RAMAI tidak mengetahui penyakit kemurungan yang mengakibatkan masalah kesihatan mental bukan saja dialami oleh orang dewasa, malah kanak-kanak. Disebabkan itu, ada antara ibu bapa yang tidak mengambil berat sekiranya anak-anak mereka... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI tidak mengetahui penyakit kemurungan yang mengakibatkan masalah kesihatan mental bukan saja dialami oleh orang dewasa, malah kanak-kanak.

Disebabkan itu, ada antara ibu bapa yang tidak mengambil berat sekiranya anak-anak mereka mengalami masalah berkenaan sehingga lewat mendapatkan rawatan susulan.

Sejauh mana seriusnya perkara ini dan apa yang menyebabkan kanak-anak mengalami masalah mental. Wartawan NURUL HUDA HUSAIN mengupas isu berkenaan.

SHAH ALAM - Berdepan masalah berkaitan perkembangan seperti lambat bertutur merupakan antara empat kategori masalah kesihatan mental melibatkan kanak-kanak.

Pakar psikiatri dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, tiga masalah kesihatan mental lain ialah masalah dalam pembelajaran, masalah emosi dan masalah tingkah laku.

Beliau berkata, orang ramai perlu tahu masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak bukan perkara yang jarang berlaku, sebaliknya satu daripada 10 kanak-kanak dan remaja di dunia berdepan masalah itu.

Ujarnya, 50 peratus daripada masalah mental dewasa juga sebenarnya bermula sebelum usia 14 tahun.

"Gejala kanak-kanak yang berdepan penyakit itu bergantung kepada masalah dihadapi serta tahap perkembangan dalam tempoh tumbesaran.

"Di sinilah pentingnya semua ibu bapa meningkatkan pengetahuan masing-masing tentang bagaimana masalah kesihatan mental ini berlaku. Sebagai contoh, bagaimana untuk mengenal pasti kemurungan, tekanan atau masalah autisme anak-anak bagi membolehkan rawatan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, ada sesetengah ibu bapa lambat memberikan rawatan bukan sebab mahu menafikan anak-anak menghidap masalah mental tetapi sebenarnya mereka tidak tahu itu adalah penyakit.

"Contohnya, apabila anak-anak tidak mahu pergi ke sekolah, tidak berselera untuk makan, ibu bapa mungkin anggap itu perkara biasa sedangkan mungkin anak-anak mengalami kemurungan dan boleh jadi tanda masalah mental,” katanya kepada Sinar Harian.

Muka depan Sinar Harian

PENYAKIT SENYAP

Jelas Rozanizam yang juga Felo Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Pahang, kemahiran meluas keibubapaan dalam kalangan ibu bapa, ditambah amalan komunikasi yang baik mampu membendung seseorang kanak-kanak itu mengalami penyakit ‘senyap’ yang boleh mendatangkan risiko bahaya kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

"Ilmu keibubapaan ini sangat mudah di mana ia perlu diseimbangkan antara kasih sayang dan disiplin kepada anak-anak. Adakala kita sayang atau manjakan, ada masa kita kena tegas. Ia tidak boleh terlebih dan terkurang tetapi kena seimbangkan,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kanak-kanak yang dikenal pasti mengalami masalah kesihatan mental tidak mendapatkan rawatan susulan dengan baik atas pelbagai faktor.

"Secara umum kita tahu 10 hingga 15 peratus kanak-kanak berdepan risiko masalah kesihatan mental. Jumlah yang mendapatkan rawatan di pusat-pusat bantuan seperti hospital dan klinik sangat rendah.

"Jika ada pun, 80 peratus daripada mereka tidak menerima rawatan sepenuhnya disebabkan tidak mendapat sokongan, tidak datang pada tarikh temu janji diberikan. Inilah masalah-masalah yang perlu kita tangani bersama,” katanya.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu memperbetulkan stigma bahawa masalah penyakit mental sama seperti mana penyakit lain yang memerlukan rawatan doktor pakar.

Beliau sehubungan itu berkata, sudah tiba masanya kerajaan melihat masalah kesihatan mental sebagai isu utama, bukan isu bermusim atau jarang berlaku memandangkan kadar kanak-kanak yang diancam penyakit itu sentiasa meningkat.

LAMBAT BERTUTUR

Sementara itu, "Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya apabila doktor memaklumkan anak saya didiagnosis mengalami masalah kesihatan mental,”

Demikian kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Azlin.

Bercerita lebih lanjut, Azlin berkata, anaknya, Iman, 6, didapati mengalami masalah berkaitan perkembangan iaitu lambat bertutur yang pada awalnya dianggap sebagai perkara normal bagi seorang kanak-kanak.

Menurut Azlin, dia tergerak mendapatkan rawatan pakar selepas mendapati perkembangan anaknya jauh berbeza dengan kanak-kanak lain seusianya pada waktu itu.

"Saya dan suami memutuskan untuk mendapatkan rawatan pakar selepas mendapati sikap anak kami jauh berbeza dengan anak-anak saudara lain. Dia hanya bermain gajet sepanjang masa. Apabila kemahuan tidak dituruti, dia mula memberontak.

"Walaupun sedih dengan apa yang menimpa anak tunggal kami ini, dalam masa yang sama kami bersyukur keadaan Iman semakin positif selepas mendapatkan rawatan. Mungkin inilah dugaan dan pengajaran buat kami sebagai ibu bapa.

"Kami terlalu biarkan Iman bermain dengan gajet sehingga dia tidak mahu melakukan aktiviti lain. Kini kami sudah tidak berikan dia bermain gajet lagi,” katanya.

Menurut Azlin, oleh kerana itu, ada segelintir rakan-rakan terdekat yang memandang serong terhadap keluarganya.

"Betullah apa yang diperkatakan, stigma masyarakat kita terhadap pesakit mental ini sebenarnya lagi perit untuk ditelan berbanding melawan penyakit ini. Tapi saya bersyukur ahli keluarga ramai yang menyokong kami.

"Sekarang saya sudah tidak ambil kisah tentang orang sekeliling kerana apa yang penting saya mahu anak kami sihat kembali,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca