SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan ruang kepada anak muda untuk menyuarakan pendapat dan masalah dalam usaha menyuburkan proses demokrasi di negara ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, situasi di negara ini tidak memberikan banyak ruang kepada anak muda menyuarakan pendapat sekali gus menyebabkan mereka turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi.
"Anak muda ini mereka pun hendak perjuangkan hak asasi mereka dan ini adalah penting kalau kita hendak maju ke hadapan. Kita perlu dengar suara dan menunjukkan kepimpinan yang kita boleh selesaikan masalah serta peka kepada setiap golongan.
"Isu yang penting ketika ini adalah berkaitan ekonomi dan kos sara hidup yang bagi mereka (anak muda) ialah kerajaan tidak mempunyai jawapan untuk isu ini," katanya dalam Wacana Sinar Siri ke-358 bertajuk Pengundi Punca Demokrasi Gagal pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan Penganalisis Pilihanraya, Dr G Manimaran dan Pemerhati Politik, Tai Zee How atau lebih dikenali sebagai Apek Cina manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah kos sara hidup itu sebaik mungkin sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengelakkan rakyat tidak keluar mengundi pada pilihan raya tersebut.
Menurutnya, jika tiada jalan penyelesaian berjaya dicapai, ia akan menyaksikan proses demokrasi untuk memastikan setiap rakyat keluar mengundi akan gagal.
"Kerajaan mesti menunjukkan mereka perlu ada usaha berterusan untuk stabilkan politik di negara ini selain menyelesaikan masalah yang kita hadapi pada masa ini iaitu harga barang yang naik.
"Setiap parti juga jangan pandang rendah kepada anak muda. Sekarang cabaran mereka adalah ekonomi kerana apabila mereka dapat ijazah tetapi keluar tidak dapat kerja yang sesuai dengan sijil mereka.
"Ini isu yang sangat penting kepada mereka dan jika ada peluang dan ruang untuk bersuara, mereka sudah tentu akan bersuara," ujarnya.