KETIKA membuat tinjauan tidak empirikal, seorang pengundi dewasa dengan tegas mengatakan; "Saya tidak akan mengundi dalam pilihan raya akan datang (Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)”. Alasannya mudah. Dia kecewa dengan apa yang berlaku... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA membuat tinjauan tidak empirikal, seorang pengundi dewasa dengan tegas mengatakan; "Saya tidak akan mengundi dalam pilihan raya akan datang (Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)”.

Alasannya mudah. Dia kecewa dengan apa yang berlaku sejak selepas PRU14. Oleh itu, katanya, dia akan tunggu dan lihat serta kemungkinan besar tidak keluar mengundi kali ini, kecuali ada sesuatu yang boleh meyakinkan dia. Dia ialah antara sebahagian besar pengundi yang mengatakan demikian.

Perkembangan itu sememangnya menyedihkan. Ramai putus asa.

Pengundi ada alasan tersendiri mengapa mereka bertindak demikian. Kita perlu menghormati pendirian mereka. Namun adakah senario itu harus dibiarkan?

Jawapannya: Sepatutnya tidak!

Pada Khamis, apabila saya berpeluang berbicara perkara yang sama dengan pengundi terbabit, di tengah-tengah suasana perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022, yang dinanti-nantikan, bagi mengekang perbuatan melompat parti, pendirian dia agak berubah sedikit.

Undang-undang yang bertujuan meletakkan noktah bagi menghentikan tindakan melompat parti dan menyertai parti lain dilihat membawa sedikit ‘kemujaraban’ dalam kalangan pengundi yang kecewa dan sudah hilang keyakinan ke atas anggota dewan perundangan, sistem politik dan pilihan raya serta paling serius ke atas kerajaan atau sistem tadbir urus pemerintahan.

Di akhir proses pengundian di Dewan Rakyat itu, seramai 209 ahli dewan menzahirkan sokongan. Manakala 11 lagi ahli tidak hadir dan tidak mengundi. Dua kerusi masih kosong.

Meskipun jumlah yang menyokong itu, kurang dua orang berbanding ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 16 Julai 2019 bagi membolehkan dasar Undi18 dan sistem pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan, ia tetap satu peristiwa yang bersejarah.

Usaha perlu digandakan untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terutama pengundi ke atas sistem kerajaan dan pilihan raya.

Komen dan ulasan di pelbagai platform media menunjukkan pembaharuan itu diterima ramai.

Ramai teruja dengan sejarah yang dicipta oleh Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022.

Ia adalah kali ketiga pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dilakukan dengan sokongan luar biasa sejak PRU14, lebih daripada sokongan minimum dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan.

Ramai berpandangan, ‘sindrom katak’ perlu dibersihkan dari sistem dewan perundangan, di kedua-dua peringkat nasional dan negeri, bagi memastikan kestabilan kerajaan.

Pada masa yang sama, perlu memastikan setiap undi dan mandat dihormati dan ditunaikan sepanjang tempoh penggal berkenaan atau sehingga Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan atau terbubar dengan sendiri.

Malah, ia penting untuk memelihara integriti dan imej institusi pentadbiran.

UNDI RAKYAT

Calon dipilih menjadi wakil rakyat oleh rakyat. Mereka meletakkan kepercayaan berdasarkan pada janji yang dibuat oleh wakil rakyat semasa kempen pilihan raya.

Undi yang diberikan itu merupakan satu perjanjian. Ia mengikat wakil rakyat. Walaupun tiada dokumen rasmi, tetapi undi yang diberikan dengan tanda pangkah, tercatat pada kertas undi, dengan sendiri merupakan satu ‘dokumen rasmi’ yang ringkas dan terikat.

Manusia perlu menghormati janji yang diberikan. Mempertahankan integriti undi rakyat. Ia bermakna kita melakukan setiap tindakan dengan jujur dan tidak melanggar peraturan meskipun tidak dilihat oleh orang lain.

Wakil rakyat perlu menjunjung aspek itu sebab mereka ahli dewan perundangan yang dijunjung tinggi.

Diyakini RUU yang melarang lompat parti, yang kini sudah menjadi kenyataan, akan membawa sinaran baharu terhadap sistem pilihan raya dan kerajaan, sekali gus mengembalikan keyakinan masyarakat ke atas wakil mereka di dewan perundangan.

Perkembangan terbaru itu diharap membawa harapan baharu buat rakyat kembali menyertai proses pilihan raya, dan memastikan peratusan keluar mengundi kembali meningkat seperti ketika PRU14.

RUU tersebut harus menjadi katalis untuk memastikan peratusan keluar mengundi rendah seperti yang telah kita saksikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor.

Jika tidak, tiada makna negara mengadakan pilihan raya dengan perbelanjaan mengurus yang begitu besar tanpa penyertaan dan penglibatan rakyat.

Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tidak lagi boleh menganggap tanggungjawab mereka kepada keseluruhan pengundi berakhir selepas mereka menang.

Tidak! Jangan anggap pengundi sudah tidak ada kuasa dan hubungan wakil rakyat—pengundi terputus selepas pilihan raya.

Tanggal 28 Julai 2022 akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah. Mereka yang membahaskan dan mengundi lulus RUU kali ini dengan sendiri telah mencatatkan sejarah baharu.

Begitu juga rakyat Malaysia yang menuntut pindaan ini sejak empat dekad yang lalu.

Perjuangan itu diteruskan oleh pelbagai pihak; parti politik, ahli Parlimen dan DUN, pelbagai pertubuhan sivil dalam negara, penganalisis, para aktivis dan badan-badan pemikir serta pendesak ke arah Malaysia yang lebih baik.

Ia sebenarnya hadiah kepada semua. Meskipun RUU itu belum lengkap tetapi ia tetap langkah permulaan yang bermakna.

Peruntukan yang diperkenalkan belum cukup masak untuk menjamin kestabilan yang lebih padu.

Susulan penerimaan yang direkodkan ini, usaha perlu dilipat gandakan agar mesej pindaan akan sampai ke bawah.

Setiap rakyat perlu dimaklumkan mengenai kepentingan undang-undang ini kepada mereka. Perlu diadakan program pendidikan pilihan raya.

Pindaan di peringkat nasional perlu dibawa ke peringkat negeri. Jangan sampai isu pindaan Undi18 di peringkat negeri yang mengambil masa sampai dua tahun untuk diselesaikan keseluruhannya berulang kembali. Langkah itu perlu direalisasikan — dibahas, dilulus dan diwartakan sebelum PRU-15.

Sekali lagi, kesemua perkara itu memerlukan iltizam politik untuk menjadi kenyataan secara menyeluruh.

Jika tidak, kita akan sekali lagi gagal untuk bertindak dengan semangat jujur demi kepentingan negara.

* Dr G Manimaran ialah penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca