SHAH ALAM - Populasi Harimau Malaya dalam negara ketika ini dilaporkan semakin menyusut. Berdasarkan laporan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) pada tahun lalu menunjukkan jumlah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Populasi Harimau Malaya dalam negara ketika ini dilaporkan semakin menyusut.

Berdasarkan laporan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) pada tahun lalu menunjukkan jumlah Harimau Malaya atau nama saintifiknya, panthera tigris jacksoni kurang daripada 200 ekor.

Jumlah itu dilaporkan terus menyusut apabila data terbaru Perhilitan menunjukkan jumlah spesies hidupan liar itu kini kurang daripada 150 ekor.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau dijangka pupus di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tiada tindakan drastik yang diambil bagi memastikan kestabilan ekosistem haiwan liar itu.

Menurutnya, Harimau Malaya kini diancam kepupusan sekiranya ia tidak dilindungi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim

"Jumlah populasi liar Harimau Malaya dalam negara ketika ini dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

"Lebih mengejutkan berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati haiwan ini dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tiada tindakan diambil dengan segera,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Abdul Kadir berkata, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada kemerosotan harimau di negara ini, antaranya pemburuan haram, penyeludupan, pemasangan jerat dengan tujuan menjadikan harimau sebagai makanan eksotik dan kepercayaan terhadap khasiat perubatan tradisional, selain sebagai status diri dan lambang kemewahan.

Katanya, faktor lain menjadi punca kemerosotan binatang liar itu ialah sejenis penyakit yang memberi ancaman kepadanya serta kekurangan sumber makanan.

"Selain pemburuan haram dan perdagangan haram, ancaman terbaru bagi Harimau Malaya adalah penyakit Canine Distemper yang disebabkan sejenis virus iaitu Paramyxovirus. Penyakit ini juga boleh menjangkiti haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

"Selain itu, antara faktor lain ialah kekurangan sumber makanan dalam hutan telah menjejaskan trend pemakanan dan kehilangan habitat menyebabkan harimau terpaksa keluar daripada hutan untuk mencari sumber makanan,” ujarnya.Penguatkuasaan

Menurut Abdul Kadir, pelbagai program dan inisiatif penguatkuasaan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh jabatan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengekang kegiatan pemburuan hidupan liar ini.

Katanya, ia diharap dapat memberi mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa kerajaan amat tegas dalam melindungi khazanah negara ini.

Hari Harimau Sedunia disambut setiap tahun pada 29 Julai bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga dan memulihara spesies harimau.

STRATEGI KONSERVASI

Beliau berkata, apa yang jelas situasi kepupusan spesies itu adalah sangat membimbangkan kerana setiap spesies memainkan peranan masing-masing.

"Kerajaan memandang serius isu kepupusan spesies hidupan liar. Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju dengan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya khasnya termasuklah hidupan liar lain yang akan dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030.

"Salah satu tindakan yang telah dipersetujui adalah untuk meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi spesies ikonik negara melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Kita percaya populasi binatang liar ini akan meningkat semula berdasarkan pemerhatian daripada pelaksanaan yang telah dibuat di negara lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai sambutan Hari Harimau Sedunia, jelas Abdul Kadir, ia adalah untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan spesies ikonik tersebut.

"Sambutan Hari Harimau Sedunia adalah merupakan acara tahunan yang telah dimulakan sejak tahun 2010.

"Hari Harimau Sedunia disambut setiap tahun pada 29 Julai bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga dan memulihara spesies harimau,” jelasnya.

Tema Hari Harimau Sedunia tahun ini ialah ‘Mengukuhkan Kerjasama Demi Masa Depan Harimau Malaya’.

Klik di sini untuk terus membaca