PADA 26 Julai lalu, saya mengadakan perbincangan penting dengan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Dr Noeleen Heyzer.
Kami membincangkan pelbagai isu: Konsensus 5 Perkara (K5P), kerangka penyelesaian konflik Myanmar yang punya penamat permainan (end game), bantuan kemanusiaan dan pendidikan untuk pelarian.
Sehingga hari ini, K5P belum menunjukkan kemajuan yang nyata. Keganasan berterusan, malahan semakin teruk.
Tiada perundingan yang inklusif dan adil antara semua pemegang taruh utama dalam dialog ASEAN-junta. Junta memonopoli dan mempolitikkan bantuan kemanusiaan.
Justeru, pada 22 Julai lalu, kabinet memutuskan dua perkara untuk dibawa ke mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN di Phnom Penh pada 3 Ogos ini: Myanmar tidak dibenarkan menghantar wakil politik ke semua mesyuarat peringkat menteri ASEAN; dan bermula dengan mesyuarat ini, sehingga Sidang Kemuncak ASEAN pada November nanti, satu kerangka dibincangkan bagi melaksanakan K5P.
Pada 25 Julai lalu, junta dilaporkan telah menjalankan hukuman bunuh ke atas empat aktivis demokrasi Myanmar, iaitu Kyaw Min Yu, Phyo Zeya Thaw, Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw.
Malaysia mengutuk perbuatan ini. Ia jenayah terhadap kemanusiaan. Ia menunjukkan junta mempermainkan K5P.
Sebelum ini, saya pernah mencadangkan agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN bertemu NUG dan NUCC. Kini tiba masanya untuk pertemuan ini disegerakan dan beritanya dilaporkan.
PERANAN ASEAN
Selanjutnya, Sidang Kemuncak ASEAN November ini perlu membuat keputusan besar. Adakah K5P diteruskan? Dapatkah ia dibaiki? Atau diadakan sesuatu yang baharu?
Setelah bertemu pelbagai pemegang taruh utama, termasuk NUG dan NUCC, dan usaha-usaha ini masih diteruskan, saya berpendapat ASEAN harus mempunyai kerangka yang ada penamat permainan dan jelas perkara atau proses yang perlu dibuat untuk mencapai penamat permainan itu.
Penamat permainannya ialah Myanmar yang demokratik, inklusif dan adil, aman dan harmoni, makmur dan hak-hak sivil dan politiknya dijamin perlembagaan.
Dalam konteks ini, ASEAN mesti memiliki maklumat yang tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, iaitu dengan memperolehnya secara langsung daripada pihak-pihak terbabit.
Ini diikuti dengan perundingan yang inklusif dan adil oleh semua pemegang taruh utama.
Mereka perlu duduk semeja, dalam keadaan selamat, untuk mencari jalan melaksanakan kerangka ini, termasuk tentang perkara atau proses seperti: bantuan kemanusiaan yang adil dan telus, pelan dan pihak pelaksana transisi (gencatan senjata, penstabilan dan transisi), perlembagaan rakyat dan pilihan raya bebas dan disepakati semua.
ASEAN perlu berperanan sebagai fasilitator bersama-sama Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar, dengan disertai sokongan komuniti antarabangsa.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca