[WAWANCARA] Kenaikan aras laut akibat pemanasan global, dijangkakan menyebabkan paras air meningkat 0.18 meter pada tahun 2050 dan naik 0.7 meter menjelang tahun 2100.
"Sebagai contoh sekarang ini kawasan banjir kita lebih kurang sekitar 10 peratus untuk sebuah negara, kita ada 330,000 kilometer persegi.
"Dijangkakan bila kenaikan aras laut ini kita tidak kawal dan tiada tebatan yang dibuat, 25 peratus kawasan negara berpotensi untuk tenggelam,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Datuk Ir Dr Nasir Md Noh.
Ikuti kupasan Dr Nasir mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif Bersama Johan Jaaffar di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Johan: JPS pada tahun 2022 ini sudah berusia 20 tahun. Dahulu dikenali sebagai Jabatan Parit dan Tali Air (JPT). Apakah maksud perkataan pengairan dan saliran ini?
Nasir: Sebenarnya pengairan dan saliran adalah satu nama yang sinonim kepada kami. Kita lihat pengairan sebenar apabila air masuk ke suatu kawasan yang kita airkan manakala saliran kita bawa air keluar daripada satu kawasan untuk mengelakkan banjir, air buangan dan sebagainya, itu adalah tempat saliran.
Adakah terdapat sebarang perbezaan fungsi JPS berbanding dengan JPT pada masa dahulu sama ada dari segi fungsi atau sebagainya?
Ada. Semasa dahulu pada zaman British tahun 1932 kita dikeluarkan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Kita asalnya bersama dan dikeluarkan untuk kerja menambah pengeluaran makanan, secara tidak langsung kami terlibat dengan perairan padi.
Beribu-ribu hektar sawah padi dibuka pada ketika itu dan daripada titik tolak itu selain daripada padi kita buat juga pemuliharaan sungai.
Satu perkara apabila sebut JPS dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), orang bercakap soal banjir dan kalau kita perhatikan, kita adalah negara yang cenderung kepada banjir terutamanya kawasan negeri-negeri tertentu tetapi kenapa banjir pada hujung tahun 2021 itu agak berbeza dari segi impak dan kesan kepada rakyat. Maksudnya ia terlibat secara langsung dari segi kesedaran rakyat, kenapa hal ini berlaku?
Ini soalan agak mencabar untuk dijawab. Taufan Rai timbul beberapa hari sebelum kejadian pada 16 Disember yang melanda Filipina. Ekornya sahaja di Filipina sudah 300,000 orang yang dipindahkan.
Pada asalnya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak dapat kesan kerana walaupun National Oceanic Atmospheric Agency (NOAA) maklumkan kepada kami dan MetMalaysia bahawa ia tidak menjangkau ke pantai barat maksudnya akan berhenti di Pahang, Kelantan dan sebagainya.
Tetapi dengan kuasa ALLAH, ekor taufan itu melintas Banjaran Titiwangsa dan tiba-tiba tekanan rendah yang sepatutnya bergerak jadi lemah dan menabur hujan ke kawasan itu. Jadi ia memang bukan jangkaan.
Hujan memang luar biasa dan pada ketika itu, saya berasa tidak sedap hati. Saya terus ke Pusat Ramalan dan Gerakan Banjir di Ampang, saya bersedia di situ hingga tengah malam. Saya sudah maklumkan kepada semua supaya berhati-hati dan berjaga-jaga, 24 jam selepas itu kami memang tidak tidur lena.
Selalu kalau purata hujan di Malaysia ini bagaimanakah keadaannya? Adakah ia berbeza pada ketika itu?
Sehari paling kuat pun dalam 100 milimeter (mm) ke 200mm. Tetapi pada tengah hari sebelum itu hujan sudah sebanyak 100mm dan berlanjutan. Dalam tiga hari sudah 300mm. Seminggu Itu saja hujan hampir cecah 800mm.
Adakah kita ada sistem ramalan banjir yang agak boleh diyakini ataupun dipercayai?
Setakat ni yang kita guna adalah melihat paras air sungai, di mana kita banyak pasang di seluruh negara. Tetapi untuk kaedah lebih maju, kita gunakan program ramalan-ramalan banjir yang mana kita telah siap pasang di tiga negeri sahaja iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dua minggu sebelum kita sudah boleh kesan. Dua hari sebelum, baru kita dapat amaran dan kita akan keluarkan.
Negeri-negeri lain di bahagian utara masih lagi dalam pentauliahan (commissioning). Di selatan baru kita lantik dah nak pasang manakala di Sabah dan Sarawak akan dilantik tidak lama lagi.
Kalau kita perhatikan misalnya negara-negara yang terdedah kepada contohnya ancaman gunung berapi dan mereka ada sistem untuk membuat ramalan yang selalunya agak tepat tetapi di Malaysia ini kita nampak baru nak mula menyediakan sistem amaran dan sebagainya?
Pergerakan hujan di awan kawasan tropika tidak sama dengan kawasan di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) kerana awan yang bergerak di sana adalah sekata, kita dah boleh mengagak. Tiga bulan atau dua bulan sebelum itu kita sudah boleh tahu pergerakannya tetapi seperti MetMalaysia maklumkan, pergerakan awan di kawasan tropika ini mudah berubah kerana sistem tekanan rendah dan tekanan tinggi tiba-tiba boleh berubah. Contohnya, walaupun kita jangkakan pergi ke timur atau barat tetapi tiba-tiba ia akan pergi ke utara dalam sekelip mata sahaja.
Sebelum ini saya ada terbaca cadangan untuk mengadakan peta hazard (bahaya) banjir untuk awam. Mungkin boleh terangkan sedikit mengenai perkara ini?
Kita baru bentang kepada Majlis Air Negara (MAN) pada minggu lepas. Alhamdulillah, MAN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; ketua menteri, menteri besar dan wakil-wakil yang ada serta kita mendapat persetujuan bahawa peta hazard banjir seperti dikongsikan oleh negara-negara maju.
Contohnya, AS iaitu Federal Emergency Management Agency (FEMA) dan United Kingdom (UK) pula Environmental Agency (EA). Mereka kongsikan peta ini di dalam web, kita buat simulasi komputer di mana kita boleh tahu tahap banjir di kawasan sepanjang lembangan sungai.
Kita dah siap 36 kawasan dan kita telah melaksanakan lagi 12 dan dijangka pada tahun 2025 kita ada lebih 45 kawasan lembangan sungai yang boleh dilihat sendiri oleh orang awam hazard banjir di kawasan mereka.
Kita juga tahu bahawa banjir ini merupakan fenomena yang tidak menghairankan di Malaysia kerana kita ada banyak sungai yang besar tapi pada waktu sama hujan turun dengan banyak dan sebagainya. Tetapi apakah JPS ada perancangan jangka panjang untuk memastikan kita dapat mengurangkan impak. Apakah rancangan masa depan yang ada pada JPS?
Kita telah membuat beberapa perancangan sehingga 50 ke 70 tahun akan datang. Keperluan untuk tebatan banjir setakat ini kita telah maklum kepada Parlimen dan kabinet. RM393 bilion. Dengan banjir, kesan perubahan Iklim dan kenaikan aras laut. Kita perlukan dalam masa 50 tahun.
Kalau itu dari segi perancangan untuk jangka masa panjang, bagaimana pula dengan perancangan dari kesan jangka masa pendek?
Dalam bulan Mac tahun ini yang mana Perdana Menteri telah membuat pengumuman iaitu off-budget diberikan sebanyak RM15 bilion akan dilaksanakan mulai tahun hadapan hingga 2030. Ini sebagai permulaan. Dalam program ini kita telah mengenal pasti 40 projek untuk dilaksanakan bermula pada Januari 2023.
Satu perkara yang dibangkitkan oleh orang ialah bahawa cara kita mengendalikan ataupun menguruskan sungai-sungai kita. Salah satu daripada puncanya ini adalah soal sikap sebagainya tetapi ada juga kegiatan yang dikatakan seperti soal pembalakan, kemusnahan alam sekitar dan sebagainya. Apakah komen mengenai hal ini?
Sebenarnya ini berpatah balik kepada tuntutan kami iaitu perancangan pembangunan yang kita kena lihat.
Yang kedua bagaimana kita mengawal kawasan-kawasan dataran banjir. Banyak di sungai-sungai kita ini, kita belum warta dan untuk perancangan pembangunan, kita bekerja rapat dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), maksudnya ada pelan struktur dan pelan tempatan yang dimaklumkan.
Antara lainnya, JPS turut membuat Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu.
Dalam itu kita cuba ketengahkan beberapa perkara seperti air cukup ke tidak, banjir kawalan berapa, kualiti air dan sebagainya. Dari situ kita ada pelan perancangan jangka panjang supaya setiap satu lembangan itu jika ada pembangunan yang hendak dibuat kita kena rujuk dahulu.
Insiden baru-baru ini yang berlaku di Baling, Kedah dan banyak orang memperkatakan isu ini seperti kenapa hal itu berlaku. Antara lainnya kerana kerosakan alam sekitar dan ada kawasan yang tidak sepatutnya ditanam musang king dan sebagainya. Jadi apakah isu sebenarnya?
Sebenarnya permukaan tanah kita ini adalah berbentuk span dan hutan-hutan akar. Bila hujan turun, 20 ke 40 peratus akan diserap. Tetapi apabila kita, contohnya membuat penebangan hutan dan proses penanaman hutan yang selanjutnya akan mengakibatkan aliran puncak dua kali ganda daripada biasa. Kadar aliran itu akan sangat laju dan cepat.
Katakan satu baldi air sepatutnya turun dalam masa sejam tetapi tiba-tiba 10 baldi air tu turun. Jadi macam mana pun secara semula jadinya, sungai memang tidak akan dapat tampung. Itu yang membuatkannya melimpah. Lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan di cerun tanah tinggi, keadaan ini akan menyebabkan kepala air.
Walaupun hujan turun pada kadar biasa tetapi sekatan-sekatan pokok yang jatuh di sepanjang laluan itu terlampau banyak tekanan yang menekannya ia akan pecah. Pecah itu akan menyebabkan kepala air berlaku. Itu yang banyak berlaku sekarang seperti di Baling, Janda Baik dan sebagainya.
Fenomena ini saya agak hairan kenapa ia banyak berlaku. Kemungkinan ada sedikit orang kata pembersihan di kawasan-kawasan berkenaan tetapi kita masih perlu beberapa kajian untuk kenal pasti punca.
Adakah ini ada kaitan dengan iklim dunia keseluruhannya tentang pemanasan global dan sebagainya?
Ya betul. Sewaktu saya di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) memang kita menjangkakan dalam beberapa tahun mendatang, hujan akan bertambah. Sekarang dah bertambah lebih kurang lima peratus.
Tahun 2030 akan tambah 12 peratus. Maksudnya bila pemanasan global kita tidak kawal, (kitaran) hidrologi itu akan berubah, membentuk awan-awan dan sebagainya.
Kalau dulu awan itu kecil sahaja, sekarang awan akan menjadi semakin besar dan tebal. Walaupun jumlah air kekal sama tetapi perubahan cuaca berlebihan (climate extreme event) akan lebih kerap berlaku, itu adalah masalah sekarang.
Kalau kita bercakap tentang pemanasan global, satu atau dua peratus sahaja kenaikan suhu boleh menjejaskan banyak hal. Seperti yang disebutkan tadi, antara lima hingga 12 peratus tambahan hujan, apa yang Datuk ramalkan akan berlaku sekiranya hal itu berterusan?
Pertamanya banjir akan lebih besar. Perubahan cuaca secara berlebihan itu yang kita risau. Kalau banjir, kita boleh kawal dan boleh jangka mana hujan, kita boleh buat sesuatu kaedah untuk tanganinya. Tetapi perubahan yang tidak dijangka ini yang jadi risau.
Kita tidak tahu bila hujan nak turun, sebagai contoh tiba-tiba berlaku di belakang rumah kita atau di kampung. Bukan itu saja yang kita risau tetapi kenaikan aras laut akibat pemanasan global, kita jangkakan dalam tahun 2050, satu ke dua kaki (paras air) yang akan meningkat.
Kemudian pada 2100, sebanyak 0.7 meter maksudnya hampir dua kaki. Sebagai contoh sekarang ni kawasan banjir kita lebih kurang sekitar 10 peratus untuk satu negara, kita ada 330,000 kilometer persegi.
Dijangkakan bila kenaikan aras laut ini kita tidak kawal dan tiada tebatan yang dibuat, 25 peratus kawasan negara berpotensi untuk tenggelam.
Salah satu perkara yang telah disebutkan tentang soal manusia sendiri selain daripada masalah luar daripada kawalan kita macam soal pemanasan global ini boleh kita perbaiki, tetapi lebih daripada itu adalah sikap kita. Kita memberi tumpuan terlalu banyak kepada soal pembangunan dan kadang-kadang ia menyebabkan berlakunya kemusnahan alam sekitar dan sebagainya. Apa pandangan Datuk cara untuk memastikan bahawa rakyat kita ini lebih sedar tentang soal alam sekitar ini?
Pihak KASA dan JPS terlibat dalam program kita panggil Denai Sungai Kebangsaan (DSK). Di sepanjang sungai kalau boleh kita buat denai-denai yang boleh diguna pakai atau jejak sungai. Secara tidak langsung masyarakat boleh guna dan akan membantu kerajaan untuk lihat keadaan-keadaan sungai dan setakat ini kita lihat banyak aduan.
Walaupun staf kita tidak cukup tetapi rakyat kita membantu memberitahu kami melalui Facebook, WhatsApp dan sebagainya mengenai masalah sungai dan tindakan itu terus boleh dibuat. Itu antara kaedahnya.
Dan pembangunan yang disebutkan tadi untuk menangani banjir dan sebagainya, kita cuba tingkatkan ketahanan negara dengan meningkatkan kadar reka bentuk sistem saliran dan tebatan banjir 100 ke 200 tahun.
Jadi isu pada Taman Seri Muda dan kawasan di Shah Alam adalah kerana reka bentuk tebatan banjir di kawasan Sungai Klang adalah 100 tahun sahaja.
Kawasan saliran di sekeliling adalah 50 tahun dan hujan pada 18 Disember tahun lepas melimpah kerana (beban tampungan hujan itu) adalah 200 tahun.
Jadi secara tidak langsungnya ia akan melimpah. Jadi benda-benda ini yang kita kena fikir sebab pembangunan itu sebenarnya kita tidak boleh nafikan. Itu tidak adil untuk negeri dan kerajaan. Masyarakat pun perlukannya juga tetapi kaedah bagaimana untuk kita mengawal. Negara-negara maju pun buat perkara yang sama.
Apakah Datuk rasa bahawa JPS sepatutnya dilibatkan dalam soal yang membabitkan pembinaan kawasan penempatan atau perumahan sebab macam contoh yang Datuk sebut tadi kawasan Taman Sri Muda yang mana menimbulkan banyak masalah. Selain itu, banyak pandangan yang mengatakan bahawa tempat itu tidak sepatutnya dibuat sebagai kawasan penempatan. Bagaimanakah pandangan Datuk mengenai perkara ini?
Taman Sri Muda dalam off-budget (pengeluaran bajet) RM15 bilion untuk kita sediakan peruntukan menaikkan benteng-benteng dan menaik taraf rumah pam supaya masalah rumah pam yang tidak berfungsi ketika banjir berkenaan kerana bekalan elektrik putus itu kita dapat atasi.
Kawasan berdekatan juga di Damansara terutamanya di kawasan stadium itu kita berpendapat untuk simpan air di bawah stadium, di kawasan parkir berkenaan supaya kawasan itu kita dapat elakkan daripada banjir sebab dah sering sangat berlaku.
Kita cuba mencari tempat di mana kita boleh simpan air dan kolam-kolam takungan yang ada sepanjang sungai Klang. Apabila air yang banyak kita lepaskan melalui smart tunnel ataupun empangan batu, kita cuba simpan dulu. Mungkin kita akan besarkan kolam desa atau kolam batu.
Macam sistem atau konsep smart tunnel yang ada di Kuala Lumpur apabila berlaku banjir besar atau air takungan yang Datuk sebutkan. Adakah itu salah satu cara yang berkesan?
Cara itu berkesan tetapi agak mahal dan pada pendapat kami kalau ada kaedah lain, kami akan guna pakai terlebih dahulu. Jalan terakhir sahaja baru kita akan pakai kerana konsepnya amat cantik iaitu dua fungsi.
Bukan itu sahaja, malah empangan-empangan yang ada sekarang tolak empangan banjir lebih kurang ada 16. Keseluruhan empangan Malaysia ada 100 lebih. Jadi empangan bekalan air dan empangan hidroelektrik ini, ia tidak dilengkapi dengan tebatan banjir. Kita kena tambah baik empangan ini contohnya di Hulu Langat atau Sungai Selangor untuk dwi-fungsikan empangan ini.
Satu lagi perkara yang selalu orang sebutkan sungai-sungai di bawah JPS sepatutnya ada reserve (simpanan). Tetapi banyak orang yang tidak hormat pada simpanan ini. Jadi bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah ini?
Tanah negara ini ada dua seksyen iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 32. Seksyen 13 itu memang telah dibuat simpanan tetapi diletakkan di bawah kerajaan negeri.
Kadang-kadang lot-lot atau kawasan yang ada ini, kita tidak warta dengan baik. Jadi dalam mesyuarat MAN yang lepas, kita syor untuk warta di bawah Seksyen 62 yang mana kita boleh wartakan betul-betul untuk tujuan kegunaan awam. Jadi bolehlah kita buat (projek) DSK. Antara pengurusan banjir yang kita lihat, pewartaan itu penting.
Apakah harapan Datuk khususnya menyeru rakyat untuk bersama-sama dengan JPS dan KASA dalam memastikan kita dapat mengurangkan impak kesan banjir dan dari segi apa yang boleh dilakukan rakyat. Apakah sumbangan kita untuk membantu JPS dan KASA?
Saya selalu fikirkan sama-sama menjaga sistem saliran parit. Mulakan dengan (saliran parit) keliling rumah kita. Kalau kita dapat jaga sampah, air buangan dibuang ke tempat yang sepatutnya kita buang. Jadi kita dapat (manfaat) dua dalam satu. Banjir kita dapat jaga dan kualiti air pun kita dapat jaga sekali.
Sungai kita bersih, kampung kita bersih dan rumah kita pun terjaga. Kadang-kadang nak mula itu kalau boleh di sekeliling rumah dahulu. Saya nampak sampah antara penyebab utama yang menjadikan banjir dengan cara menyekat aliran sungai. Pada saya ia bermula dengan rumah dahulu.
Klik di sini untuk terus membaca