PERIBAHASA ada menyebut 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' yang bermaksud kalau ada cita-cita, tentu ada ikhtiar untuk menjayakannya. Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan berkaitan isu penyertaan golongan bumiputera... Klik di sini untuk terus membaca

PERIBAHASA ada menyebut 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' yang bermaksud kalau ada cita-cita, tentu ada ikhtiar untuk menjayakannya.

Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan berkaitan isu penyertaan golongan bumiputera dalam industri perkayuan dan perabot di peringkat global yang dilihat amat rendah.

Hanya kira-kira 485 orang usahawan bumiputera yang mana pada masa ini menyumbang kepada nilai eksport kurang daripada satu peratus.

Sebenarnya, agenda untuk memperkukuhkan penyertaan usahawan bumiputera telah menjadi misi penting di mana kerajaan sentiasa proaktif dalam memperkukuhkan kedudukan supaya mereka dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

Saya yakin usahawan bumiputera mempunyai potensi besar dan lebih aktif dalam pembangunan industri perkayuan negara.

Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti mempengaruhi penyertaan yang rendah dalam kalangan usahawan bumiputera. Antaranya ialah persaingan sengit selain strategi pemasaran kurang berkesan dan kelemahan pengurusan yang menjejaskan prestasi perniagaan.

Saya berhasrat untuk melihat program yang bukan sekadar melahirkan usahawan baharu bumiputera tetapi memastikan mereka berdikari dan mampu bersaing di dalam pasaran terbuka.

Usaha ke arah merancakkan penglibatan usahawan bumiputera bagi meningkatkan keupayaan agar lebih berdaya saing di pasaran terbuka dan antarabangsa adalah melalui pelbagai program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Saya akan memastikan penglibatan usahawan bumiputera dalam industri perkayuan akan terus berkembang dengan pelbagai insentif serta program sokongan kerajaan.

MTIB melalui Bahagian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera menawarkan pelbagai program dan insentif untuk meningkatkan keupayaan usahawan bumiputera.

Antara insentif utama ialah pinjaman bahan mentah khusus bagi membantu meringankan beban pengeluaran modal kepada syarikat berkelayakan.

Bagi membantu usahawan bumiputera meningkatkan pendapatan dan jualan mereka, MTIB menawarkan program promosi seperti pameran di pasaran tempatan, misi teknikal dan perdagangan antarabangsa serta promosi produk melalui media massa dan elektronik serta dalam talian.

Permohonan pinjaman mesin berteknologi tinggi juga akan dibuka untuk tahun 2023 sekiranya permohonan kerajaan pusat diluluskan dengan bantuan pinjaman mesin kerja kayu bersesuaian untuk peningkatan kapasiti pengeluaran syarikat berkenaan.

Penyertaan usahawan bumiputera di semua peringkat akan terus dipertingkatkan melalui strategi menggalakkan penglibatan usahawan.

Ini termasuk usaha memacu pembangunan dan transformasi usahawan bumiputera dalam industri kayu seperti kraf dan ukiran yang bercirikan industri desa (cottage industry) kepada perusahaan yang berdaya saing di peringkat global.

Industri ukiran kayu sememangnya mempunyai potensi amat besar dan dapat menjamin pulangan memberangsangkan. Industri ini mula dipandang serius dan memberi nilai tambah tinggi kepada produk perkayuan terutama perabot kerana mempunyai nilai estetika sangat tinggi dan tersendiri.

Hiasan dalaman seperti dekorasi dinding, siling, pintu dan tingkap juga mula mendapat sentuhan ukiran kayu yang mana motifnya telah diubah suai mengikut selera trend dan peredaran masa.

Kini, ia menjadi salah satu gaya (style) di kediaman rumah dan bangunan kerajaan yang mana mula mendapat perhatian orang ramai.

Jika dahulu ukiran kayu boleh dilihat sebagai penghias dan juga aksesori di sesebuah rumah tradisional Melayu, kini ia mula dikomersialkan tanpa meninggalkan elemen-elemen asal.

Berdasarkan nilai estetik yang dihasilkan dan kepakaran dimiliki pengukir-pengukir negara, industri ukiran amat berpotensi untuk menembusi pasaran eksport dengan pulangan besar melalui program telah dirangka.

Besar harapan saya agar usahawan bumiputera lebih berani meneroka potensi sektor perkayuan dan perabot di peringkat antarabangsa.

MTIB akan memainkan peranan dalam menyediakan program pembangunan modal insan seperti latihan, kursus serta program kemahiran yang diselia Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) iaitu fasiliti latihan di bawah MTIB. Kita mahu program dilaksanakan bukan sekadar melahirkan usahawan bumiputera berwibawa tetapi memastikan mereka mampu berdikari dan bersaing dalam pasaran global yang amat mencabar dan memerlukan kecekalan hati.

Rantaian bekalan dan rangkaian perniagaan yang mantap adalah penting dan merupakan resipi kejayaan bagi sesebuah perniagaan.

Oleh itu, dalam berhadapan persekitaran yang kompetitif, kerajaan melalui MTIB sentiasa berusaha kepada agenda keusahawanan sejajar dengan Dasar Agrikomoditi Negara iaitu Keterangkuman: Peningkatan penyertaan Bumiputera dalam industri perkayuan - Kemajuan Bumiputera. Ini kerana, pembangunan ekonomi pada masa hadapan lebih bersifat kolaboratif, berorientasikan pengetahuan serta keupayaan bakat.

Usahawan bumiputera, khususnya golongan muda mesti percaya akan kebolehan sendiri dan mampu untuk bersaing dalam pasaran terbuka. Seperti yang disebut ahli perniagaan Amerika Syarikat, Robert Kiyosaki yang juga penulis Rich Dad Poor Dad bahawa usahawan yang ingin berjaya perlu mengambil tanggungjawab penuh membina ekonomi termasuk mengatur perniagaan sendiri.

Namun situasi di Amerika Syarikat mungkin tidak sama dengan Malaysia, terutama menyentuh aspek geoekonomi setempat.

Kolaborasi yang kolektif antara kerajaan dan pihak berkepentingan wajar diwujudkan agar strategi pelaksanaan inisiatif pembiayaan geran dan pinjaman perniagaan memberi impak positif kepada ekosistem keusahawanan yang dibina.

Usahawan bumiputera perlu meningkatkan pengetahuan dalam mempelajari bidang pembangunan pelan perniagaan untuk mengembangkan rangkaian dan jaringan pembekalan di pasaran terbuka berbanding hanya bergantung kepada projek-projek kerajaan.

Faktor keyakinan memberi impak kepada perniagaan yang diceburi. Keyakinan kepada diri sendiri merupakan faktor signifikan dalam mempengaruhi kejayaan. Ada juga berpandangan bahawa apabila usahawan menjadi terlalu yakin, kerja yang dilaksanakan tidak dibuat dengan berhati-hati.

Sebenarnya, keyakinan diri merupakan sesuatu yang semula jadi dalam diri usahawan. Punca usahawan kurang yakin adalah disebabkan persaingan luar antara usahawan lain.

Seorang usahawan yang bagus akan belajar daripada orang lebih berpengalaman dalam menambah ilmu. Ini membantu usahawan bumiputera lebih berdaya tahan dan mantap dalam pengurusan mereka.

Elemen pencapaian menjadi salah satu faktor utama dalam menyumbang kepada motivasi diri.

Usahawan biasanya digambarkan mempunyai keyakinan diri kerana mereka mencari dan menyelesaikan tugas-tugas mencabar dan ia tidak mungkin berjaya jika mempunyai sifat keyakinan diri yang rendah.

Sekurang-kurangnya ada lima elemen mempengaruhi kejayaan seorang usahawan iaitu pengaruh hubungan dengan pihak luar, pengaruh lokasi, pengaruh produk yang dihasilkan, pengaruh pendidikan, pengaruh pengalaman, pengaruh modal dan pengaruh globalisasi.

Usahawan bumiputera mesti mengambil peluang yang telah tersedia. Ingat, peribahasa kita ada menyebut 'Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai'.

* Kamaruzaman Othman ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Klik di sini untuk terus membaca