orang luar sanggup berbaris berjam-jam untuk mendapatkan makanan yang saya maksudkan itu.
Malangnya kualiti makanan-makanan kegemaran saya ini telah jatuh merudum sama seperti indeks di pasaran saham kita hari ini.
Untuk orang luar yang tidak pernah merasa tahap kesedapan sebenar, mereka menerima seadanya dan merasakan berbaloi untuk beratur berjam-jam.
Pada mereka, apa yang dirasa pertama kali itu adalah tahap kesedapan yang menyebabkan gerai tersebut menjadi tular di media sosial.
Tetapi, sudah tentu orang seperti saya dan masyarakat tempatan yang lain dapat merasakan bagaimana kualiti kesedapan makanan-makanan ini sudah tidak sesedap dulu lagi.
Apabila ditanya, ramai peniaga cuba mengelak soalan saya. Hanya seorang dua dengan perasaan kecewa menyatakan bagaimana kenaikan harga barangan menyebabkan mereka terpaksa menggantikan bahan masakan asal dalam resipi turun temurun, dengan bahan-bahan berkualiti rendah pada harga lebih murah, menyebabkan hasil masakan mereka sekarang tidak sesedap yang asli.
Kata beliau lagi "Kalau saya nak gunakan resipi bapa saya, saya perlu menjual juadah ini sepinggan pada harga 36 ringgit. Mana ada orang yang mampu nak beli?”
Jadi penyelesaian ramai peniaga untuk tidak menaikkan harga barang makanan mereka adalah dengan berkompromi kualiti bahan mereka gunakan dalam resipi dan menjual pada harga biasa.
Sambil kita menghargai keprihatinan para peniaga ini yang bertindak secara kreatif mengolah masakan menggunakan bahan lebih murah dan rendah kualiti semata-mata untuk menentukan rakyat masih mampu membeli hasil jualan mereka, namun usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada menurunnya salah satu daripada kualiti hidup rakyat keseluruhannya, terutama bagi mereka yang mampu.
Ini mungkin satu tahap kualiti yang ramai merasa tidak penting, kerana ada perkara lain lebih penting berbanding mengisi perut supaya tidak kelaparan.
Pada ramai rakyat di luar sana, apa lebih penting adalah bagaimana untuk terus hidup. Ini soal survival.
Pada laman web sebuah pertubuhan yang aktif memberi makanan kepada gelandangan dan orang susah sejak tahun 2008, saya dapati mereka mempunyai rekod seramai 9,500 orang gelandangan berdaftar.
Daripada jumlah yang berdaftar, mereka merekodkan telah memberi perkhidmatan kepada hampir 15,000 orang.
Ini bermakna, ramai juga yang tidak mahu rekod mereka ada pada mana-mana pertubuhan tetapi memerlukan bantuan.
Ini hanya contoh satu daripada berpuluh pertubuhan di seluruh negara.
Mungkin matlamat akhir pertubuhan seperti ini adalah agar jumlah rakyat yang mereka bantu pada hujungnya adalah sifar.
Mungkin kita sebagai sebuah negara akan mencapai matlamat pembangunan mampan (SDGs) apabila pertubuhan seperti ini tidak lagi diperlukan.
Maknanya sudah tidak ada lagi rakyat memerlukan bantuan makanan percuma.
Pada mereka yang dibantu ini, sudah tentu isu yang saya tulis di awal artikel ini tentang tahap kualiti makanan menurun tidak menjadi isu penting perlu mereka risaukan.
Ini bukanlah bermaksud hanya kerana mereka orang susah dan mengharapkan bantuan, kita boleh saja memberi makanan yang hampir rosak atau sudah expired.
Sudah tentu tahap kualiti makanan untuk rakyat yang dibantu juga harus sekurang-kurangnya memenuhi standard tertentu, seperti perlu ada nilai-nilai khasiat dan kandungan seimbang antara protein, karbohidrat dan lemak serta sumber mineral dan vitamin mencukupi.
Yang penting keselamatan pada makanan mereka terjamin.
Apa pun yang kita bicarakan, dan pada tahap mana pun kedudukan rakyat dalam status sosial masyarakat, kualiti hidup perlu diberi perhatian oleh semua pihak berwajib.
Kalau ada kesan daripada peningkatan harga barang kepada kualiti hidup masyarakat yang lebih berada, bayangkan kesannya kepada rakyat miskin.
*Dr Anis Yusal Yusoff ialah Ketua Felo Utama KITA di UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca