SHAH ALAM - Kurang mendapat kasih sayang disebabkan ibu bapa sibuk bekerja banyak menyumbang kepada peningkatan kes kemurungan dan kebimbangan melampau dalam kalangan kanak-kanak. Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kurang mendapat kasih sayang disebabkan ibu bapa sibuk bekerja banyak menyumbang kepada peningkatan kes kemurungan dan kebimbangan melampau dalam kalangan kanak-kanak.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, kebanyakan kes yang dirujuk kepada pihaknya juga melibatkan masalah kesihatan mental kanak-kanak telah berada di tahap yang ‘parah’.

Ujarnya, perubahan cara ibu bapa mendidik anak-anak dengan menjadikan teknologi dan penggunaan gajet juga banyak mempengaruhi perkembangan kesihatan mental kanak-kanak pada masa ini.

"Bayangkan, ada ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan khidmat kaunseling sudah di tahap yang tidak mahu bercakap kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan bermain gajet.

"Apabila ditanya kepada anak-anak, mereka katakan sedih ibu bapa jarang bersama kerana sibuk bekerja. Lebih menyedihkan lagi ada ibu bapa yang ‘menukar’ kasih sayang kepada anak-anak dengan gajet. Ini satu kesilapan besar sebenarnya,” katanya.

Tambahnya, kesibukan ibu bapa bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak.

"Kita sedar kebanyakan ibu bapa zaman kini kedua-duanya perlu bekerja bagi menampung kos hidup semakin meningkat tetapi dalam masa sama perlu sedar anak-anak juga sedang membesar.

"Jangan biarkan mereka membesar dengan cara tidak sepatutnya. Penat mana pun tetap luangkan masa dan bertanya khabar kepada mereka, berkomunikasi sebaiknya kerana ia memberi isyarat mereka disayangi,” katanya.

KETAGIHAN GAJET

Selain itu, katanya, ibu bapa perlu sedar bahawa penggunaan gajet tanpa kawalan memberikan risiko buruk kepada anak-anak untuk tempoh jangka masa panjang.

"Ketagihan gajet ini sebenarnya sangat tidak sihat terhadap perkembangan minda, emosi dan sosial kanak-kanak yang mana mereka banyak memendam perasaan dan akhirnya menjadi murung,” katanya.

Hushim turut mengesyorkan supaya kerajaan melaksanakan kajian jumlah kanak-kanak yang mengalami kemurungan dan kebimbangan melampau ketika ini.

Katanya, belum ada kajian secara terperici sebegitu dilaksanakan di negara ini sedangkan ia merupakan perkara yang harus diberikan keutamaan.

Sementara itu, pakar psikologi dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Ruhani Mat Min berkata, persekitaran atau tempat seseorang kanak-kanak dibesarkan sangat mempengaruhi kesihatan mental golongan itu sama ada menjadi sihat atau sebaliknya.

Beliau berkata, atas dasar itu, bapa bapa perlu memastikan anak-anak didedahkan dengan persekitaran positif supaya dapat membesar dengan baik.

"Kita kena bermula daripada zaman anak-anak masih kecil. Macam mana dia dibesarkan di rumah. Tetapi dalam keadaan tuntutan kerjaya sekarang ini (kedua-dua ibu bapa bekerja) sesetengah anak-anak dihantar kepada orang lain untuk dijaga.

"Jadi, kanak-kanak hari ini dibesarkan mungkin dalam keadaan dan suasana berbeza. Jika di rumah mereka didedahkan dengan perkara tidak sepatutnya dan ketika di rumah asuhan juga melalui perkara sama, ia sangat bahaya.

"Kanak-kanak merupakan kelompok mudah terpengaruh dengan perkara atau tindakan yang sentiasa dilihat oleh mereka. Kalau perkara yang dipertontonkan itu baik, maka baiklah juga tingkah laku, begitu juga kalau sebaliknya,” katanya.

Jelas Ruhani, kesihatan mental ketika usia kanak-kanak merupakan aspek penting perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa kerana ia akan mempengaruhi kehidupan secara menyeluruh.

"Sikap kanak-kanak, mereka akan memerhati tingkah laku ahli keluarga seperti percakapan dan saling berinteraksi satu sama lain. Daripada pemerhatian itu, mereka akan melakukan sesuatu perkara yang dirasakan menarik perhatian.

"Apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling, contohnya perkataan atau perbuatan ahli keluarga atau orang terdekat yang dirasakan menarik, mereka akan ikut tidak kira buruk atau baik. Pada mereka ia sesuatu yang menyeronokkan.

"Ini kerana pertimbangan nilai itu terbina daripada persekitaran mereka berada,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kesihatan mental melibatkan kanak-kanak tidak begitu ditonjolkan berbanding dewasa.

Menurutnya, ia menyebabkan bertambahnya kanak-kanak mengalami penyakit tersebut.

Malah, katanya, masyarakat tidak seharusnya berhenti membincangkan masalah mental kanak-kanak kerana ia wajar ditangani.

"Kanak-kanak mempunyai kognitif yang terhad. Mereka lebih mudah berdepan gangguan mental apabila berdepan tekanan berbanding orang dewasa.

"Apabila ibu bapa cepat melenting, marah dan mengamuk, kanak-kanak akan meniru tingkah laku tersebut,” katanya.

Ketagihan terhadap gajet memberi kesan mental kepada kanak-kanak dan remaja.

INFO


Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019

- Epidemik tersembunyi

- Seramai 424,000 kanak-kanak didapati mengalami masalah kesihatan mental di Malaysia.

- Prevelen kesihatan mental berdasarkan domain utama:

Masalah berinteraksi dengan rakan sebaya - 42.9 peratus

Masalah tingkah laku -15.9 peratus

Masalah emosi - 8.3 peratus

Masalah hiperaktif - 2.3 peratus

SUMBER: Institut Kesihatan Umum (IKU)


Klik di sini untuk terus membaca