KOTA BHARU - Sedih, marah dan tertekan, itulah perasaan yang terpaksa dihadapi selama 14 tahun oleh seorang kakitangan kerajaan apabila rumah idaman masih terbengkalai.
Lebih memeritkan lagi, sejak tahun 2018 Azizan Abdullah, 42, terpaksa membayar pinjaman perumahan sebanyak RM480 sebulan.
Azizan berkata, masalah itu menyebabkan kawasan rumahnya sudah dinaiki semak selain menjadi sarang penagih dadah.
"Sampai hari ini saya dan mangsa lain yang senasib buntu memikirkan jalan penyelesaian.
"Gaji sudah ditolak dan pinjaman melibatkan satu tempoh yang lama iaitu 25 tahun. Hendak buat pinjaman lain sudah tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, rumah yang dibeli di Taman SL ATM, Mukim Apam, Rantau Panjang itu memulakan projek pembinaan pada tahun 2006 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2008 namun sebaliknya berlaku apabila pemaju gagal menunaikan janji.
Katanya, beberapa cara telah diusahakan olehnya iaitu membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengurangkan bayaran bulanan memandangkan rumah tidak siap tetapi potongan gaji masih berjalan sampai sekarang.
Azizan berharap ada pihak yang dapat membantu menyelesaikan isu tersebut kerana ia melibatkan ramai mangsa.
Di SEREMBAN, seorang kakitangan swasta terpaksa menumpang di rumah keluarga sehingga kini disebabkan unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibeli di Bandar Ekar, Rantau di sini masih belum siap.
Malah setiap bulan Badrul Hafizan Mat Isa, 37, akan ke lokasi projek untuk melihat perkembangannya dengan harapan dapat masuk ke rumah baharu tidak lama lagi.
Menurutnya, rumah berkenaan dibeli pada tahun 2016 dengan harga RM235,789 dan sepatutnya siap pada 2019.
"Tapi berlaku kelewatan disebabkan masalah kontraktor yang bersilih ganti terutama selepas peralihan kerajaan,” ujarnya.
‘Menunggu rumah pertama tak siap-siap’
Di IPOH, pembeli rumah di D’Aman Residensi, Bandar Meru Raya di sini terus menanti kediaman mereka siap dibina meskipun sudah tiga tahun menunggu projek yang belum sempurna.
Seorang pembeli, Shah Ron Mansor, 41, berkata, urusan pembelian dimulakan sejak tahun 2017 dengan impian bahawa pembinaan rumah tersebut siap pada tahun 2019.Bagaimanapun sehingga kini rumah tersebut masih belum disempurnakan biarpun bangunan apartmen 15 tingkat itu sudah tersergam.
"Selama ini saya sekeluarga hanya menyewa dan berpindah dari Putrajaya ke Ipoh pada tahun 2010. Malangnya, impian nak tinggal di rumah sendiri masih tak kesampaian,” katanya.
Menurutnya, pada tahun 2018, pihak bank sudah mula membuat pemotongan pinjaman perumahan yang dibuat walaupun rumah belum siap.
Bagi wakil Jawatankuasa Bertindak, Mohd Zulfadli Abd Khir, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah pembeli termasuk memanjangkannya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Kita juga sudah kemukakan isu ini kepada kerajaan negeri dan tribunal pengguna.Laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga telah kita buat bagi menyegerakan projek ini supaya siap,” ujarnya.
Pembeli berasa tertipu dan teraniaya
Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Seorang kakitangan kerajaan berasa teraniaya dan tertipu kerana perlu melunaskan bayaran pinjaman perumahan walaupun kediaman yang dibeli pada tahun 2016 masih belum siap.
Raja Mohd Ghaddafi Raja Shamsul Bahrin, 44, berkata, sebanyak RM400 setiap bulan daripada gajinya dipotong untuk bayaran balik pinjaman perumahan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kira-kira lima tahun lalu.
Namun katanya, sehingga kini rumah pertama berharga RM77,000 yang dibeli melalui Projek Fasa 3, Taman Sri Purnama di Marang tidak menunjukkan sebarang tanda untuk diteruskan.
"Apabila menyentuh wang ringgit yang perlu dikeluarkan namun dalam masa yang sama, kita tidak beroleh manfaat daripada wang itu, memang saya rasa seperti ditipu.
"Sudah masuk enam tahun projek ini terbengkalai. Saya ingatkan rumah yang saya beli ini boleh dijadikan tempat berteduh, tapi sampai sekarang tidak boleh didiami.
"Mujurlah saya dapat menumpang tinggal di rumah keluarga di Kuala Ibai dan belum ada anak. Mereka yang mempunyai tanggungan ramai dan perlu membayar sewa rumah lagi tertekan,” katanya.
Menurut Raja Mohd Ghaddafi, kira-kira 120 pembeli terkesan dan menerima nasib serupa.
Jelasnya, terdapat rumah yang hanya siap sebanyak 11 peratus, 35 peratus dan ada juga antaranya telah 65 peratus siap.
"Saya difahamkan rundingan telah dibuat malah isu ini dalam pengetahuan kerajaan negeri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca