KETIKA tempoh kerajaan semasa dijangka tamat kurang setahun, tumpuan kesemua parti politik kini sudah terarah kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dengan pembentangan Bajet 2023 mungkin perkara terakhir perlu diselesaikan kerajaan sedia... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA tempoh kerajaan semasa dijangka tamat kurang setahun, tumpuan kesemua parti politik kini sudah terarah kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dengan pembentangan Bajet 2023 mungkin perkara terakhir perlu diselesaikan kerajaan sedia ada, dinamika persaingan politik menuju PRU15 harus diberikan fokus.

Sudah tentu persiapan dan persaingan menghadapi PRU15 berbeza serta lebih mencabar berbanding sebelumnya. Dinamika pengundi yang lebih terbuka dan kritikal terhadap pengundian menjadikan politik pilihan raya semakin rumit.

Justeru, penalaan strategi jentera dan kempen harus lebih kompetitif serta kreatif. Ketika persepsi negatif dilihat tinggi terhadap orang politik, parti mana yang mampu mengghairahkan perbahasan ruang awam dengan idea-idea segar dan praktikal dilihat berpotensi untuk memenanginya.

Malangnya kesemua parti politik masih jauh daripada melakukan hal tersebut. Yang menggusarkan, prestasi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga gagal menjadi asas sukatan bagi menggamit sokongan.

Kesemua parti itu jelas dibebani dengan reputasi dan pencapaian yang teruk sehingga membawa kepada defisit kepercayaan, di sebalik BN mungkin sedikit di hadapan dalam konteks tersebut.

Namun, agak klise dan basi jika mengatakan BN bakal menang mudah disebabkan mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

PRN Johor memperlihatkan aliran undi popular BN hanya berada sekitar 43.1 peratus berbanding PH (29.8 peratus), manakala PN menerima hayunan undi yang terpecah daripada kedua-dua paksi itu dengan 24 peratus.

Cuma, trend dan senario PRN berbeza dengan PRU. Dijangka status quo parti politik akan berubah mengambil kira pengajaran yang berlaku di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor ketika pertandingan tiga penjuru membuahkan hasil berbeza pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016 dan PRU14.

Jadi, sukar untuk meramalkan pemenang jika PRU15 berlaku pada bila-bila masa. Namun, pembacaan ringkas tentang kedudukan semasa boleh membantu perbincangan. Selepas pemilihan PKR, PH mungkin akan kembali bergerak dalam kerangka politik rasional dan progresif.

BERGELUT ISU RASUAH

Paling penting, idea reformasi dan politik anti-rasuah akan dijual secara agresif bagi menggempur parti lawan terutama BN. Ia tentu menyukarkan BN yang ketika ini bergelut dengan isu-isu rasuah dan salah laku pemimpinnya.

PH masih belum datang dengan remedi ampuh menyaingi BN dalam aspek politik identiti ‘Melayu-Islam’.

Malah, kegagalan menunaikan janji dan melaksanakan reformasi serta pembaharuan politik ketika menjadi kerajaan masih menjadi bebanan terberat PH yang belum diselesaikan.

Komponen Melayu PH terutama Amanah masih jauh untuk menyaingi parti-parti lain dalam konteks pengundi Melayu-Islam.

Sebaliknya, BN jelas perlu mengubah status quonya – politik ‘Melayu-Islam’. Perubahan kepimpinan PKR dan keperluan semasa menuntut BN mengimbangi naratif politik moderat serta progresif mereka dengan kerangka politik identiti yang segar dan dinamik.

Ketiadaan Pas yang dijangka bersama Bersatu dalam PN akan menyukarkan BN kalau masih bertahan dengan kerangka sedia ada.

Itu belum dikira persediaan parti Pejuang yang mungkin boleh memecahkan undi Melayu, kalau pun tidak menyainginya secara sengit.

Undi kritikal di kawasan bercampur dan bandar masih sukar ditawan BN serta belum begitu selamat di kawasan pengundi Melayu-Islam, mengambil kira kekuatan tersendiri PN ketika PRN yang dianggap berpotensi di sebalik pencapaian sederhana.

Namun, bagi sebuah pakatan baharu, ia masih dianggap baik, cuma setakat ini pengundi kawasan tersebut masih belum ghairah dan responsif terhadap pilihan raya. Kalau ia berterusan, PH mungkin dapat disaingi dalam perebutan undi kelak.

Tempoh kurang setahun untuk melakukan pelbagai kerja mungkin sukar tetapi ia bukan mustahil. Kuncinya adalah strategi yang betul, kepimpinan jelas dan bermatlamat serta pasukan mantap.

Parti mana yang mampu melakukan itu mungkin berpeluang besar berbanding parti saingan lain.

*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca