SHAH ALAM - Ahli Parlimen berstatus Bebas masih mempunyai masa untuk memutuskan pendirian hala tuju politik terkini mereka, sekalipun pindaan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen berstatus Bebas masih mempunyai masa untuk memutuskan pendirian hala tuju politik terkini mereka, sekalipun pindaan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkenaan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, hal itu kerana prosesnya masih perlu melalui pembentangan dan perbahasan di Dewan Negara serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, dengan kerajaan menetapkan garis masa ia bakal dikuatkuasakan pada bulan September ini.

Jelas bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu, beliau berpandangan sebarang ketetapan untuk menyertai parti baharu mungkin hanya dipertimbangkannya sebelum Parlimen dibubarkan.

"Walaupun menyedari peruntukan RUU itu menyatakan ahli Parlimen Bebas perlu mengosongkan kerusi sekiranya kami menyertai parti lain, namun kami mempunyai sedikit masa lagi untuk membuat pertimbangan politik terkini.

"Sekarang ada beberapa ahli Parlimen Bebas yang berada dalam situasi sama.

"Saya boleh katakan sebelum Parlimen dibubarkan, kita akan buat ketetapan untuk menyertai parti mana kelak.

"Paling penting, saya akan nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tanpa perlu menyertai mana-mana parti secara rasmi. Itu bukan satu kesalahan kepada kami,” katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Berdasarkan semakan di laman portal rasmi Parlimen Malaysia, seramai empat ahli Parlimen yang secara rasmi dianggap wakil rakyat Bebas iaitu Xavier; Tambat @ Jugah Anak Muyang (Lubok Antu); Masir Anak Kujat (Sri Aman) dan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus).

Mohd Khairuddin

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin sewaktu dihubungi berpandangan kelulusan pindaan RUU berkenaan merupakan keputusan tepat, meskipun ia sepatutnya sudah lama perlu dibentangkan dalam Parlimen.

Menyifatkan pindaan RUU berkenaan larangan ahli Parlimen bertukar parti bersifat adil bagi semua pihak, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu, berkeyakinan ia jalan keluar terbaik untuk ahli Parlimen yang berdepan konflik dalaman dengan parti mendapatkan keadilan sewajarnya.

"Bila mana berlaku perbezaan di antara ahli Parlimen dengan parti diwakili, sekiranya mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan parti, peruntukan Perlembagaan Persekutuan memaksa mereka untuk tidak boleh bertanding pilihan raya selama lima tahun.

"Dengan pelaksanaan pindaan RUU ini, mana-mana ahli Parlimen yang letak jawatan dalam parti dan wakil rakyat dibenarkan kembali bertanding sebagai calon Bebas.

"Perlu diingat, amalan individu keluar parti memang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, cuma hak berpersatuan mereka tersekat.

"Ini jalan keluar terbaik untuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada parti, mendapat keadilan,” kata Khairuddin.

Klik di sini untuk terus membaca