LIMA tahun lalu, penulis dan beberapa teman dalam dunia kejuruteraan permotoran cuba menganjurkan sebuah siri televisyen dinamakan ‘Master Auto’. Program ini bertujuan menguji kepintaran peserta dalam menyudahkan tugasan yang diberikan... Klik di sini untuk terus membaca

LIMA tahun lalu, penulis dan beberapa teman dalam dunia kejuruteraan permotoran cuba menganjurkan sebuah siri televisyen dinamakan ‘Master Auto’. Program ini bertujuan menguji kepintaran peserta dalam menyudahkan tugasan yang diberikan kepada mereka.

Antaranya menyiapkan tugasan tepat pada masanya dan mengikut kesesuaian bajet. Malangnya program ini tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu.

Diputarkan masa ke hadapan, barulah penulis mengerti betapa pentingnya untuk menyudahkan projek mengikut masa ditetapkan dan kesesuaian bajet.

Kini, tatkala negara dilanda cengkaman kemelesetan ekonomi, industri pembinaan menjadi sangat canggih dan kompleks. Kos meningkat secara mendadak.

Kisah ini ada kaitan dengan pengalaman penulis membangunkan pusat latihan kemahiran teknologi dan kepakaran profesional.

Era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) menyebabkan semua prasarana dan fasiliti harus selari dengan keperluan semasa.

Sebagai contoh, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) telah berjaya menjalin kerjasama dengan beberapa pemain nama besar seperti Apple, Festo dan Siemens.

Malang sekali, jadual yang sepatutnya menyaksikan semua kerja siap pada Disember 2021, telah tertangguh.

Sebagai pemantau utama projek tersebut, penulis mendapati kontraktor utama dilantik realitinya tidak kompeten dengan teknologi terkini.

Selain terlalu bergantung kepada subkontraktor, kontraktor utama juga tidak peka kepada keperluan teknologi semasa. Ia juga tidak mempunyai cukup jurutera dan juruteknik kompeten mahir pembangunan dan pengaplikasian teknologi terkini.

Secara tidak langsung, inilah punca yang menyumbang kepada pertambahan angka projek pembinaan terbengkalai (ACP) di Malaysia. Malah, kes ACP di negara ini dianggap sangat serius dan boleh menjejaskan industri pembinaan dan pembangunan teknologi di Malaysia.

Laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2021 menunjukkan 78 projek sektor swasta membabitkan lebih 17,000 unit rumah diklasifikasikan sebagai ‘projek terabai’.

Laporan Jabatan Perumahan Negara pula mengesahkan sebanyak 539 projek ‘projek sakit’ pada suku pertama 2022 berbanding 328 projek pada 2019.

Selangor mempunyai bilangan projek sakit tertinggi iaitu 119 kes diikuti Johor (75) dan Perak (73).

KONFLIK KONTRAKTOR

Penulis mendapati ada beberapa faktor projek tertangguh dan terabai. Faktor paling kritikal ialah berlaku konflik melibatkan kontraktor utama dengan subkontraktor, perunding dan pemilik projek.

Projek yang dirancang tidak berkesan kerana berlaku kesilapan semasa pembinaan di tapak projek. Pengurusan dan penyeliaan tapak sangat lemah selain kemahiran pengurusan tidak up-to-date.

Penulis juga mendapati kontraktor utama gagal menyediakan peralatan dan kelengkapan pembinaan, kurang pekerja mahir dan produktiviti buruh sangat rendah.

Meningkatkan kemahiran mengikut tahap sesuatu permasalahan ini telah diterangkan kepentingannya oleh ALLAH SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat [4:58] maksudnya, "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya ALLAH memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Justeru, penulis ingin mencadangkan beberapa penyelesaian isu ini. Antaranya, kontraktor utama perlu sensitif kepada perkembangan semasa dan akan datang. Kontraktor juga harus menambah baik kecekapan teknikal dalam bidang kemahiran.

Jika ia melibatkan industri teknologi terkini, pekerja mahir mesti disediakan berdasarkan keperluan. Kontraktor utama wajar meneliti sifat umum pekerja, tahap kemahiran interpersonal dan profesionalisme. Seterusnya, mereka wajib menilai kecekapan akademik, kemahiran komputer, penulisan laporan dan kecekapan di tempat kerja.

Soal penyelidikan, kemahiran komunikasi, kemahiran kognitif, kemahiran teknologi, pemerhatian kepada perincian, pemikiran kritikal, literasi dan numerasi, pengurusan masa, dokumentasi, kekuatan fizikal serta stamina turut memainkan peranan.

Kesimpulannya jangan mudah tertipu dengan pembentangan mana-mana kontraktor utama ketika mahu memenangi sesuatu kontrak atau tender. Sebaliknya prestasi kontraktor utama harus dipantau dari masa ke masa.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca