DENGAN pungutan hasil pendapatan mencecah rekod, filem terbitan tempatan Mat Kilau sememangnya sudah berjaya mencatat sejarah untuk industri perfileman negara hanya dalam masa singkat. Ia menunjukkan daya tarikan sensasi filem itu berjaya... Klik di sini untuk terus membaca

DENGAN pungutan hasil pendapatan mencecah rekod, filem terbitan tempatan Mat Kilau sememangnya sudah berjaya mencatat sejarah untuk industri perfileman negara hanya dalam masa singkat.

Ia menunjukkan daya tarikan sensasi filem itu berjaya meraih jangkauan penonton yang besar. Tetapi pada masa sama, satu-satunya dimensi menonjol dalam filem itu adalah gambaran setiap watak bukan Melayu sebagai si penjahat yang mendukung dan bekerjasama dengan penjajah British dalam penindasan serta melakukan kekejaman terhadap penduduk Melayu.

Ia menimbulkan kebimbangan serius tentang soal perpaduan dan ke-harmonian negara tercinta berbilang kaum. Pada saat kritikal inilah, desakan perpaduan terserlah supaya rakyat bersatu mempertahankan tanah air daripada penjajah – cuma kali ini dalam bentuk penjajahan politikus elit ketuanan (supremacists-colonialists).

Lebih-lebih lagi, sesetengah penonton mungkin sukar menerima filem itu sebagai karya fiksyen, manakala penafian yang tertera pada permulaan filem bahawa hanya sebahagian daripada gambaran peristiwa adalah berdasarkan peristiwa sejarah sebenar tidak memadai seperti ditegaskan pakar sejarah Melayu.

Selain itu, memandangkan latar belakang dan sejarah politik identiti Malaysia yang luas serta mendalam, berkemungkinan besar rujukan halus Mat Kilau, kiasan dan petikan dialog mengelirukan (dengan sengaja atau tidak) boleh disalahgunakan dengan menjelangnya musim pilihan raya.

Oleh itu, filem tersebut memerlukan penilaian sangat kritikal oleh penonton. Karya fiksyen tiada signifikan sekalipun jika kita gagal mentafsir dan mengaitkannya dengan perkembangan semasa serta peristiwa berlaku di sekeliling kita.

Selain pengajaran mengenai keperluan ‘garisan sempadan’ antara fiksyen dan realiti sejarah, filem itu juga memerlukan pemahaman yang betul tentang dua konsep penting – penjajahan dan patriotisme.

Kedua-duanya kekal sebagai konsep amat relevan dalam konteks tempatan semasa. Dengan latar belakang kritikal itu, beberapa petikan Mat Kilau yang menarik boleh memberikan pemahaman baharu untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

KOLONIALISME

Penjajahan adalah satu cara mewujudkan kawalan ke atas kumpulan sosial bagi mengambil alih wilayah, kawasan, kekayaan dan sumber manusia untuk kegunaan sendiri.

Kebanyakan orang mengetahui tentang bentuk kawalan paling menonjol dan kejam tetapi tidak stabil iaitu dengan kaedah ketenteraan serta penggunaan senjata.

Bagaimanapun, sejak zaman dahulu lagi terdapat beberapa golongan terpilih yang memperoleh ilmu/kaedah manipulasi dan kawalan lebih halus. Oleh itu, lebih mencabar untuk ditangkis.

Rajah di atas (rajah 1) menunjukkan spektrum alat atau kaedah kawalan tersebut yang dikelaskan kepada enam kumpulan atau tahap. Kepantasan kesan atau kelajuan keberkesanan kaedah-kaedah kawalan itu meningkat dari kaedah 1 hingga 6, manakala tahap tidak dapat dipulihkan (irreversibility) atau tahap ketegaran impak adalah menurun (iaitu tahap tertinggi di kaedah 1 dan paling rendah di kaedah 6).

Dalam rajah 1, perhatikan bagaimana kaedah manipulasi berbeza dalam kelajuan dan kekuatan serta keberkesanan atau ketegaran impak.

Menggunakan kaedah ekonomi atau persenjataan gen, lebih-lebih lagi senjata ketenteraan adalah cara paling cepat memberikan kesan diingini penjajah. Namun, itu semua juga merupakan bentuk paling jelas kepada mereka yang dimanipulasi, oleh itu ia lebih berkemungkinan menghadapi tentangan kuat.

Sebaliknya, bentuk manipulasi lain yang lebih halus – pandangan dunia, budaya pemikiran, fakta sejarah, doktrin dan ideologi – memerlukan jangka masa pelaksanaan yang panjang.

Bagaimanapun, setelah berakar umbi dalam masyarakat, kaedah itu hampir mustahil ditentangi, sekurang-kurangnya selagi kaedah itu tidak dapat dilihat atau disedari sebahagian besar kumpulan sosial yang dimanipulasi.

Sepanjang sejarah dunia, pelbagai negara telah dijajah penceroboh asing tetapi mereka juga sering tertakluk kepada ‘penjajahan domestik’ oleh politikus elit dalaman dan entiti, badan serta pertubuhan korup yang telah berakar umbi, kebanyakannya melalui bentuk kaedah kawalan halus (memanipulasi pandangan dunia, sejarah, ideologi dan lain-lain) untuk meneruskan pengagihan sumber rakyat dan memiskinkan negara.

Mat Kilau

PATRIOTISME

Patriotisme ialah nilai kerohanian kemanusiaan amat diperlukan dan tidak dapat dipisahkan daripada perasaan keadilan yang tinggi dalam menghormati sepenuhnya nilai kemanusiaan paling universal – nilai dwi kehidupan (nyawa dan kehidupan kita sendiri serta orang lain).

Terdapat jurang besar antara patriotisme dan nasionalisme (yang tidak semestinya berbahaya atau buruk), lebih-lebih lagi dengan chauvinisme etnik/agama yang terang-terangan – bentuk nasionalisme paling radikal kerana ia menyebarkan eksklusiviti kaum dan menghasut permusuhan serta kebencian dalam kalangan masyarakat tempatan.

Unsur perpaduan dan kemakmuran dikongsi bersama secara tulen, di mana setiap rakyat diberi maruah, bantuan dihulurkan berdasarkan keperluan dan penghormatan diberikan berdasarkan merit amat kuat dalam patriotisme kerana tahap kerohanian yang memuncak.

Bagaimanapun, unsur itu boleh hilang atau mudah dilemahkan melalui nasionalisme apabila dimanipulasi penjajah asing atau dalam negeri.

Pentingnya patriotisme juga merangkumi keupayaan rohani dan moral untuk menentang kecenderungan berbahaya, jahat, negatif serta merosakkan di dunia, di negara sendiri atau mana-mana kumpulan sosial dalam negara itu.

Oleh itu, seorang patriot sejati dalam menjiwai sifat integriti rohani–moral–etika mempunyai kualiti berikut:

- Mampu melihat di luar persepsi ilusi realiti sosial.

- Berorientasikan keseimbangan antara integrasi dan pemeliharaan kepelbagaian nasional serta budaya.

- Dapat mengesan penggantian nilai dan makna rohani multidimensi.

Dalam erti kata lain, bagi seorang patriot adalah penting mengenal pasti kaedah halus untuk memanipulasi tahap kesedaran negara yang dikongsi bersama (lihat rajah 1), malangnya penjajahan sering dilakukan di bawah slogan paling patriotik.

Kawalan lebih mudah dilaksanakan jika nilai patriotik sebenar hilang, dicairkan dan digantikan.

MANIPULASI

Kaedah manipulasi penjajah seperti disebutkan (lihat rajah 1) hanya berkesan selagi ia tidak dilihat majoriti. Namun, bak kata pepatah Inggeris – there is nothing hidden that is not shown yang bererti tiada tersembunyi tidak ditonjolkan atau tidak ada sesuatu tertutup atau diselindungi yang tidak akan didedahkan.

Kolonialisme, asing atau domestik sentiasa bertujuan untuk memerah sumber bagi kepentingan sendiri. Dan pengekstrakan sumber itu jika ia tidak dikawal, pasti akan membawa kepada apa yang Mat Kilau (seperti dilakonkan Adi Putra) nyatakan sebagai ‘sampai bangsaku tiada negara’.

Yang menyedihkan, Malaysia sedang menghampiri keadaan bencana disebutkan itu.

Statistik mengenai petunjuk utama pembangunan negara kita (rajah 2) menunjukkan bahawa jika terdapat sebarang ‘kestabilan’ dalam beberapa dekad tadbir urus Malaysia yang lalu (yang semakin meningkat dengan ketara sejak dekad ‘Bossku’), maka ia hanyalah kestabilan dalam proses ‘rompakan’ sumber negara untuk segelintir pihak sahaja.

Namun, bagaimana pula dengan bumiputera yang diikrarkan penjajah elit politik ini untuk dilindungi di bawah sistem dan struktur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dimulakan pada 1971, secara rasminya berakhir pada 1990 tetapi secara tidak rasmi menjangkaui lebih dua dekad?

Menurut analisis data empirikal, walaupun ketidaksamaan pendapatan secara relatif bagi kategori etnik (perubahan berkadar) telah berkurangan dengan ketara dari 1970-an hingga 2020, ketidaksamaan pendapatan etnik secara mutlak (perbezaan mutlak) kini lebih tinggi dari 50 tahun lalu, menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendapatan etnik telah meningkat.

Dinamik yang serupa boleh diperhatikan berkaitan kemiskinan. Menurut kajian Bank Dunia, pada 2004, nisbah kemiskinan dalam kumpulan bumiputera ialah 49.1 peratus berbanding 17.7 peratus dan 33.4 peratus dalam kumpulan Cina serta India, manakala pada 2016, statistik sama bagi kumpulan bumiputera, Cina dan India ialah 13.1 peratus (73 peratus pengurangan), 2.4 peratus (86 peratus pengurangan) dan 7.3 peratus (78 peratus pengurangan), masing-masing (sila rujuk rajah 3 untuk visualisasi).

Perhatikan nisbah kemiskinan dalam kumpulan bumiputera, 2.8 kali ganda berbanding nisbah kemiskinan dalam kumpulan Cina pada 2004 dan jumlah itu meningkat 5.5 kali ganda pada 2016.

Pada masa sama, bahagian kemiskinan bumiputera pada tahap nasional meningkat daripada 81.4 peratus pada 2004 kepada 85.3 peratus pada 2016.

Terutamanya dalam pengiraan ini, Bank Dunia menggunakan garis kemiskinannya sendiri yang ditakrifkan sebagai persentil ke-40 pendapatan isi rumah per kapita pada 2004.

Garis itu kemudiannya dikekalkan berdasarkan peningkatan inflasi untuk tahun-tahun berikutnya kerana garis kemiskinan rasmi Malaysia dikekalkan terlalu rendah pada tempoh sangat lama.

Menurut Profesor Martin Ravallion – ‘USD$4 sehari mungkin garis munasabah untuk Malaysia pada 1970’.

Dalam anggaran beliau, ia sepatut sekurang-kurangnya USD$12 sehari pada 2016, namun garis kemiskinan rasmi Malaysia dikemas kini kepada hanya USD$10 sehari pada 2020.

Gambar hiasan

KEMISKINAN

Dalam kajian sama, menggunakan garis relatif yang meningkat dengan pendapatan purata, Profesor Martin mendapati kadar kemiskinan di Malaysia, walaupun dikurangkan dengan ketara daripada 41 peratus pada 1984 kepada 22 peratus pada 2016, berpandangan bahawa ‘usaha menghapuskan kemiskinan masih jauh ketinggalan’ dan oleh itu amat berbeza dengan peratusan rasmi Malaysia.

Kajian Bank Dunia yang disebutkan di atas menggunakan metodologi panel sintetik dan membandingkan antara 2004 dan 2016 telah mendapati dalam tempoh seterusnya, ia menjadi semakin sukar untuk ‘keluar daripada perangkap kemiskinan’ di Malaysia.

Menariknya, Bank Dunia memerhatikan bahawa sempadan kemiskinan kronik berkadar tidak menyempit dari masa ke masa dalam kalangan bumiputera luar bandar sama sekali, terutama semasa ‘dekad Bossku’ – satu lagi pangkalan atau sumber undi pilihan raya penting penjajah politikus elit.

Data empirikal juga menunjukkan kesan pengagihan semula ke atas kadar kemiskinan negara daripada kaum Cina kepada bumiputera adalah tinggi pada masa DEB diperkenalkan.

Bagaimanapun, dari masa ke masa kesannya merosot dengan ketara dan seperti disoroti statistik lain di atas, ia bukan disebabkan penghapusan kemiskinan. Jadi, di manakah pengagihan semula sebenar berlaku ketika itu?

Satu lagi hasil kajian empirikal mendedahkan bahawa ‘bumiputera dalam kumpulan berpendapatan tertinggi (1 peratus dan 10 peratus teratas) paling banyak mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi’, seperti diperhatikan sepanjang tempoh 2002 hingga 2014, manakala bahagian populasi daripada kumpulan etnik lain dalam persentil itu hampir tidak berubah dalam jangka masa sama.

Bukankah itu penjajahan domestik sepenuhnya? Kesemua statistik di atas adalah fakta tidak dapat disangkal – mengenai hasil penjajahan selama beberapa dekad (bukan hanya beberapa tahun) oleh ketuanan politikus elit yang menunggang sentimen etnik dan agama atau politik identiti di negara kita untuk kelangsungan kepentingan mereka, sambil tidak memberi penumpuan sewajarnya terhadap pembinaan negara.

Adakah adegan terlalu grafik dalam filem Mat Kilau yang menggambarkan apa yang boleh dilakukan penjajah seolah-olah menakutkan kita? Bagaimana pula dengan statistik di atas?

Terdapat berjuta-juta kesengsaraan dan tragedi peribadi di sebalik setiap cerun dalam graf seperti tertera di atas, berjuta-juta nyawa yang jika bukan akibat beberapa dekad penjajahan elit politik bersifat eksploitasi, ber-kemampuan memikul beban berpunca daripada krisis global yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan lebih mantap dari segi kesihatan dan ketahanan ekonomi.

Ya, memang patut menonton filem Mat Kilau! Namun, ia mesti ditonton dengan kesedaran perkara lebih besar seperti dibincangkan di atas.

Tiada nilai atau makna jika kita sekadar menonton dan menangis menonton filem Mat Kilau tetapi akhirnya ia tidak mendatangkan iltizam untuk menyelamatkan negara.

* Dr Rais Hussin ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Klik di sini untuk terus membaca