JIKA seorang gadis muda yang pernah dirogol dipaksa berkahwin walaupun gadis tersebut ingin meneruskan pengajian, adakah ia tindakan wajar? Susulan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan bulan lalu, Kopitiam... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA seorang gadis muda yang pernah dirogol dipaksa berkahwin walaupun gadis tersebut ingin meneruskan pengajian, adakah ia tindakan wajar?

Susulan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan bulan lalu, Kopitiam dirujuk dengan satu kes – perempuan berusia 17 tahun ini dirogol dua kali oleh individu berlainan dan ibunya mengarahkan anak perempuannya itu berkahwin serta-merta bagi menyelamatkan kehormatan keluarga.

Namun, remaja berkenaan tidak ingin berkahwin dan mahu meneruskan pendidikan vokasional kerana dia bercita-cita menjadi guru suatu hari nanti.

Tetapi, ibu remaja itu mengatakan anaknya telah ‘rosak’ dan patut dikahwinkan secepat mungkin dengan teman lelaki gadis tersebut yang tidak kisah kedaraan gadis berkenaan dirampas lelaki lain. Malah, si ibu berasa remaja itu patut bersyukur kerana ada lelaki yang ingin bernikah dengannya.

Mengikut undang-undang, ibu bapa boleh membuat keputusan untuk kanak-kanak berumur 18 ke bawah, manakala had umur minimum perkahwinan di Selangor telah dipinda dari 16 tahun kepada 18 tahun pada September 2018.

Bagi perkahwinan kanak-kanak bawah umur, ibu atau bapa boleh bertindak sebagai pemohon berserta afidavit dan kanak-kanak tersebut wajib menjalani sesi kaunseling yang diadakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di Malaysia, negeri yang telah meminda had umur perkahwinan kepada 18 tahun ialah Selangor dan baru-baru ini, Kedah. Negeri yang telah bersetuju meminda had umur perkahwinan tetapi masih belum diluluskan Rang Undang-Undang (RUU) ialah Pulau Pinang, Sabah, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan.

Negeri-negeri lain masih mengekalkan had umur perkahwinan untuk lelaki dan wanita pada usia 16 tahun.

KEMISKINAN DAN KURANG AKSES PENDIDIKAN

Soalan yang telah lama dipertikaikan adalah sekiranya had umur perkahwinan dinaikkan, adakah kadar perkahwinan kanak-kanak menurun?

Pakar kanak-kanak sering membincangkan kesan terhadap golongan muda remaja akibat berkahwin awal seperti keganasan rumah tangga dan penderaan, serta risiko tinggi hamil usia muda.

Namun, punca utama perkahwinan kanak-kanak adalah norma budaya yang lama tertanam di dalam hati masyarakat seperti kes remaja di atas. Kemiskinan dan kekurangan akses pendidikan turut menjadi punca utama perkahwinan kanak-kanak di bawah umur.

Kes yang berlaku pada 2018 melibatkan budak perempuan berumur 15 tahun dikahwinkan sebagai isteri kedua kepada lelaki berumur 44 tahun, disebabkan keluarga budak tersebut berasal daripada golongan miskin tegar. Orang tua budak itu berharap anaknya mendapat hidup lebih senang hasil pernikahan tersebut.

Adalah senang untuk pakar-pakar, terutama golongan 'kayangan' menuding jari kepada ibu bapa yang membuat keputusan tersebut tetapi isu perkahwinan kanak-kanak sebenarnya mendedahkan jurang sosioekonomi masyarakat yang semakin membesar.

Sekiranya remaja yang bercita-cita menjadi guru itu tidak kehilangan bapa pada usia belasan tahun dan ibunya mempunyai pekerjaan stabil, berkemungkinan perspektif ibunya terhadap anak yang dirogol akan bertukar.

Seorang wanita yang bekerja akan mengetahui nilai sekeping sijil pendidikan tinggi dan keupayaan pendidikan untuk mengeluarkan keluarganya daripada kepompong kemiskinan.

Remaja perempuan berusia 17 itu bukan daripada golongan luar bandar, maksudnya masalah perkahwinan kanak-kanak tidak terbatas kepada masyarakat di pedalaman. Masalah jurang pendapatan yang kian melebar akan menjejaskan kehidupan masyarakat dari pelbagai sudut.

Kesimpulannya, kenaikan had umur perkahwinan adalah langkah pertama untuk melindungi kanak-kanak. Langkah itu hanya menambahkan kekangan kepada ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka tetapi kerajaan sepatutnya melihat isu tersebut dengan lebih mendalam.

*Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca