SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 534 projek perumahan bermasalah di dalam negara dengan 417 daripadanya merupakan projek sakit manakala 117 lagi adalah projek terbengkalai. Berdasarkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 534 projek perumahan bermasalah di dalam negara dengan 417 daripadanya merupakan projek sakit manakala 117 lagi adalah projek terbengkalai.

Berdasarkan Statistik Projek Perumahan Swasta Mengikut Kategori sehingga 30 Jun 2020, 417 projek perumahan sakit itu melibatkan 84,498 unit rumah dan 38,070 pembeli.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Perumahan Negara (JPN) itu, jumlah semasa projek perumahan sakit menunjukkan peningkatan sebanyak 310 projek berbanding 107 projek yang direkodkan pada Februari tahun ini.

Berdasarkan portal KPKT, projek sakit didefinisikan sebagai projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan yang sepatutnya atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB).

Lima negeri mencatatkan bilangan projek perumahan sakit tertinggi ialah Selangor dengan 85 projek yang membabitkan 19,520 unit rumah diikuti Johor (55 projek, 11,557 unit rumah); Perak (52 projek, 6,335 unit rumah); Pahang (49 projek, 5,527 unit rumah) dan Kelantan (42 projek, 5,124 unit rumah).

Daripada keseluruhan projek perumahan sakit itu, 80 daripadanya adalah projek kategori strata highrise manakala enam projek strata landed dan 270 projek landed yang turut meliputi pembinaan kediaman di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Dalam pada itu, mengikut rekod JPN yang dikemaskini sehingga 7 Julai lalu, jumlah projek perumahan terbengkalai adalah 117 dengan 102 daripadanya di bawah kategori projek dalam pemulihan sementara 15 lagi sedang dipulihkan.

Data terkini berkenaan jumlah projek perumahan terbengkalai itu juga menunjukkan peningkatan 48 peratus daripada bilangan direkodkan pada 30 September tahun lalu.

Bilangan keseluruhan unit rumah di bawah projek perumahan terbengkalai ialah 23,562 unit rumah dan membabitkan 14,003 pembeli.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19,077 unit rumah atau 81 peratus daripadanya adalah projek dalam pemulihan manakala baki 19 peratus atau 5,210 unit rumah merupakan projek sedang dipulihkan.

Bagi kategori projek perumahan terbengkalai dalam pemulihan, negeri merekodkan jumlah tertinggi ialah Selangor yang membabitkan 37 projek terdiri daripada 15,044 unit rumah diikuti Kelantan dengan (21 projek, 1,179 unit rumah), Terengganu (13 projek, 1,349 unit rumah); Johor (8 projek, 2,595 unit rumah) dan Pahang (6 projek, 825 unit rumah).

Hanya enam negeri mempunyai projek perumahan terbengkalai di bawah kategori sedang dipulihkan dengan Selangor merekodkan bilangan tertinggi iaitu 10 projek membabitkan 3,914 unit rumah diikuti Perak (2 projek, 194 unit rumah) manakala Johor, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing memiliki satu projek.

Sementara itu, sebanyak 1,022 pemaju telah disenarai hitam oleh JPN akibat beberapa kesalahan dengan terbanyak adalah membabitkan kegagalan membayar kompaun iaitu 44 peratus atau 454 pemaju.

Manakala pemaju disenarai hitam akibat kesalahan ingkar Award Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) adalah sebanyak 300, pembinaan perumahan swasta (239) dan pembinaan tanpa lesen (29).

Kerajaan boleh bantu pembeli

Sementara itu, Peguam hartanah, Datuk Nazri Mustafa berkata, nasib pembeli rumah yang menandatangani perjanjian jual beli sebelum 1 Julai 2015 namun projeknya masih terbengkalai hanya akan terbela dengan campur tangan kerajaan.

Ini kerana tiada peruntukan yang boleh menjamin agar perjanjian pembelian rumah tersebut dibatalkan, katanya.

Jelas beliau, berbeza bagi pembeli yang menandatangani perjanjian selepas tarikh tersebut yang termaktub di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1967 (Pindaan 2015), berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

"Jika perjanjian selepas 1 Julai 2015, ia boleh dibatalkan dan minta pemaju kembalikan wang yang telah dibayar.

"Peminjam yang terikat dengan perjanjian sebelum 1 Julai 2015 hanya boleh mengharapkan ihsan daripada pihak bank sama ada untuk bekukan pembayaran atau tidak mengenakan faedah ke atas jumlah prinsipal yang telah dikeluarkan.

"Namun mereka memerlukan pengesahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa projek rumah mereka telah diklasifikasikan sebagai terbengkalai. Surat pengesahan tersebut boleh dipanjangkan kepada pihak bank namun ia sangat bergantung dengan budi bicara bank.

"Bermaksud kerajaan tiada kuasa untuk mengarahkan bank supaya tidak mengenakan apa-apa pembayaran kerana ia melibatkan transaksi komersial antara peminjam dan bank,” katanya.

Beliau menambah, langkah lebih baik adalah dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak sesama pembeli yang terlibat dengan projek terbengkalai tersebut.

"Jika dibuat secara beramai-ramai mungkin tindakannya lebih cepat dan berkesan untuk pihak bank buat pertimbangan.

"Untuk dapatkan pengesahan projek terbengkalai mungkin mengambil masa, saya cadangkan pembeli terlibat menulis surat secara terus kepada bank terlebih dahulu memaklumkan bahawa projek terbengkalai termasuk berapa lama kerja-kerja telah dihentikan untuk memohon pertimbangan pihak bank.

"Maklumkan juga bahawa mereka sedang bawa kes ini ke bahagian pemulihan projek terbengkalai KPKT dan menunggu surat pengesahan sebagai tindakan awal,” jelasnya.

Projek perumahan swasta sakit sehingga 30 Jun 2022

- 417 projek

- 84,498 unit rumah

- 38,070 pembeli

Projek perumahan terbengkalai setakat 7 Julai 2022

- 117 projek

- 23,562 unit rumah

- 14,003 pembeli

Seramai 1,022 pemaju disenarai hitam

Klik di sini untuk terus membaca