HAKIKATNYA, senyum mudah disebut, namun payah dimaterikan dalam diri. Ramai faham dan tahu bahawa senyuman memberikan kita ‘kuasa’ yang hebat tetapi tidak ramai menjadikan perbuatan senyum sebagai mandatori.
Sebaliknya, kita alpa dengan layanan perasaan negatif dan ketidakwarasan pemikiran sehingga menenggelamkan kewajaran kita untuk senyum.
Lebih teruk, lontaran senyuman daripada orang lain kepada kita pun tidak dibalas secara tulus.
Sebetulnya, telah banyak kajian dilakukan oleh pakar-pakar psikologi dan sosiologi untuk mengetahui ciri-ciri senyuman serta impak kepada diri dan masyarakat.
Yang jelas, individu yang suka senyum dikaitkan dengan watak suka membantu orang lain, tidak berkepentingan diri dan mudah didekati.
Pada masa sama, individu yang berada dalam kelompok masyarakat harmoni lebih cenderung melakukan senyuman berbanding dengan latar masyarakat yang negatif. Justeru, senyuman adalah ‘alat’ yang paling ampuh dalam interaksi sosial.
Pun begitu, tidak semua senyuman berkadar langsung dengan kegembiraan walaupun tersenyum dengan lebar. Malah, terdapat juga individu yang senyum sewaktu berbohong.
Namun, mereka kebanyakannya bersepakat bahawa senyuman yang ikhlas akan memberi tindak balas secara langsung terhadap keceriaan dalam diri seseorang.
Persoalannya, bagaimana untuk mengukur seseorang itu senyum dengan ikhlas?
Pada prinsipnya, pelbagai cara digunakan untuk mengukur keikhlasan dalam senyuman. Ada yang mengkaji postur senyuman dan mimik muka, malah tidak kurang yang mengkaji pandangan mata sewaktu melakukan senyuman.
Bagaimanapun, tiada satu pun mempunyai kaedah dan jawapan muktamad untuk mengukur keikhlasan dalam senyuman kerana sudut ukurannya terlalu luas.
Ia bermakna, setiap individu perlu berusaha sedaya mungkin untuk mengikhlaskan senyuman kerana terlalu banyak kelebihan dan keberkatannya. Sejajar dengan itu, Rasulullah SAW bersabda: "Senyuman di depan saudara kamu adalah sedekah bagi kamu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Selain itu, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Janganlah engkau meremehkan kebaikan sedikit pun, meskipun hanya bertemu saudara kamu dengan wajah berseri.” (Hadis Riwayat Muslim).
SLOGAN SENYUMAN HAJI
Berkaitan konteks yang sama, Rasulullah SAW bersabda: "Kamu tidak akan mampu berbuat baik kepada semua manusia dengan harta kamu, maka hendaknya kebaikan kamu sampai kepada mereka dengan keceriaan (pada) wajah kamu.” (Hadis Riwayat al-Hakim).
Berbicara soal sedekah dengan senyuman, timbul beberapa persoalan iaitu bagi mereka yang payah senyum, bagaimana hendak senyum?
Sekiranya kita senyum kepada seseorang dan mereka tidak membalas senyuman kita, tidakkah mengundang malu kepada diri sendiri?
Bagi menjawab persoalan tersebut, izinkan saya berkongsi catatan perjalanan haji sepasang suami isteri dari Pakistan baru-baru ini.
Menerusi catatan tersebut, mereka telah nekad menanam slogan ‘senyuman haji’ dalam minda mereka sepanjang mengerjakan ibadat haji.
Bermula dengan permohonan visa, beratur di kaunter masuk lapangan terbang sehinggalah segala aktiviti ibadat di Makkah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Madinah dan perihal berkaitan tempat penginapan serta aktiviti sosial, semuanya dilakukan dengan ‘senyuman haji’ walaupun disentap perasaan sedih, kecewa, marah dan pelbagai emosi yang ‘makan’ otak serta jiwa.
Yang menarik, mereka menggalakkan orang lain yang berada di sekitar mereka untuk terus senyum walaupun sukar dengan pelbagai rintangan.
Lama-kelamaan ‘senyuman haji’ telah berjangkit kepada ramai orang dan menjadikan tempat penginapan mereka yang kering dengan senyuman bertukar ceria serta harmoni.
Malah, slogan ‘senyuman haji’ telah dibawa balik ke Pakistan dan memberi impak besar terhadap keharmonian keluarga, kejiranan serta di tempat kerja.
Rumusannya, jika senyum itu adalah sedekah, banyakkanlah senyuman dan usah diungkit jika tidak berbalas, senyumlah.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca