PAK Ngah termenung panjang. Entah bagaimana, aplikasi Telegram beliau telah digunakan untuk meminta duit daripada kenalan. Katanya, aplikasi itu telah diambil oleh orang tidak bertanggungjawab. "Scammer. Kau jangan transfer duit tu,” kata... Klik di sini untuk terus membaca

PAK Ngah termenung panjang. Entah bagaimana, aplikasi Telegram beliau telah digunakan untuk meminta duit daripada kenalan. Katanya, aplikasi itu telah diambil oleh orang tidak bertanggungjawab.

"Scammer. Kau jangan transfer duit tu,” kata Pak Ngah.

"Tapi saya dah transfer. Saya ingat Pak Ngah memang nak pakai duit,” kata Halim, anak saudara Pak Ngah yang bekerja di Kuala Lumpur.

"Siapa suruh engkau transfer. Lain kali telefon dulu,” kata Pak Ngah lagi.

"Iyalah, sebelum ini Pak Ngah selalu tolong saya tanpa banyak soal kalau saya susah. Sementara ada duit, lagi pun dalam mesej, Pak Ngah kata esok pagi nak bayar balik, saya pun nak bantu jugalah Pak Ngah,” kata Halim.

"Berapa kau transfer?” tanya Pak Ngah.

"RM2,000 macam Pak Ngah minta,” kata Halim lagi.

"Bukan aku yang minta, scammer!” jerit Pak Ngah.

"Habis macam mana dengan duit saya,” tanya Halim gelisah.

Suaranya sudah bergetar menahan sebak. Mungkin itu sahaja duit simpanan yang dia ada.

Hajatnya hendak memberi pertolongan sementara tetapi perkara sebaliknya pula terjadi.

Bukan Pak Ngah yang minta duit, rupa-rupanya scammer. Lesap dan lebur RM2,000 duitnya. Ingatkan Pak Ngah bersimpati.

Bak kata pepatah, kuah sama dihirup, sambal sama dicolek. Namun sebaliknya, Pak Ngah berkali-kali mengulang kata sambil menjuihkan bibirnya,

"Siapa suruh kau transfer. Lain kali telefon dulu, tanya.”

Bukan seorang dua menjadi mangsa scammer. Rakan sekerja Pak Ngah juga ada telah membuat pindahan duit kepada orang yang disangkanya Pak Ngah.

"Kasim, aku dah transfer duit RM3,000,” kata Jamal, seorang pemandu lori di syarikat Pak Ngah bekerja.

"Hah!” jerit Pak Ngah terkejut.

"Jangan risaulah. Kalau ada duit nanti bayarlah. Lambat pun tak apa,” kata Jamal dengan yakin.

"Siapa suruh kau transfer?” jerit Pak Ngah.

"Habis yang kau mesej aku minta pinjam. Tak perlu seganlah Kasim. Hari ni hari engkau, mana tahu esok-esok hari aku pula,” jawab Jamal sambil ketawa.

"Itu scammer!” jerit Pak Ngah.

"Apa?” jerit Jamal pula.

TEKAN PAUTAN

Begitulah hebatnya scammer sekarang. Dengar cerita, lebih kurang RM8,000 dapat dikutip oleh scammer tersebut. Malang sekali, duit itu tidak dapat balik. Pak Ngah tidak mahu bertanggungjawab.

"Bukan aku yang minta,” kata Pak Ngah yang telah membuat laporan polis. Saya pun hairan bagaimana scammer boleh mengambil alih aplikasi Telegram Pak Ngah dan menggunakannya untuk meminta duit. Mungkin Pak Ngah ada menekan apa-apa pautan.

Dengar cerita, duit itu memang tidak akan dapat semula. Dengan teknologi tinggi dimiliki pihak bank, kenapa duit itu tidak dapat dikesan asal-usulnya?

Melainkan kalau scammer sudah mengeluarkannya secepat mungkin, maka masuk angin keluar asap jawabnya tetapi pihak bank mungkin boleh mengenal pasti akaun bank yang terlibat dalam transaksi.

Duit itu telah dipindahkan ke akaun scammer yang mungkin menggunakan keldai akaun. Pihak bank boleh mengesan penama keldai akaun tersebut dan pada masa sama boleh melihat transaksi daripada siapa.

Maka, jika baki duit masih ada dalam keldai akaun, boleh sahaja dipulangkan semula kepada pemiliknya. Maka tidak lesap begitu sahaja tetapi ia tidak berlaku begitu dengar ceritanya.

Kalau ada yang berhutang dengan bank, boleh sahaja pihak bank mengesan nombor telefon mereka yang berhutang.

Malah, ada yang telah menukar nombor telefon pun tidak terlepas diburu pengutip hutang.

Begitu juga pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan data peribadi kita bertujuan untuk mengiklankan produk atau menawarkan insurans dan pelbagai lagi tawaran. Mereka tahu segala butir diri kita.

Boleh sahaja menggunakan forensik audit atau pelbagai istilah yang katanya menggunakan teknologi pintar untuk mengesan transaksi duit masuk seperti mengesan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, ia tidak berlaku begitu. Agak-agak kenapa?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Klik di sini untuk terus membaca