NAMA Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut selepas ia mungkin kehilangan status rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Menurut Unesco,... Klik di sini untuk terus membaca

NAMA Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga kembali disebut-sebut selepas ia mungkin kehilangan status rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Menurut Unesco, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka akibat "penukaran tanah yang intensif” selain mengesan pembukaan semula lombong lama di kawasan sekitarnya.

Tasik itu adalah yang pertama daripada hanya tiga tapak biosfera di Malaysia. Dua lagi ialah Banjaran Crocker di Sabah dan Bukit Bendera di Pulau Pinang. Buat masa ini terdapat 738 tapak rizab biosfera Unesco di 134 negara.

Tasik Chini yang meliputi kawasan seluas 5,084 hektar, kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna. Ia menjadi habitat 87 spesies ikan air tawar, 189 spesies burung, 51 spesies hutan tanah pamah, 15 spesies hutan paya air tawar dan 25 spesies tumbuhan akuatik.

Tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera ini dahulu sinonim dengan bunga teratai memenuhi permukaannya. Malang, keindahannya dikatakan mula terhakis akibat aktiviti penerokaan tanah dan perlombongan.

Bagaimanapun Rabu lalu, kerajaan Pahang dilaporkan sudah menghantar laporan terkini kepada Unesco bagi mengekalkan status Tasik Chini sebagai rizab biosfera dan ia bersedia melakukan penambahbaikan bagi memenuhi kriteria yang diperlukan.

Isu Tasik Chini ini muncul ketika satu lagi ikon negeri Pahang iaitu Mat Kilau sedang menjadi fenomena di negara ini.

Filem Mat Kilau kini muncul sebagai filem pecah panggung dengan kutipan tertinggi bagi kategori tempatan dan antarabangsa - menghampiri RM100 juta, mengatasi Munafik 2 dan Avengers: End Game.

Ironinya, inspirasi perjuangan Mat Kilau seolah-olah tiada di Tasik Chini sehinggakan ada orang bertanya, di manakah semangat Mat Kilau orang Pahang untuk berjuang melindungi khazanah alam itu?

HERO ALAM SEKITAR

Sungguhpun begitu, kejayaan filem Mat Kilau membuktikan hiburan adalah salah satu elemen berkesan yang mampu mendekatkan masyarakat dan sejarah dengan cara yang menyeronokkan, dan tentunya perkara sama boleh dilakukan ke atas isu alam sekitar seperti Tasik Chini.

Sejarah dan alam sekitar seringkali dianggap topik berat yang membosankan tetapi golongan selebriti mampu menggabungkan kekuatan hiburan bagi menyampaikan kedua-dua mesej berkenaan secara santai tetapi berbekas di hati.

Pengarah James Cameron sudah melakukannya menerusi filem epik sains fiksyen alam sekitar, Avatar pada tahun 2009 yang meraih kutipan AS$2.8 bilion (RM12.4 bilion) di seluruh dunia.

Apatah lagi Tasik Chini terkenal dengan legenda naga ‘Sri Gumum’, yang boleh diolah menjadi filem fiksyen alam sekitar terhebat di tangan pengarah seperti Syamsul Yusof.

Selama puluhan tahun penduduk tempatan khususnya Orang Asli suku Jakun percaya tasik itu adalah tempat tinggal naga.

Dikhabarkan juga pembesar negeri akan bermimpi kemunculan naga setiap kali banjir besar bakal melanda.

Malah pada tahun 1959, jurutera Inggeris, Arthur Potter, bersama tiga pekerjanya mengaku telah melihat makhluk seakan-akan naga di Tasik Chini.

Menurut cerita, bumbung bot mereka terangkat dan mereka melihat mata merah sebesar bola tenis. Esoknya mereka menemui alur lumpur besar memanjang hingga 70 meter!

Kisah sang naga ini juga memberi inspirasi kepada pembikinan filem baharu, The Chini Saga arahan Pveezi Zain yang diumumkan pada Januari 2020 namun tidak diketahui perkembangan terkininya.

Setakat ini kisah naga Tasik Chini sekadar mitos dan tidak pernah dibuktikan secara saintifik. Bagaimanapun, tidak kurang orang yang berharap naga itu benar-benar wujud sekarang. Pelakon Sara Ali ialah salah seorang daripada mereka.

"Kalau betul dalam tasik ini ada naga, saya harap naga itu bangun dan melihat sendiri kemusnahan yang berlaku kepada Tasik Chini,” luah beliau dalam Instagramnya tahun lalu.

Tidak kiralah semangat Mat Kilau atau sang naga, Tasik Chini mesti diselamatkan dengan apa cara sekali pun.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca