SHAH ALAM - Penganalisis Pilihanraya, Dr G Manimaran tidak melihat faktor pengundi yang tidak keluar mengundi sebagai punca penyuburan demokrasi gagal di negara ini. Menurutnya, pengertian demokrasi itu sangat luas dan mengambil bahagian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis Pilihanraya, Dr G Manimaran tidak melihat faktor pengundi yang tidak keluar mengundi sebagai punca penyuburan demokrasi gagal di negara ini.

Menurutnya, pengertian demokrasi itu sangat luas dan mengambil bahagian dalam pilihan raya itu cuma satu komponen dalam pengertian tersebut.

Beliau berkata, apa yang amat penting untuk melengkapkan kitaran demokrasi itu adalah peluang untuk rakyat menyuarakan pandangan selain kerajaan membantu mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Kita kata pengundi gagal kerana kita tidak beri mereka peluang. Demokrasi itu perlu dilihat daripada sudut pilihan raya, penyertaan pilihan raya dan selepas pilihan raya iaitu ada tadbir urus negara pemerintahan serta kerajaan.

"Pengundi hanya dibenarkan aktif pada hari mengundi sahaja. Sebab itu demonstrasi jalanan itu berlaku kerana rakyat tidak diberikan peluang dan ruang untuk melengkapkan istilah atau melengkapkan pengertian demokrasi tersebut," katanya dalam Wacana Sinar Siri ke-358 bertajuk Pengundi Punca Demokrasi Gagal pada Jumaat.

Wacana itu turut menampilkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Pemerhati Politik, Tai Zee How atau lebih dikenali sebagai Apek Cina manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak dan parti juga tidak boleh memandang mudah kepada pengundi kerana mereka memainkan peranan besar untuk menentukan perjalanan negara.

"Setiap daripada mereka menganggap tugas rakyat hanya mengundi dan selepas itu jangan cakap banyak. Sebagai contoh, baru-baru ini ada satu lebuh raya iaitu PJD Link (Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya) dibuat.

"Adakah penduduk diberikan ruang sekurang-kurangnya pungutan suara? Itu adalah sebahagian demokrasi. Kalau kita kata pengundi gagal, maka sebenarnya kita yang menggagalkan mereka.

"Macam undang-undang yang dibuat juga, sejauh mana rakyat dilibatkan bersama. Sebab itu orang kecewa sejak PRU 2018 banyak yang berlaku sehingga apa yang berlaku (boikot) dicerminkan di Johor, Melaka dan Sarawak apabila hanya 55 peratus orang keluar mengundi. Demokrasi akan gagal kalau kita tidak memberikan ruang kepada setiap orang di setiap peringkat.

"Apabila orang tidak mengundi di Melaka dan Johor, bagi saya mereka mungkin mengatakan bahawa atas meja mereka tidak ada makanan, kenapa mereka perlu bincang mengenai pilihan raya dan demokrasi. Perkara ini yang perlu kita ambil berat," jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca