SHAH ALAM - Langkah memberikan ganjaran dan memberikan hukuman kepada pengundi mungkin boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan setiap rakyat keluar mengundi.
Pemerhati Politik Tai Zee How berkata, SPR boleh bagi elaun RM50 kepada rakyat yang mengundi dan mereka yang gagal mengundi, SPR boleh denda RM50 seperti langkah yang dilakukan di Australia.
"Ia bukan satu kesalahan kerana SPR yang bagi dan bukan calon. Malah, SPR juga tidak suruh mengundi sesiapa dan tidak memihak mana-mana pihak. Ini juga untuk memastikan pengundi bermotivasi untuk mengundi dan memastikan demokrasi boleh berlaku.
"Mungkin ada yang tak nak mengundi kerana mereka meluat dengan politik negara. Atau ada yang bekerja di kuala lumpur tidak mahu balik kampung untuk mengundi kerana perjalanan jauh terpaksa bayar duit tambang bas untuk letakkan satu undi yang mungkin tidak menukarkan apa-apa.
"Jadi, ganjaran serta denda ini mungkin akan memotivasikan mereka," katanya dalam Wacana Sinar Siri ke-358 bertajuk Pengundi Punca Demokrasi Gagal pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Penganalisis Pilihanraya, Dr G Manimaran manakala Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.
Beliau yang turut dikenali sebagai Apek Cina juga percaya usaha untuk menyuburkan demokrasi juga bergantung kepada pilihan yang diberikan oleh setiap parti politik untuk memenuhi keperluan rakyat.
"Perubahan memang akan berlaku, jangkaan yang berbeza dan harapan yang berbeza dengan satu syarat jika ada pilihan setimpal dengan harapan pengundi.
"Jika tiada ahli politik atau parti yang bersesuaian dengan harapan mereka, maka kebarangkalian untuk mereka duduk di rumah dan tidak keluar mengundi adalah tinggi," katanya.