SIAPA tidak marah kalau wang yang dikumpul sekian lama untuk membeli rumah idaman, hilang begitu saja berikutan kegagalan pemaju menyiapkan projek seperti dijanjikan. Lebih menyakitkan hati, bayaran ansuran bulanan terpaksa dilunaskan... Klik di sini untuk terus membaca

SIAPA tidak marah kalau wang yang dikumpul sekian lama untuk membeli rumah idaman, hilang begitu saja berikutan kegagalan pemaju menyiapkan projek seperti dijanjikan.

Lebih menyakitkan hati, bayaran ansuran bulanan terpaksa dilunaskan kepada pihak bank manakala rumah sewa yang mungkin didiami sekarang semakin sempit disebabkan ahli keluarga semakin bertambah.

Jika tidak bernasib baik, tuan rumah pula menaikkan sewa dengan alasan mengikut harga pasaran.

Masalah rumah terbengkalai di negara ini bagaikan tidak berkesudahan.

Malah Statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan terdapat sebanyak 534 projek perumahan bermasalah di negara ini dengan 417 daripadanya merupakan projek sakit manakala 117 lagi adalah projek terbengkalai melibatkan 38,070 pembeli.

Sinar Harian kali ini memaparkan pelbagai kisah pembeli rumah terbengkalai bagi menyelami penderitaan mereka di samping mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

KAJANG Kira-kira 200 pembeli rumah Emira@TTDI Grove di sini merayu kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah rumah yang tidak disiapkan pemaju.

Dakwa mereka, pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju pada 2017 dan rumah dijanjikan siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2020.

Tetapi malangnya sehingga saat ini rumah itu masih tidak dapat untuk diduduki.

Salah seorang pembeli, Abdul Hadi Yusof, 31, berkata, projek itu gagal disiapkan dan mereka tidak sanggup lagi menanggung bebanan membayar balik pinjaman bank.

"Kesannya amatlah terasa bagi golongan B40 seperti saya kerana rumah yang diimpikan sampai sekarang tidak siap, isteri saya suri rumah dan kami ada tiga orang anak.

"Saya perlu menanggung kos sewa rumah RM450 sebulan, bayaran ansuran kereta, pinjaman peribadi dan kos persekolahan anak. Ini sangat membebankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Mohd Helmi Sabran, 37, berkata, dia membeli unit rumah tersebut dengan harapan mampu menikmati kehidupan lebih selesa namun berakhir dengan kekecewaan.

"Saya hampa kerana terpaksa membayar pinjaman perumahan sedangkan rumah tidak siap-siap,” katanya yang berharap ada pihak dapat membantu mereka menyelesaikan isu tersebut.

Mereka sehubungan itu merayu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membantu pembeli agar dapat mendiami segera rumah terbabit.

Di SHAH ALAM, harapan sama dikongsi pembeli Pangsapuri Rimau Indah Fasa 4 di Bukit Rimau di sini selepas projek perumahan berkenaan dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ di Selangor.

Menurut wakil penduduk, Zairi Moh, 40-an, pihaknya telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah sendiri namun sehingga sekarang masih belum kesampaian.

"Penantian para pembeli Pangsapuri Rimau Indah Fasa 4 untuk menduduki rumah idaman terus berlanjutan apabila projek perumahan itu terbengkalai sejak dimulakan pada 22 tahun lalu,” jelasnya.

Polis bantuan terpaksa lunas bunga RM100 sebulan

Sementara itu di KUANTAN, hampir dua tahun seorang polis bantuan terpaksa menanggung bayaran kadar bunga bagi pinjaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Cherating sedangkan kediaman itu masih terbengkalai sehingga kini.

Madzlan

Madzlan Said, 38, berkata, dia terpaksa membayar sebanyak RM80 hingga RM100 sebulan.

Ujarnya, walaupun nampak sedikit tetapi ia sebenarnya membebankan pembeli seperti dirinya.

"Kami tersepit dengan situasi ini, kadar bunga pinjaman tetap perlu dibayar. Kalau kami tidak bayar, nama akan disenarai hitam daripada sebarang pinjaman lain.

"Jadi mahu tidak mahu terpaksa bayar kadar bunga itu kepada pihak bank. Kalau rumah terbabit gagal disiapkan kami terpaksa tanggung hutang ini puluhan tahun,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Cherating dekat sini pada Rabu.

Madzlan memaklumkan sebanyak 180 unit rumah PR1MA di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Negeri Pahang (SUK) dijadualkan siap pada penghujung tahun lalu namun dilanjutkan tempoh pembinaannya.

Dia diberitahu rumah tersebut boleh diduduki pada bulan depan, tetapi mendapati hanya 20 peratus sahaja perumahan yang sudah siap.

"Apa yang kami lihat projek ini lambat lagi untuk disiapkan. Jadi kami terpaksa juga setiap bulan bayar sewa, selain potongan bank bagi pembelian rumah PR1MA. Saya rasa sangat tertipu,” katanya.

Madzlan berkata, SUK perlu memainkan peranan untuk memastikan pemaju dan kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan projek perumahan itu seperti yang dijadualkan.

"Saya dan pembeli lain yang sudah beberapa kali bertemu pemaju dan SUK berharap rumah kami dapat disiapkan segera,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca