SHAH ALAM - Projek-projek pembangunan berkaitan tebatan banjir yang dijangka siap pada tahun 2030 diyakini dapat menyelesaikan sebanyak 90 peratus masalah banjir di negara ini terutama melibatkan ibu kota.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, sebanyak RM30 bilion peruntukan pembangunan termasuk dana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah disediakan bagi memastikan hala tuju serta objektif kerajaan dalam menangani masalah banjir ini dapat dilaksanakan.
"Dalam 80 peratus hingga 90 peratus (dapat selesaikan masalah banjir). Ia bergantung kepada bagaimana kita menjaga keadaan sungai dan sistem saliran kita.
"Kalau sampah dalam sistem saliran itu masih banyak, maknanya reka bentuk pihak kami hanya tinggal separuh saja kerana saliran itu sangkut. Macam mana air nak lalu?
"Jadi ini bergantung kepada keadaan ekologi dan masyarakat supaya sama-sama menjaga kebersihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ketika ditanya sejauh mana pelaksanaan langkah tersebut dapat membantu menangani bencana banjir pada masa akan datang, beliau berkata, ia bergantung kepada taburan hujan ketika itu selagi mana tidak melebihi daripada tampungan kadar ulangan banjir yang ditetapkan.
"Sekarang ini reka bentuk (menampung kadar ulangan banjir) kami bagi kawasan penempatan adalah 50 tahun manakala sungai 100 tahun.
"Tahun lepas, hujan melebihi jangkaan (kadar ulangan banjir) 100 tahun, jadi tidak boleh buat apa-apa, memang akan melimpah. Sekarang program jangka masa panjang kami yang dinaikkan kepada 200 tahun, itu tengah dibuat,” jelasnya.
Dalam pada itu, ujar beliau, fenomena La Nina dijangka berterusan berlaku di negara ini sehingga hujung tahun.
Justeru pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir khususnya di ibu kota.
"Kita sudah beri ramalan sehingga hujung tahun ini bahawa hujan masih akan berlaku. Jadi semua rumah pam, pusat amaran dan ramalan kami juga telah bersedia 24 jam,” ujarnya.
25 peratus kawasan berpotensi tenggelam
Sementara itu, sebanyak 25 peratus kawasan di seluruh negara berpotensi berdepan risiko tenggelam sekiranya kenaikan aras laut tidak dikawal dan tiada tebatan dibuat.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, situasi itu dijangka berlaku berikutan kesan pemanasan global yang mengakibatkan suhu di negara ini semakin meningkat.
"Maksudnya apabila pemanasan global itu tidak dikawal, (kitaran) hidrologi itu akan berubah, membentuk awan-awan dan sebagainya.
"Kalau dulu awan itu kecil sahaja, sekarang awan akan menjadi semakin besar dan tebal. Walaupun jumlah air kekal sama tetapi perubahan cuaca berlebihan (climate extreme event) akan lebih kerap berlaku, itu adalah masalah sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Md Nasir berkata, keadaan perubahan cuaca secara berlebihan itu boleh mengakibatkan kesan banjir berlaku lebih besar dan cepat.
Klik di sini untuk terus membaca